
BARISAN hos 8TV Quickie bergabung dengan beberapa selebriti dalam program khas Run Christmas Run.
BARISAN nama seperti Prem Shanker, Zher Peen, Ryan Matjeraie, Megan Tan Yue Mei dan Naqib Shamsuri sememangnya sudah cukup sinonim dalam program popular 8TV iaitu 8TV Quickie. Celoteh mereka yang sentiasa ceria dengan gelak tawa itu boleh ditonton hampir setiap lewat malam menerusi program tersebut.
Acap kali wajah-wajah ceria itu ditonton dalam program bual bicara ringkas tersebut, mereka hanya duduk atau berdiri dengan mimik muka yang ceria dan bersahaja. Jelas kedengaran hanya kelantangan suara sepanjang mereka mengendalikan rancangan tersebut.
Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah rupa mereka apabila berhadapan dengan sesuatu situasi. Kesemua itu akan terjawab apabila anda menonton sebuah rancangan khas yang ditayangkan di stesen tersebut sempena sambutan Krismas.
Aksi mereka sepanjang program tersebut tidak ubah seperti menyaksikan barisan artis Korea dalam sebuah rancangan yang kini disukai ramai iaitu Running Man.
Pengarah 8TV Quikie, Daniel Chan mengakui, program tersebut sebenarnya diadaptasikan daripada Running Man, namun konsepnya telah diolah sedikit agar ia bersesuaian dengan perisian sempena sambutan Krismas di Malaysia.
“Sebelum ini kami pernah menjayakan program seumpama ini untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Disebabkan program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dan menjadi trend di Twitter, jadi saya rasakan ia patut diteruskan dengan membawa sedikit kelainan,” katanya ketika ditemui selepas selesai sesi pengambaran di Bukit Tinggi, Pahang baru-baru ini.
Program khas 8TVQuickie yang diberikan judul Run Christmas Run itu menyaksikan barisan selebriti 8TV tersebut melibatkan diri dalam beberapa aktiviti lasak seperti flying fox, jungle tracking dan rock climbing.
Cabaran fizikal
Selain daripada mereka, beberapa artis tempatan seperti Patricia K, Jehan Miskin dan Tanuja Ananthan turut diundang bagi memeriahkan lagi program tersebut.
Berbeza daripada kebiasaan konsep sedia ada yang selalunya menyaksikan mereka membuat rakaman di studio sahaja, kali ini, sesuatu yang baharu ditampilkan apabila pengarahnya berjaya membawa barisan selebriti tersebut untuk keluar dari studio dan melakukan aktiviti lasak di Bukit Tinggi, Pahang.
Ternyata, barisan selebriti terbabit telah melalui pengalaman yang menarik sepanjang penggambaran program dilakukan. Megan Tan Yue Mei misalnya, membuktikan fizikalnya yang kecil molek tidak menghalang dirinya untuk menjadi aktif dan lasak serta tidak takut dengan cabaran fizikal.
“Saya begitu teruja apabila mendapat tahu salah satu aktiviti yang dijalankan ialah flying fox kerana saya memang sudah lama mengidam untuk terbang seperti burung.,” akuinya yang berasa gayat sebelum memulakan cabaran.

JEHAN MISKIN menggemari aktiviti lasak.
Menurutnya lagi, walaupun ketinggian tersebut dikatakan agak melampau dan menyebabkannya gayat, dia tetap meneruskan aktiviti itu demi menyempurnakan misi kumpulannya.
“Sebelum ini saya ada menyertai penggambaran seperti ini iaitu dalam program Run Raya Run dan apabila saya dikehendaki menjalani penggambaran untuk Run Christmas Run pula, saya sangkakan aktiviti yang dijalankan lebih kurang sama. Namun, jangkaan saya meleset sama sekali apabila aktiviti yang disediakan sangat mencabar dan lebih mengejutkan ia penuh dengan drama,” katanya lagi.
Hujan lebat
Sementara Zher Peen pula nyata begitu teruja. Katanya: “Ini merupakan kali pertama saya menyertai aktiviti seperti ini kerana sebelum ini, Run Raya Run saya tidak dapat menyertainya kerana komitmen lain.
“Saya sangat teruja menyertai Run Christmas Run lebih-lebih lagi apabila digandingkan dengan Thanuja dan Jehan yang perangainya yang gila-gila.
Siapa sangka pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi oleh kru dan peserta sepanjang penggambaran rancangan tersebut dijalankan. Jadual asal yang sepatutnya bermula pada pukul 11 pagi terpaksa ditunda sehingga pukul 4.30 petang apabila hujan turun dengan lebatnya sepanjang hari.
Penerbit rancangan tersebut, Helmi Yahya berkata disebabkan cuaca tidak mengizinkan, banyak program asal terpaksa dibatalkan. Pihak produksi bimbang jika diteruskan ia akan memudaratkan kesihatan selebriti-selebriti tersebut.
“Disebabkan penggambaran terpaksa ditunda beberapa jam, kami terpaksa menganjakkan rakaman sehingga ke lewat malam.
“Bagaimanapun saya sangat terharu dengan komitmen yang diberikan oleh semua barisan selebriti kerana mereka tidak merungut walaupun ada yang sudah lewat untuk bersiaran pada hari itu,” katanya.
Bagi peminat-peminat Adam, Zher, Megan, Prem dan Naqib, jangan ketinggalan untuk menyaksikan aksi-aksi menarik mereka menerusi rancangan khas Run Christmas Run yang akan ditayangkan pada pukul 9.30 malam di 8TV pada esok, 25 Disember.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: