Thursday, June 14, 2012

Tugas Afidah naikkan seri pengantin

Afidah Khamis menggalas tanggungjawab menata rias pasangan juara Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-3.

SETIAP pasangan yang akan berkahwin ingin tampil menarik di khalayak ramai pada hari bahagia mereka sama ada pengantin lelaki mahupun perempuan.

Antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah aspek solekan.

Solekan yang sesuai dengan bentuk wajah dan kulit akan menaikkan seri sekali gus menjadikan pasangan mempelai nampak berseri.

Jurusolek, Afidah Khamis dari Afidah Khamis Makeup and Stuff, berkata, tugasnya sebagai penaja solekan bagi pasangan juara, Mohd. Firdaus Mohd Fauzi, dan pasangannya, Nor Syafiqah Mohamed, akan digalas sebaik mungkin supaya keduanya berseri di hari persandingan mereka.

"Pemilihan solekan bergantung kepada tema serta rekaan baju pengantin pada hari tersebut.

"Faktor ini penting supaya solekan tidak lari dengan karakter sebenar pengantin.

"Bagi pasangan ini solekan semulajadi lebih sesuai dengan tema perkahwinan dalam taman selain pengantin perempuan nampak elegan dan lebih menonjol.

"Nor Syafiqah seorang yang manis, lemah lembut dan konservatif. Solekan ini sesuai dengan imejnya sebagai seorang muslimah selain karakternya yang sebegitu," katanya.

Ujar Afidah, memandangkan Nor Syafiqah mempunyai kulit dan mata yang cantik, tidak ada sebarang masalah untuk melakukan solekan nanti.

"Solekan akan lebih menonjolkan kulitnya yang sedia cantik. Selain itu, keningnya yang sedia lebat turut diberi perhatian supaya kelihatan seperti seorang remaja dan tidak garang.

"Pemilihan warna solekan pula adalah semulajadi. Mainan warna seperti pic dan merah jambu sesuai untuk kulit sepertinya," kata Afidah .

Katanya, untuk solekan mata warna-warna semulajadi yang cerah digunakan agar pengantin tampil manis, ceria dan remaja.

Untuk bahagian kulit pula, solekan nipis lebih sesuai untuk menampilkan lagi kulitnya yang gebu dan sihat.

"Namun terdapat sedikit cabaran kerana majlis akan berlangsung di kampung dan dalam keadaan cuaca yang panas. Situasi ini menyebabkan solekan tidak tahan lama.

"Namun, cara solekan dan penggunaan bedak asas yang betul akan membantu pengantin tetap nampak cantik dan elegan," katanya.

Tambahnya, selain solekan tertumpu kepada pengantin perempuan, sedikit sentuhan pada pengantin lelaki juga perlu dilakukan supaya keduanya sama cantik dan sama padan di atas pelamin.

"Walaupun terdapat sebahagian pengantin lelaki tidak mahu disolek, tetapi sebaiknya penggunaan bedak asas yang nipis di wajah akan membuatkan kulit kelihatan sihat dan bermaya," katanya yang turut menaja solekan untuk pengapit dan dua kanak-kanak pembawa bunga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: