Thursday, June 14, 2012

Hartini dahulukan pelanggan

GELAGAT Hartini Hamzah, 28, yang tidak kekok dan nampak bersahaja ketika beraksi di hadapan lensa kamera menjadikan sesi fotografi petang itu berlangsung dengan mudah.

Reaksi seperti itu tidak mengejutkan penulis kerana selain bekerja sebagai kakitangan di bahagian Perkhidmatan Pelanggan Penerbangan Malaysia (MAS), wanita kecil molek ini juga aktif sebagai model sambilan.

Sememangnya sesiapa saja pun yang terpandang Hartini pasti akan menoleh dua kali kerana rasa tidak jemu melihat wajah putih mulus wanita darah kacukan India dan Jepun di sebelah datuk dan neneknya.

Dilahirkan di Kuala Lumpur, wanita ini mengakui pernah cuba mengejar cita-cita untuk terbang di awan biru sebagai pramugari.

Menurutnya, walaupun berjaya melepasi ujian dan sampai ke peringkat akhir tetapi tidak meneruskan niat tersebut kerana tiada sokongan daripada keluarga.

"Saya tidak pernah menyesal melepaskan cita-cita tersebut. Sekurang-kurangnya kini saya masih berpeluang berkhidmat di syarikat penerbangan kebanggaan negara," katanya mengukir senyum.

Ujar ibu kepada seorang cahaya mata perempuan ini, dalam tempoh tujuh tahun bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan, pelbagai ragam dan gelagat manusia ditemui yang sedikit sebanyak turut mengajarnya mengenal hati-budi seseorang.

"Saya memang suka berjumpa dan bergaul dengan ramai orang. Pada saya dengan cara ini dapat memberi peluang untuk menambah kenalan selain mempelajari tabiat dan perangai manusia," katanya.

Bertugas di bahagian yang mengendalikan aspek perkhidmatan pelanggan sudah tentu dia tidak dapat lari daripada dihujani dengan pelbagai aduan dan masalah.

Setiap hari dia berhadapan dengan beribu penumpang yang terdiri dari pelbagai bangsa dan negara.

"Mereka yang datang ke bahagian ini bukan semuanya dalam keadaan emosi yang stabil dan baik. Ada yang datang dalam keadaan marah dan tertekan kerana kepenatan.

"Kita perlu faham perasaan penumpang yang mengembara jauh dan pada masa sama ditimpa masalah. Dalam situasi sebegini komunikasi yang betul sangat penting bagi mengurangkan beban dan masalah yang mereka hadapi.

"Di sini kami perlu memainkan peranan dengan memberi layanan dan membantu mereka menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi," katanya.

Begitupun dia mengakui gelagat dan perangai penumpang yang pelbagai ragam memang banyak menguji kesabaran di samping memerlukan persediaan mental dan fizikal.

Paling mencabar katanya, apabila berlaku kelewatan dalam jadual sesuatu penerbangan.

"Jika keadaan ini berlaku kami perlu bersedia dengan segala informasi untuk berhadapan dengan pertanyaan dan rungutan daripada penumpang," katanya.

Hartini mengakui, dalam situasi sebegini kadang-kadang terdapat beberapa orang penumpang yang tidak dapat bersabar kerana penerbangan mereka dilewatkan.

Sehingga satu tahap sesetengah mereka sanggup marah dan mengeluarkan perkataan yang kesat serta tidak sopan.

"Pernah terjadi seorang kawan sekerja dimaki-hamun dan diludah oleh seorang penumpang yang penerbangannya ditangguhkan.

"Dalam keadaan ini sebagai kakitangan perkhidmatan pelanggan kami perlu bersikap tenang dan tidak melawan kembali supaya keadaan boleh dikawal.

"Kesabaran yang tinggi dan sentiasa murah dengan senyuman ketika berhubung dengan penumpang akan membantu kita mengatasi masalah tersebut.

"Kami juga perlu sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan. Layanan serta kemahiran memberikan jawapan yang baik akan membantu menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Selain itu, Hartini tidak menafikan penampilan diri termasuk cara berpakaian yang kemas dan bersesuaian sedikit sebanyak melancarkan lagi tugas di bahagian tersebut.

Baginya, fitrah manusia memang sukakan sesuatu yang sedap dipandang kerana ia mampu membuatkan hati lebih tenang dan ceria.

"Saya sendiri suka melihat sesuatu yang cantik. Apabila seseorang itu nampak cantik ia akan memberi persepsi yang baik kepada diri sendiri.

"Selain itu ia membantu meningkatkan keyakinan diri apabila bertemu orang ramai.

"Tambahan, apabila bekerja dalam suasana yang perlu berjumpa dengan ramai orang, semestinya penampilan yang cantik dan kekemasan diri perlu dijaga dan diteliti," katanya yang amat menitikberatkan soal kecantikan dalaman dan luaran.

Malah kesibukan memenuhi tugas yang mempunyai dua syif iaitu pagi dan petang, tidak menghalangnya untuk melakukan perkara-perkara yang disukainya termasuk dalam menguruskan rumah tangga.

Sama ada bekerja di waktu pagi mahupun malam, kepentingan dan perhatian kepada keluarga sentiasa menjadi keutamaan.

"Masa terluang akan dihabiskan bersama keluarga dan kadang kala memanjakan diri dengan keluar membeli-belah atau ke salon.

"Lagipun bekerja ikut syif memberi banyak kelebihan kepada saya untuk menguruskan hal rumah tangga dan kerja luar," katanya.

Seperkara lagi yang membuatkan Hartini begitu gembira dengan pekerjaan sekarang kerana berpeluang untuk melancong ke destinasi yang disukainya.

"Sebagai kakitangan MAS kami punya kelebihan mendapat tiket percuma untuk pergi bercuti.

"Sepanjang tujuh tahun bekerja antara tempat menarik yang pernah saya lawati seperti Istanbul dan Bali, selain berpeluang mengerjakan umrah," katanya.

Sebagai wanita berperwatakan ceria, Hartini mempunyai cara tersendiri untuk menangani tekanan yang dihadapi sama ada berkaitan pekerjaan mahupun keluarga.

"Untuk menenangkan kembali fikiran, saya akan akan mendengar lagu. Biasanya lagu berunsur irama Malaysia, balada dan rentak jazz menjadi pilihan hati.

"Bagi saya muzik adalah terapi terbaik untuk menyuntik semangat dan memberi ketenangan apabila jiwa dilanda resah," katanya.

Selain didorong oleh minat yang mendalam terhadap dunia kecantikan, dia kini bergerak selangkah lagi dengan menceburkan diri dalam bidang peragaan.

"Jika mempunyai masa lapang dan dipanggil untuk menjadi model oleh agensi tertentu saya tidak akan lepaskannya.

"Mulanya hanya untuk suka-suka sahaja tetapi lama-kelamaan saya melihat ia suatu yang menyeronokkan di samping dapat boleh meredakan tekanan setelah penat bekerja," katanya yang bermula sebagai model untuk buku terbitan MAS.

Selain terlibat sebagai model sambilan, dia juga pernah menjadi pelakon tambahan bagi drama yang bertajuk Warkah Cinta Mat Rock dan Facebook Ustazah Shamsiah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: