Thursday, June 14, 2012

Jual tudung uji kemahiran

Muhammad Imaduddin Aminuddin (kiri) tidak kekok menerangkan mengenai produk tudungnya kepada pelanggan.

TIDAK memiliki kemahiran mahupun pengalaman dalam bidang perniagaan bukan alasan untuk tidak meneruskan apa yang diimpikan.

Ini kerana ilmu boleh dipelajari, manakala pengalaman boleh diperoleh apabila berhadapan dengan situasi sebenar.

Berbekalkan semangat itulah Muhammad Imaduddin Aminuddin, 28, tidak menjadikan kekurangan tersebut sebagai penghalang untuk mencapai apa yang dicita-citakan.

Bagi bapa kepada seorang cahaya mata itu, yang penting semangat untuk memulakan perniagaan kemudian disusuli dengan usaha, pasti berjaya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu sebenarnya meminati bidang tekstil sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun dia tidak meneruskan pengajian dalam bidang tersebut kerana berpendapat ia boleh dipelajari pada bila-bila masa dan di mana jua.

Justeru, mata pelajaran perakaunan menjadi pilihan kerana ingin mengetahui selok belok bagaimana mengendalikan akaun apabila berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Ternyata apa yang diimpikan menjadi kenyataan apabila awal Ogos tahun lalu MCM Factory Outlet telah dibuka.

Tidak sekadar menjadikan impian satu angan-angan, kesungguhan Muhammad Imaduddin atau lebih mesra disapa Imad begitu jelas apabila dia turut membuka satu lagi cawangan MCM Factory Outlet di Pekan Jitra 3, Jitra, Kedah.

Membekalkan pelbagai jenis tudung kepada wanita-wanita Muslim, yang pasti MCM memberikan yang terbaik buat pelanggannya.

Apabila ditanya mengapa tudung menjadi pilihan, jelas Imad, selain berkait rapat dengan dunia tekstil, tudung merupakan barang keperluan wanita selain ia merupakan satu produk yang ringkas dan mudah jika hendak dibandingkan dengan baju mahupun produk-produk tekstil lain.

"Sebelum membuat keputusan untuk menjual tudung, saya terlebih dahulu membuat kajian apakah produk yang permintaannya tinggi dan sentiasa ada di pasaran.

"Dalam masa yang sama saya turut menyenaraikan jenis-jenis produk yang berkaitan dengan tekstil untuk diniagakan. Akhirnya tudung menjadi pilihan kerana permintaannya sentiasa ada.

"Selain itu saya perlu mempersiapkan diri dalam dunia baru ini memandangkan saya seorang lelaki dan mungkin golongan wanita-wanita kurang berkeyakinan orang lelaki mampu menjual tudung," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di 13, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, tudung, selain sentiasa ada permintaan, ia juga bukanlah satu produk yang bermusim dan senang untuk dipasarkan.

Berpegang kepada pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan, bagi anak sulung daripada enam beradik ini tiada apa yang mustahil selagi keinginan untuk berjaya sentiasa tersemat di hati.

Selain menambah ilmu melalui Internet dan bacaan, Imad juga merupakan orang yang bertanggungjawab dalam pemilihan fabrik.

Selain memberi kepuasan kepada diri sendiri, Imad juga ingin memastikan fabrik yang dipilih adalah yang terkini untuk digayakan.

Jika dilihat akan kesungguhan yang ditunjukkan Imad, anda mungkin tidak menyangka seorang lelaki begitu komited dalam perniagaan tudung.

Ini kerana jarang kita lelaki menjual tudung jika hendak dibandingkan dengan produk-produk tekstil yang lain.

Bagaimanapun, bagi anak kelahiran Taiping, Perak itu, dia berpendapat tiada apa yang membataskan asalkan keberanian untuk mencuba itu ada.

Mensasarkan produknya untuk golongan pertengahan dan juga atasan, Imad kini dalam perancangan untuk membuka satu lagi cawangan di sekitar Shah Alam.

Berbicara lanjut mengenai tudung keluaran syarikatnya, tutur Imad, dia memasarkan lebih daripada 200 reka bentuk dengan pelbagai pilihan warna dan juga kain.

Sudah pasti apa yang dijual adalah terkini dan untuk itu tidak hairanlah sekiranya hari ini pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada masyarakat tempatan malah ia juga terdiri dari negara-negara luar seperti Brunei, Selatan Thailand dan Maldives.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: