PADA mulanya ia bermula dengan pertanyaan daripada seorang teman. Saya diajukan soalan sama ada mengetahui tentang nama makanan celur-celur atau 'celoq-celoq' dalam dialek utara.
Namanya agak asing, walaupun boleh mengagak ia adalah makanan yang perlu dicelur sebelum dimakan.
Oleh kerana mahu mengetahui apakah sebenarnya makanan yang dinamakan celur-celur itu, teman tersebut, Syuhirdy Mat Noor atau lebih mesra dengan panggilan Chef Ady telah mengundang saya untuk menikmati makanan itu di gerainya.
Agak menarik juga konsep tersebut dan dalam masa yang sama saya rasa elok juga topik makanan gerai itu dituliskan dalam ruangan ini.
Oleh itu pada minggu ini saya akan bercerita tentang pengalaman menikmati juadah itu dan bagaimana anda dapat menyediakan hidangan berkenaan dengan cara yang lebih teratur.
Mungkin ada antara pembaca boleh menggunakan tip ini untuk membuka perniagaan makanan berkonsepkan gerai seperti celur-celur. Lebih menarik, saya berjaya mengorek tip dan resipi rahsia celur-celur dari teman itu eksklusif untuk pembaca-pembaca setia ruangan ini.
Gerai makanan celur-celur yang diusahakan oleh Chef Ady dan Hafiz Jaafar turut menawarkan menu seperti chicken chop, mee sizzling, tomyam claypot, grilled chicken, fish and chips dan bermacam-macam lagi dengan harga yang berpatutan.
Menu yang akan saya fokuskan pada kali ini adalah celur-celur. Celur-celur adalah makanan yang dicucuk pada lidi, buluh atau pun lebih dikenali skewer food.
Ia ada sedikit persamaan dengan steamboat. Cuma ia dicucuk pada lidi sahaja. Bahan yang dicucuk hanya perlu dibeli. Apa yang anda perlu sediakan adalah sosnya sahaja. Makanan ini sangat popular di kalangan masyarakat Cina yang banyak menjualnya di tepi-tepi jalan.
Di gerai ini anda hanya perlu memilih berapa cucuk yang anda inginkan berdasarkan jenisnya. Antara yang dijual adalah jejari ketam, dumpling sayuran, bebola sayuran dan kek ikan.
Pada setiap meja di tengah-tengahnya ada bekas yang mengandungi air mendidih untuk mencelur skewer yang telah anda pilih. Di bawah-meja terdapat api yang memanaskan air untuk mencelur skewer itu.
Harga setiap cucuk yang dijual adalah RM1 secucuk. Celur-celur perlu dinikmati dengan dua jenis sos yang diadun dengan resipi istimewa selepas dicelur.
Secara jujurnya konsep ini begitu santai dan bagus untuk merapatkan lagi silaturahim. Anda juga boleh menonton skrin besar sambil makan di gerai ini.
Kepada mereka yang bercadang untuk membuka perniagaan ala skewer food, beberapa tip yang perlu anda ambil perhatian antaranya adalah kos untuk bahan-bahan-mentah.
Bahan mentah itu boleh dibeli secara pukal dengan harga yang murah. Tidak kurang penting adalah aspek-aspek kebersihan dan penjagaan kualiti dalam perniagaan celur-celur.
Carilah bahan mentah yang sedap rasanya. Terdapat cara menghidang yang dipraktikkan di gerai ini yang boleh anda ikut antaranya Chef Ady menyimpan skewer yang belum dicelur dalam bekas bertutup.
Bekas yang digunakan itu seperti kabinet berlaci yang boleh menyimpan skewer mentah. Saya ada bertanya apa kelebihan menggunakan bekas seperti ini dan jawabnya lalat tidak akan hinggap pada skewer yang terdedah.
Skewer juga tidak akan cepat kering yang akan mengurangkan kesegarannya. Skewer yang telah dicucuk juga hendaklah dipelihara kesegarannya dengan menyimpannya dalam peti sejuk.
Bagi anda yang ingin menyediakan celur-celur di rumah tidaklah sukar sebenarnya kerana hanya perlu mencucuk bahan seperti bebola daging ayam dan sebagainya dengan lidi pencucuk.
Beli satu dapur elektrik atau gas mudah alih dan didihkan air dalam periuk dan anda bolehlah mencelur skewer itu dan letakkan di tengah meja. Sediakan sos untuk makan bersama skewer anda.
Apa lagi cubalah makan sambil bersantai dengan resipi yang saya kongsikan minggu ini. Pada mereka yang ingin mencuba dan merasai sendiri pengalaman makan di gerai sambil menikmati celur celur bolehlah mengunjungi sendiri di gerai ini. Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: