Monday, June 4, 2012

Menu cita rasa Johor

Kambing panggang antara yang jadi tarikan di Coffee House Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur

Selera

kuala lumpur sememangnya 'syurga' makanan. Segala jenis sajian tempatan mahupun luar negara terdapat di ibu negara sehinggakan ia menjadi tarikan utama dalam kalendar pelancongan negara ini.

Apatah lagi apabila ia turut mendapat sokongan daripada pengusaha-pengusaha hotel yang mengambil kesempatan untuk mempromosi makanan sebagai tarikan kepada pengunjungnya.

Antaranya Hotel Sunway Putra (dulunya dikenali sebagai Hotel Legend), Kuala Lumpur baru-baru ini telah melancarkan promosi Makanan Johor bersempena sambutan Citrawarna.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Exco Negeri Johor, Hoo Seong Chang. Hadir sama Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Md. Za'nal Misran dan Pengurus Besar Hotel Sunway Putra, Ron Hasni Yusoff.

Menurut Ron Hasni, sempena promosi tersebut pihaknya menawarkan pelbagai menu menarik berdasarkan hidangan-hidangan terkenal dari Johor.

Katanya, negeri di selatan tanah air itu dipilih kerana ia kaya dengan kepelbagaian makanan yang jarang diketahui ramai.

Promosi bertema Jom Makan Besor (slanga Johor) bermula dari 18 Mei hingga 3 Jun ini.

Mengikut sejarah, masakan Johor banyak dipengaruhi oleh budaya Arab dan Maritim Asia Tenggara (Filipina, Brunei, Singapura, Timor Leste, Indonesia dan Malaysia).

Selain itu, Johor yang dikenali salah sebuah negeri termaju di Malaysia serta terkenal dengan eko-pelancongan, agro-pelancongan, sukan-pelancongan juga pusat perniagaan, pengangkutan dan hiburan.

Antara hidangan tradisional istimewa yang terkenal di Johor seperti nasi beriani gam, nasi ambeng, asam pedas ikan pari, ayam masak ros, kambing kuzi dan pajeri nanas pulang hari.

Chef Mohd. Khairulfazi Mohamed berkata, menu utama yang kebanyakan masyarakat gemari adalah asam pedas Johor.

Beliau merupakan chef jemputan untuk menyediakan hidangan Johor bagi hotel tersebut.

Kambing kuzi, sajian Johor yang tidak harus dilepaskan.

"Hidangan hari ini saya sediakan asam pedas ikan pari kerana ia adalah antara masakan popular rakyat Johor. Asam pedas ini agak berbeza dengan asam pedas Melaka kerana kuahnya yang lebih likat bagi memberi kepuasan mereka yang menggemarinya.

"Selain itu, beriani gam yang di masak dengan menggunakan beras khas bersama rempah dan dimakan bersama daging lembu, ayam atau kambing.

"Manakala nasi ambeng yang nasinya kekuningan dimakan bersama acar, ayam goreng berempah, daging rendang, sambal goreng tempe, ikan masin dan sambal belacan," jelasnya yang mempunyai pengalaman 10 tahun memasak.

Sementara itu, bagi menu makan malam hidangan yang disediakan seperti laksa Johor, mi rebus Muar dan mi bandung dan lontong.

Tambah Khairulfazi, untuk menu pencuci mulut pula dihidangkan ais kacang atau lebih dikenali sebagai Air Batu Campur (ABC), pisang salai, ubi kayu rebus gula melaka, kuih-muih tradisional dan buah-buahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: