Seperti yang diketahui ramai, falsafah kesenian barat sememangnya luas dan diagung-agungkan khalayak dunia seni termasuk peminat seni tempatan.
Bagaimanapun masih ada yang berfikir secara kritis apakah di alam Melayu rendah mutu keseniannya jika dibandingkan dengan kesenian lain.
Kembali kepada falsafah kesenian dalam pemikiran Melayu, mengapa motif-motif ukiran kayu, batik, mahupun rekaan yang terdapat pada labu sayong misalnya tidak diagungkan seperti karya Monalisa yang dipamerkan di Muzium Louvre.
Adakah mereka tidak pandai melukis karya realis berdasarkan sejarah yang ditulis orang tempatan?
Rasa-rasanya mustahil kerana karyawan kita hebat meniru dan mengubah suai motif-motif tersebut secara halus dan teliti.
Baru-baru ini, S3, berkunjung ke pameran berjudul Sulalatus Salatin Empayar Kesultanan Melayu Melaka di Balai Seni Visual Negara (BSVN).
Majlis sidang media ringkas itu dihadiri oleh Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Profesor Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Kurator Pameran, Haned Masjak dan pelukis terlibat iaitu Ismail Embong.
Sedikit sebanyak karya sedemikian memecahkan hening sunyi dalam arus kesenian kontemporari dengan adanya karya mengenai sejarah zaman kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka sepanjang abad ke-15.
Secara tidak langsung ia membuka minda kita selaku rakyat Malaysia untuk mencintai unsur seni tempatan dan sejarah tersendiri, selain menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam diri setiap pengunjung yang menghayatinya.
Biarpun zaman Kesultanan Melayu Melaka telah lama berlalu tetapi warisan sejarah dan budaya yang ditinggalkannya masih tetap dirasai hingga ke hari ini.
Dalam pameran tersebut, sebanyak 49 buah lukisan telah dipamerkan mengikut susunan peristiwa sejarah, saat-saat kejatuhan dan kegemilangan empayar Melaka serta ekspresi tokoh-tokoh pejuang yang terdahulu.
Ketika berada dalam majlis tersebut, penulis dapati yang pameran itu berjaya mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan pengunjung kerana bagi mereka, usaha ini berjaya menarik minat orang awam khususnya generasi muda dalam mempelajari dan mengenal sejarah Kesultanan Melayu lama.
Tajuk pameran itu, Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sebenarnya diambil dari karya sastera berunsur sejarah yang meriwayatkan mengenai Empayar Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 (1400 hingga 1511).
Dalam pameran ini, Ismail Embong atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Mail menggambarkan keadaan kehidupan bangsa Melayu yang terdiri daripada golongan raja-raja Melayu yang memerintah, adat istiadat, kepahlawanan dan kesetiaan rakyat serta perhubungan diplomatik serumpun dan antarabangsa di atas kanvas berbentuk mural.
Menurutnya, gambaran yang dihasilkannya itu merupakan gambar-gambar wira Melayu sejati.
"Di Eropah, mereka bangga dengan King Richard the Lionheart dan memujanya bagai seorang wira.
"Biarpun dia tewas di tangan Saladin, namun bangsa Eropah masih memujanya sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan kisah-kisah King Arthur dan pahlawan meja bulat.
"Dari situ, saya terfikir mengenai kenapa kita selaku orang Melayu tidak mengagungkan sejarah kita sendiri," jelasnya ketika ditanya mengapa beliau menghasilkan karya berunsur sejarah.
Pak Mail berkata, orang Melayu perlu berjuang mempertahankan sejarah sendiri daripada anasir-anasir yang cuba menjatuhkan bangsa kita.
"Saya muak tengok bangsa Melayu merosakkan bangsa sendiri, sebab itu saya menghasilkan karya berbentuk sejarah untuk mendidik generasi muda hari ini agar ia menjadi tunjang perpaduan supaya sejarah kejatuhan Melaka tidak berulang.
"Dalam pameran ini, saya mencuba sedaya upaya untuk menceritakan sejarah Melaka melalui lukisan untuk memudahkan pengunjung memahaminya.
"Dari zaman Parameswara sehinggalah zaman kedatangan Portugis. Kalau diizinkan, saya nak sambung kembali lukisan ini sehingga ke tahun 1940 seperti yang ada di PWTC," katanya.
Beliau berkata, sedikit sebanyak apa yang dilakukan ini merupakan tinggalan dan sumbangannya kepada dunia Melayu.
"Saya juga bercadang untuk menyambung lakaran tentang dunia Melayu dari zaman pemerintahan Kesultanan Melaka sehinggalah ke zaman penubuhan empayar Melayu Johor.
"Zaman Kesultanan Melayu Johor merupakan zaman perkembangan empayar Melayu. Ia jauh lebih berkembang jika dibandingkan dengan Melaka.
"Pelbagai kisah menarik ada pada zaman tersebut. Jika di Melaka, ada Tun Perak, di Johor pula adanya Panglima Jamil yang besar pengaruhnya pada zaman tersebut.
"Saya tidak boleh tunggu terlalu lama untuk menghasilkan karya ini. Saya kena buat secepat mungkin kerana tidak banyak masa yang tinggal," ujarnya.
Jelasnya lagi, di Singapura, mereka telah mula mengubah sejarah sehingga tidak menyentuh mengenai peranan orang Melayu.
Biarpun demikian, rakyat Singapura berbangga dengan sejarah mereka. Jika zaman Melaka dahulu, pelbagai kisah boleh diambil sebagai pengajaran tetapi pada hari ini kisah-kisah tersebut kembali menghantui kita.
"Benda macam ini kembali berlaku di Malaysia seolah-olah sejarah berputar dengan sendirinya.
"Sebab itu dalam pameran ini, saya menyiapkan karya bertajuk Wa'ad yang merupakan perjanjian antara raja-raja Melayu dengan rakyat jelata," katanya.
Kisah perjanjian itu bermula dalam kehidupan Sang Sapurba yang berasa resah setelah mengahwini 39 puteri yang semuanya mendapat penyakit kedal setelah 'dijamahnya'.
Mendengar khabar tersebut, Demang Lebar Daun mengusulkan baginda mengahwini puterinya, Wan Sundari yang cantik dengan syarat diadakan wa'ad di antara mereka berdua.
"Wa'ad menegaskan supaya kedua-dua pihak menghormati dan memelihara hak dan keistimewaan masing-masing iaitu raja dan rakyat, jikalau mana-mana pihak menyalahi wa'ad tersebut ia akan ditimpa bencana dan mendapat malu.
"Oleh kerana raja-raja dahulu ada yang melanggar perjanjian wa'ad, sebab itulah mengapa kerajaan Srivijaya tumbang dan Melaka tumpas kepada penjajah.
"Keadaan lebih buruk ketika zaman penjajahan Portugis, habis kesemua bahan bersejarah Melayu dibakar ataupun diambil mereka," ujarnya.
Sambung Pak Mail, keadaan semakin buruk apabila sejarah kita ditulis penjajah sehingga timbulnya cerita-cerita yang kononnya Sultan Mansur Shah perlu mencari hati nyamuk sebanyak tujuh dulang bagi memikat hati Puteri Gunung Ledang.
"Sejarah seperti itu menunjukkan kebodohan orang Melayu kerana saya kira banyak lagi khazanah Melayu yang bukan mitos.
"Sebagai orang Melayu, kenapa kita tidak boleh tulis sejarah kita sendiri. Sejarah Melayu bukan sekadar tulisan dan lukisan tetapi ia merupakan khazanah yang perlu dipulihara.
"Kita perlu bangkit dari dijajah kerana bangsa Melayu dahulunya pernah diiktiraf sebagai bangsa agung dalam sejarah dunia.
"Jangan sampai kita orang Melayu akhirnya menjadi percikan bangsa lain yang ada di negara sendiri," jelasnya.
Profesor Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar pula berkata, sebagai pelukis sudah tentu golongan ini berhasrat untuk menjual karya tersebut.
"Sayang kalau karya seperti ini dijual begitu sahaja. Saya cadangkan agar Kerajaan Negeri Melaka membeli lukisan ini untuk disimpan di Muzium Melaka sebagai khazanah warisan dengan baik.
"Selain itu, karya bertajuk Sulalatus Salatin Empayar Kesultanan Melayu Melaka juga boleh dijadikan sebagai penanda aras sejarah Melaka buat generasi akan datang," katanya.
Bagi merasai perjuangan, rentetan sejarah dan zaman kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka, orang ramai boleh berkunjung ke pameran yang bertempat di Galeri 1A, BSVN bermula 10 Mei sehingga 30 Jun 2012.
Pameran tersebut bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.Masuk adalah percuma.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: