UNGKAPAN ''Tiada bahagianya andartu" membuatkan golongan itu panas hati. Lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada kaum sejenis yang seolah-olah enggan memahami kenapa mereka tidak berkahwin. "Masizlah dan Mawar sebenarnya tidak mengerti apa yang dijelaskan oleh Norazlinda tentang statusnya. Jadi sebelum bangkang faham betul-betul apa yang ingin dikatakan,'' ujar Dania dalam e-melnya.
''Tidak ada gadis yang menolak cinta apa lagi jodoh yang baik dan mereka juga bukan memilih ataupun bongkak. Namun demi masa depan, mereka tak mahu tersalah langkah sehingga menyesal seumur hidup.
''Saya pernah didekati oleh tiga lelaki bergelar suami. Jika tidak memilih, saya pasti tangkap salah seorang daripada mereka. Tetapi haruskah saya terima cinta mereka asalkan saya dapat kahwin?
''Saya terpaksa fikir bahagiakah hidup saya dengan lelaki yang mudah memancing wanita, sedangkan hutang keretanya, ansuran rumah, bil air api semuanya dibayar oleh isteri yang baik dan tak tahu aktiviti liar suami di belakangnya? Sanggupkah golongan isteri bermadu agar andartu tak kesepian di hari tuanya?
''Tahun lalu saya dirisik oleh seorang lelaki bernama Hazril. Dia tidak mahu kenal dengan keluarga saya, tapi mahu segera nikah sebab dia tak ada teman wanita, tak pandai memilih dan percaya dengan pilihan keluarga. Hazril cukup misteri dan amat berahsia tentang dirinya. Ibu saya langsung tak setuju sebab tak kenal hati budinya. Takkan saya hendak terima lamarannya membuta tuli?
''Kepada wanita yang suruh kami muhasabah diri, wanita dan lelaki yang sudah berkahwin pun kena musahabah diri juga, sebabnya pada dasar saja mereka berkahwin, tetapi suka main-main cinta di pejabat. Apakah hidup mereka ini bahagia?
''Kawan baik saya sendiri setiap hari balik rumah dengan kehampaan sebab suaminya setiap malam pulang ke pangkuan kekasihnya wanita Fipilina! Ibu saudara saya, suaminya sudah berusia 55 tahun, tetapi bulan lepas nikah dengan wanita seberang di Narathiwat! Jadi bahagiakah hidup ibu saudara saya itu?
'' Kata Masizlah tak ramai wanita yang tak bahagia berkahwin! Ya, memang benar ramai pasangan bahagia dalam perkahwinan, tapi takkan kita nak terima siapa sahaja lelaki yang datang tanpa fikirkan masa depan?
''Kesimpulannya hidup zaman ini tidak semudah zaman dahulu. Corak hidup keluarga moden kini telah banyak berubah. Perkahwinan bukan lagi jaminan kebahagiaan. Kos hidup semakin tinggi dan pada usia 60-an mungkin kita belum mampu bersara. Namun status andartu tidak menghalang saya mensyukuri nikmat kehidupan. Kalau itu ketentuan Allah, pasti ada hikmah-Nya kepada kami nanti.'' Itu pandangan Dania.
Sementara itu, Siti menarik perhatian pembaca untuk merenung nasib sesetengah ibu dan ayah tua yang kini kecewa dan sakit hati apabila anak-anak meminggirkan mereka, malah ada yang membebankan dengan pelbagai masalah wang.
''Ada pasangan kahwin usia muda belia, bila usia meningkat 30-an mereka bercerai. Ada juga isteri yang tak tahu suaminya kahwin lagi dan ada anak, sedangkan si suami sentiasa ada di rumah. Tetapi andartu seperti kami tak perlu bimbang pun sebab tak ada suami.
''Menariknya, andartu seperti kami sering dipandang serong kerana tak kahwin, tetapi ketika mereka menghadapi masalah rumah tangga, kamilah tempat mereka mencurahkan perasaan untuk menghilangkan seksa di jiwa, minta nasihat dan sebagainya.
''Sebenarnya mereka suka menceritakan masalah keluarga kepada andartu, sebab kami ada masa mendengar rintihan mereka dan tidak mencerca balik. Apa yang penting mereka rasa selamat sebab rahsia mereka tidak jadi 'berita sensasi'.
''Bagi saya, suami ialah tempat kita bergantung, bukan kita tempat suami bergantung, takut kita akan ditinggalkan setelah harta dikikis ataupun dipalitkan dengan hutang suami apabila kita dijadikan penjamin pinjaman banknya.
''Pernah berlaku, sepupu saya terlantar di hospital, suaminya enjoy dengan perempuan lain. Ketika itu saya bekerja di Utara terpaksa datang ke Kuala Lumpur menjaganya beberapa hari sebelum dia menutup mata. Mengingatkan nasib arwah, menitis air mata saya, kini suaminya kahwin baru hidup senang-lenang dengan harta peninggalan isteri.
''Nasihat orang tua kita kena fikir yang buruk dulu sebelum fikir yang baik. Kerana yang baik tidak ada masalah.'' Itu cerita Siti panjang lebar menolak pandangan Mawar dan Masizlah yang mendakwa hidup andartu hanya akan bahagia jika berumahtangga.
Sementara itu, Sazmin seorang guru berusia 31 tahun juga amat tertarik untuk menjawab dakwaan Masizlah yang mendakwa tiada bahagianya andartu. Dia menyarankan Masizlah buka mata, tidak berfikiran cetek atau terlalu emosi apabila berbicara soal nikah kahwin dan andartu.
''Saya tidak setuju ukuran kebahagiaan hanya dengan berkahwin. Sesiapa sahaja boleh bahagia asalkan mereka gembira dengan apa yang dilakukan serta tahu apa yang dikehendaki dalam hidup ini.
''Saya pernah bawa pelajar melawat Rumah Seri Kenangan, rumah untuk orang tua, gelandangan dan mereka yang dipinggirkan oleh anak-anak serta saudara mara.
''Apa yang mengejutkan ada antara warga tua ini dihantar sendiri oleh ahli keluarga, jadi kebanyakan mereka ada suami atau isteri dan anak-anak.
''Oleh itu saya kurang bersetuju dengan pandangan Masizlah yang mengatakan "apabila usia emas segala ceria dan gembira" bagi yang berkahwin.
''Bagi saya, kehidupan kita ini 90 peratus dalam kawalan kita, bakinya di luar kawalan kita seperti jodoh, takdir dan urusan-urusan yang hanya diketahui Allah. Namun cara kita bertindak balas terhadap 10 peratus itulah yang memberi impak kepada seluruh kehidupan kita sama ada ingin bahagia atau derita.'' Itu pandangan Sazmin dalam e-melnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: