TERINGIN merasa makanan laut seperti di Bagan Lalang, Sepang, Selangor tapi tidak berkesempatan ke sana? Apa kata cuba Restoran Ikan Bakar Pulau Ketam yang terletak di Bandar Bukit Tinggi di Klang, Selangor.
Berhampiran dengan Jaya Jusco Bukit Tinggi, Tesco dan Giant Klang, restoran berkenaan menghidangkan pelbagai pilihan sos bagi ikan dan makanan laut.
Restoran yang dibangunkan oleh tiga anak muda, dua Cina dan seorang Melayu ini menghidangkan makanan laut yang segar terus dari Pulau Ketam.
Melangkah masuk sahaja, pengunjung pasti terpempan dengan replika sampan yang penuh dengan ikan dan makanan laut segar.
Apa lagi, pilihlah sendiri ikan, ketam, udang, lala, kerang atau pepahat dan timbang. Bagi masakan, pelanggan boleh merujuk kepada pelbagai jenis menu yang ditampal di dinding.
Pelanggan juga boleh merujuk harga ikan dan makanan laut pada papan kenyataan yang ada di sana.
Terdapat tujuh jenis masakan untuk ikan dan lapan jenis bagi makanan laut yang boleh dipilih oleh pelanggan.
Ikan Pari Pulau Ketam Grill antara hidangan istimewa yang menjadi kegemaran pelanggan di Restoran Ikan Bakar Pulau Ketam.
"Pada hujung minggu kami perlu menyediakan sehingga 80 kilogram (kg) ikan pari bagi memenuhi permintaan pelanggan," kata salah seorang pemiliknya Lee Ka Leong.
Rasa sambal dengan adunan cili kering, cili merah dan cili api ditambah dengan udang kering dan belacan yang dimasak sehingga garing cukup membangkitkan selera apatah lagi dihidangkan nasi panas-panas.
Tambah berselera dengan hidangan sotong sambal udang kering, lala lada Sarawak, Hawaiian grill dan ketam sos mayo kampung yang siap dengan lemak, manis, masin dan masam.
Makanan yang enak tidak lengkap tanpa minuman menyelerakan seperti kopi tiga lapis, ribena soda dan teh lemon ais kocak.
"Semua makanan laut dijamin segar kerana kami mengambil terus dari Pulau Ketam tidak kira pagi atau petang," kata Ka Leong.
Berasal dari Pulau Ketam, Ka Leong yang juga dulunya seorang nelayan bertanggungjawab memastikan makanan laut yang dihidangkan kepada pelanggan sentiasa segar.
Restoran ini juga menyediakan pelbagai pakej makanan yang boleh dipilih selain kad kesetiaan bagi pelanggan tetap mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: