DARI kiri, Caroline, Anas dan Zatul.
APABILA peringkat separuh akhir pertama berakhir pada minggu lalu, ternyata saingan sengit dapat disaksikan antara tiga peserta iaitu Caroline, Anas dan Zatul.
Hasilnya, ketiga-tiga peserta berkenaan diumumkan layak ke final, keputusan yang nyata memberikan kelegaan bukan saja kepada mereka, malah mentor masing-masing.
Biarpun turut berusaha mempersembahkan nyanyian serta persembahan menghiburkan, namun ia gagal menyelamatkan Tisha daripada tersingkir. Markahnya yang jauh di belakang, berbanding peserta lain pada minggu lalu, memakan diri wanita berbakat dari Pasir Puteh, Kelantan ini.
Caroline mendapat 131 markah keseluruhan daripada dua peringkat separuh akhir, manakala Zatul dengan 127 markah dan Anas 122 markah. Tisha hanya berupaya meraih 86 markah.
Caroline yang tampil sebagai peserta pertama mengadakan persembahan, sekali lagi menunjukkan keyakinan ketika menyampaikan lagu nyanyian asal mentornya, Layar Impian, dan juga Set Fire to the Rain (Adele).
Dalam usaha mengelakkan diri daripada disamakan dengan ratu rock itu, lagu pertamanya diubah hampir 100 peratus. Bagaimanapun lagu keduanya yang benar-benar menyerlahkan kekuatan gadis dari Tanah Merah, Kelantan ini.
Dia turut mendapat pujian juri tetap, Datuk Sharifah Aini, yang sukakan pilihan lagu dan konsep persembahannya.
Anas, yang dilihat antara calon popular sejak awal musim, cuba memikat perhatian dengan lagu asal Christina Perri, A Thousand Years, dan dendangan popular Meet Uncle Hussain, Drama King.
Dia nampaknya lebih percayakan persembahan yang kosong dari segi props, tetapi cuba bergantung kepada keupayaan vokal semata-mata. Namun Sharifah Aini menganggap kemampuan suaranya sedikit menurun pada minggu ini.
Zatul yang semakin menunjukkan peningkatan dalam persembahan, kemudian menggegarkan pentas dengan dua lagu rock, Taman Rashidah Utama dan Opera Hidup, daripada kumpulan Wings.
Bertindak bijak dengan mempersembahkan lagu nyanyian artis lelaki, ditambah ‘lakonan’ ala pantomim, Zatul mungkin peserta paling terserlah kesungguhannya dalam usaha untuk melangkah lebih jauh dalam pertandingan.
Dia bertuah disokong tunjuk ajar Ogy, yang sememangnya dikenali sebagai ‘guru yang tegas’ dalam membentuk anak seni. Begitupun persembahannya dilihat berlebihan oleh Sharifah Aini yang mahu melihat peserta ini lebih menumpukan kepada aspek vokal, pada peluang seterusnya.
Sementara itu, dalam usaha terakhir menawan perhatian juri serta undian peminat, Tisha memilih untuk mempersembahkan rangkaian lagu Dikir Rambong oleh kumpulan Kapilla dan Makhluk Tuhan Paling Seksi (Mulan Jameela). Paling tidak, gelekan peserta ini berjaya menggamatkan suasana di auditorium walaupun dirinya tidak mampu mengikut jejak tiga lagi protege ke pentas akhir.
Sebelum keputusan diumumkan, empat peserta terbabit menyerlahkan keupayaan masing-masing menerusi nyanyian medley lagu Gelora Cintaku, Meniti Titian Usang dan Teguh, dendangan asal Amy Search.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: