KESAL...Faridah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
DAKWA CEROBOH...perangkap sampah yang didakwa dibina di tanah milik Faridah.
KUALA LUMPUR: “Mereka perlu berbincang dan jangan cuba mengelak setiap kali saya meminta penjelasan berhubung status projek yang dilaksanakan di tanah milik saya,” kata suri rumah, Faridah M Mohamad, 56, di sini, semalam.
Menurutnya, rasa tidak puas hatinya itu berpunca daripada tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melantik kontraktor membina perangkap sampah bersebelahan tanah miliknya di Lot 5019 dan 5020, Jalan J2, Taman Melawati, di sini.
“Projek itu dimulakan sejak April lalu tanpa berbincang dengan saya. Mereka bukan saja menggali lubang besar kira-kira 20 kaki, malah komponen perangkap sampah itu menceroboh tanah saya.
“Sepatutnya mereka memaklumkan saya sebelum berbuat demikian. Jangan ingat disebabkan tanah itu kosong, ia tiada pemilik,” katanya.
Katanya, satu perbincangan pernah diadakan dan kontraktor terbabit menawarkan sagu hati RM5,000, namun tidak dipersetujui.
Menurutnya, nilai dua lot tanahnya itu mencecah RM250,000 dan jumlah ditawarkan itu tidak memadai.
“Saya sudah membuat aduan di Balai Polis Taman Melawati pada 11 Mei lalu dan usaha saya mendapatkan penjelasan JPS menemui jalan buntu apabila pegawai terbabit sentiasa sibuk dengan mesyuarat,” katanya yang bertegas akan memagar tanah miliknya itu.
Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati kerja menyiapkan perangkap sampah itu dihentikan manakala penutupnya dibiarkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: