GT Radial, jenama tayar antarabangsa kini menawarkan empat produk baharu dalam pasaran tempatan untuk kegunaan kenderaan penumpang. Tayar yang dimaksudkan ialah Champiro HPY, HPX, BAX-2 dan Eco.
Model GT Radial Champiro HPY dan HPX merupakan produk prestasi paling tinggi (ultra). Sementara BAX-2 ialah tayar untuk prestasi tinggi. Tayar Champiro Eco pula lebih mementingkan aspek alam sekitar.
Champiro HPY memiliki rekaan bunga tayar tidak simetri baharu dengan empat jejalur lebar. Produk silika penuh itu menawarkan cengkaman optimum di atas permukaan kering dan basah dengan tahap penghasilan bunyi rendah sewaktu kenderaan dipandu laju.
Tayar HPX dengan rintangan guling rendah pula mempunyai jejalur bentuk eliptik. Dihasilkan daripada material silika penuh termaju, tayar itu didakwa memberikan prestasi pengendalian dan kawalan stereng luar biasa sewaktu mengambil selekoh. Prestasi maksimum turut dirasai ketika berada di atas jalan basah.
Champiro BAX-2 memberikan kawalan baik dan keselesaan dalam pelbagai situasi pemanduan. Rekaan bunga tayar tidak simetri yang berasaskan kompaun silika penuh memberikan kestabilan sewaktu mengambil selekoh. Jejalur lebar pada bahagian tengah tayar menyalur air keluar secara optimum.
Produk mesra alam Eco pula membantu mengekalkan tekanan udara dalam tayar dalam jangka masa panjang dan membantu penggunaan bahan api secara efisien. Ia sekali gus meminimumkan kadar emisi karbon. Berbekalkan tiga jejalur simetri, ia membantu mengelakkan masalah akuasatah.
Tayar HPY ditawarkan daripada saiz 17 inci hingga 20 inci dan HPX bermula sekecil 15 inci hingga 20 inci. Model BAX-2 merangkumi saiz 14 inci hingga 16 inci, manakala Eco sesuai untuk rim kenderaan berukuran 12 inci ke 16 inci.
Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.gtradial.com.my/gtradial/malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: