KOTOR...tasik yang dipenuhi sampah-sarap.
SELAYANG: Bukan saja keadaan tasik kotor dan tebing ditumbuhi lalang, malah lampu jalan yang dipasang dicuri sehingga keadaan gelap-gelita pada waktu malam. Begitu keadaan bekas lombong dikatakan bakal dijadikan taman rekreasi di belakang Sekolah Kebangsaan Seri Murni, di sini.
Difahamkan, projek taman itu mula dibuka kepada penduduk sekitar dan orang ramai pada 2010, namun ia dibiarkan kotor dan terbiar sejak setahun lalu.
Tinjauan Metroplus mendapati, tasik yang sepatutnya kawasan larangan memancing itu kini menjadi tumpuan kaki pancing dan ‘nelayan tasik’ yang turut membina beberapa pondok bagi melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan jaring.
Penduduk, Abdul Ghani Mohamad, 51, berkata, pada awalnya tasik itu dibuka ada kontraktor yang membersihkan tasik dan kawasan sekitar, namun sejak tahun lalu keadaan terbiar dengan rumput yang panjang dan semakin kotor.
“Kawasan bekas lombong itu dijadikan taman rekreasi berikutan ia berhampiran perumahan penduduk dan bagi kemudahan orang ramai melakukan aktiviti beriadah.
“Pada awalnya ia sentiasa terjaga dan arahan dilarang memancing turut diletakkan di pintu masuk tasik ini, namun kini tanda berkenaan tidak kelihatan seperti ditanggalkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Bagi penduduk yang dikenali sebagai Mat, 42, dia semakin bimbang berikutan perumahan sekitar banyak dihuni warga asing dan ada antara mereka yang menyalahgunakan kawasan itu dengan melakukan vandalisme serta mencuri lampu jalan dan kotak fius.
“Bukan saja keadaan gelap dan menyeramkan, malah ada penduduk yang menjadi mangsa samun gara-gara menggunakan jalan tasik sebagai laluan singkat untuk pulang ke rumah.
“Saya berharap jika pihak terbabit tidak mahu menguruskan kawasan itu tutup saja daripada menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab dan jika mahu ia dibuka sebagai tempat rekreasi jangan biarkan terlalu lama kawasan berkenaan kotor dan penuh lalang,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Ismail Stapa, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengajukan perkara itu kepada bahagian jabatan berkaitan.
“Kami perlu menyiasat status tasik berkenaan dan jika ia masih di bawah DBKL pastinya kerja pembersihan kawasan sentiasa dilakukan dan jika berlaku sebaliknya mungkin ia tanggungjawab pihak persendirian,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: