|
TATKALA diberitahu salah satu tentatif program Splash and Fun 2012 anjuran Tourism Malaysia Selangor (TM Selangor) baru-baru ini merupakan lawatan ke sebuah tapak bekas lombong bijih timah di Puchong, penulis sedikit hairan.
Mengapa dalam banyak-banyak lokasi pelancongan di Selangor, lokasi yang terletak Taman Tasik Prima itu yang dipilih? Apakah keistimewaannya?
Keterujaan untuk membongkar misterinya menyebabkan penulis merasakan bas yang membawa rombongan terdiri daripada wakil media, penulis blog pelancongan dan wakil agensi pelancongan bergerak terlalu perlahan, sedangkan jarak dari Shah Alam ke Puchong hanya mengambil masa sekitar 30 minit sahaja.
Bas yang dinaiki hanya berhenti tatkala melewati sebuah kawasan perumahan yang sedang rancak dalam pembinaan. Di hadapannya terbentang luas sebuah tasik yang dikatakan antara yang terbesar di Puchong.
“Ok, kita akan turun di sini sebelum menyeberangi tasik dengan menaiki bot. Anda semua diminta berhati-hati dan sentiasa memakai jaket keselamatan,” beritahu seorang kakitangan TM Selangor yang turut mengikuti lawatan itu.
Peserta-peserta kemudiannya dibawa ke sebuah kawasan lapang menghadap persekitaran tasik seluas kira-kira 81 hektar.
“Selamat datang ke Asian Water Sports Village (AWSV). Macam mana pengalaman menaiki bot tadi, seronok?” sapa Ketua Pegawai Esekutif AWSV, Yong Chen Hui, tatkala menyambut ketibaan para peserta.
Chen Hui berkata, tapak bekas lombong bijih timah itu dipilih kerana kedudukannya yang strategik dan tidak jauh dari Lembah Klang.
“Pada asalnya, lokasi ini merupakan tempat saya melepaskan gian bermain jet ski bersama rakan-rakan, lagi pun ia terletak tidak jauh dari rumah saya di Taman Tasik Prima.
“Lama-lama saya terfikir, mengapa ia tidak dikomersialkan untuk aktiviti sukan air seperti yang sering ditemui beberapa pusat peranginan terkenal seperti di Port Dickson, Batu Feringgi atau Pulau Langkawi,” ceritanya yang memberitahu lokasi itu juga popular dalam kalangan kaki-kaki pancing.
Bermodalkan RM500,000, Chen Hui berjaya merealisasikan impiannya untuk membuka sebuah pusat riadah sukan air di Lembah Klang.
Dibuka secara rasmi pada 1 Mei lalu, AWSV menawarkan pelbagai pilihan sukan air kepada pengunjung yang sentiasa dahagakan debaran adrenalin dan ekstrem.
Tambah Chen Hui, antara permainan yang disediakan ialah jet ski, banana boat, kayak selain beberapa permainan sukan air ekstrem yang jarang ditemui di negara ini seperti storm, turbo blast dan evo pro yang diimport dari Amerika Syarikat.
“Di sini, pengunjung boleh bermain apa sahaja tanpa had mengikut pakej-pakej yang disediakan iaitu sesi pagi, sesi tengah hari atau sesi petang.
“Pada masa hadapan, kami merancang untuk menambah beberapa permainan baharu yang lebih ekstrem seperti pro X2, aquafly, thermo 3, r3 dan r4 serta aktiviti menyelam dalam tasik,” katanya.
Pantai buatan
Umpama sebuah pantai buatan, AWSV dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti gazebo, kios, tandas awam dan kerusi rehat.
Ketika ini katanya, pengunjung hanya dibenarkan mengakses lokasi itu dengan menaiki bot yang disediakan oleh pihak pengurusan AWSV.
“Ia secara tidak langsung memberikan pengunjung lebih privasi untuk melakukan pelbagai aktiviti lain seperti berkelah atau barbeku bersama teman atau keluarga,” ujarnya yang turut menawarkan pakej khas bagi tujuan itu.
Jelas Chen Hui, pengunjung tidak perlu bimbang mengenai keselamatan kerana semua aktiviti yang disediakan di situ telah diuji dan disahkan selamat.
Katanya, di samping itu pengunjung juga turut dilindungi insurans di samping kehadiran beberapa kakitangan terlatih yang sentiasa memantau sekiranya berlaku kecemasan.
“Kami amat bertegas dalam soal keselamatan. Pengunjung diwajibkan memakai jaket keselamatan setiap kali berada di atas air di samping mengikut arahan-arahan yang ditetapkan,” ujarnya.
Seorang peserta, Nur Syamimie Ahmad, mengakui cukup teruja saat pertama kali berkunjung ke AWSV.
Berasal dari Kapar, Klang, gadis berusia 22 tahun itu berkata, sebelum ini aktiviti sedemikian hanya terbatas di kawasan pantai semata-mata.
“Saya pernah menaiki jet ski dan banana bot ketika berkunjung ke Port Dickson beberapa tahun lalu.
“Bagaimanapun, AWSV agak berbeza kerana beroperasi di kawasan tasik yang terbentang luas berbanding kawasan pantai yang sentiasa sesak dengan pengunjung dan pastinya sentiasa terdedah kepada risiko,” katanya.
Katanya, pengunjung boleh memilih untuk bermain permainan sukan air biasa seperti banana boat atau kayak sehinggalah ke permainan yang lebih ekstrem seperti storm dan turbo blast.
Jelasnya, pengalaman bergerak di atas tiub pada kelajuan pada kelajuan tinggi sememangnya sukar diungkapkan dengan kata-kata.
“Hentaman pada permukaan air tasik menyebabkan badan terlambung-lambung, percikan air yang mengenai muka pula dirasakan seperti tusukan jarum, namun peliknya semua kesakitan itu mengundang keseronokan sebaik sahaja ia berakhir.
“Ia bukan sekadar aktiviti lasak semata-mata, sebaliknya direka untuk turut menguji keberanian dan keyakinan diri seseorang di samping satu jalan mudah untuk melepaskan tekanan,” katanya.
Sementara itu, Nurul Izzati Roslan, 24, berkata, dia tidak menyangka tapak bekas lombong bijih timah itu mampu dikomersialkan menjadi salah sebuah destinasi pelancongan dan aktiviti riadah sukan air popular di Selangor.
“Kedudukannya yang strategik di Puchong memudahkan pengunjung menikmati aktiviti lasak dan ekstrem dalam suasana penuh privasi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: