Monday, June 4, 2012

Pupuk kreativiti, kongsi budaya

Sesi skype antara para pelajar Malaysia dan Jepun pada program KWN anjuran Panasonic di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengetahuan para pelajar mengenai dunia teknologi sekarang amat terserlah, tambahan pihak sekolah sentiasa menitikberatkan dan memberi pendedahan yang luas kepada mereka.

Baru-baru ini, seramai 115 pelajar daripada 53 buah sekolah di seluruh negara telah terpilih untuk mengikuti program video pendidikan pada tahun ini.

KWN (Kid Witness News) adalah program pendidikan video global yang dianjurkan oleh Panasonic, bertujuan meningkatkan kreativiti dan kemahiran berkomunikasi serta memupuk semangat berpasukan melalui video yang dihasilkan oleh kanak-kanak di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Jenama Panasonic, Azizah Wahid berkata, sudah lapan tahun program itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan terbuka kepada pelajar sekolah kerajaan berumur antara 10 dan 17 tahun.

"Sambutan pihak sekolah pada tahun ini amat mengejutkan kerana sebanyak 700 buah sekolah telah berdaftar dengan menghantar lebih daripada 400 jalan cerita.

"Pada tahun ini, aktiviti baru yang ditambah dalam program ini adalah sesi pertukaran antara budaya yang diadakan buat kali pertama di antara peserta KWN Malaysia dan pelajar KWN Jepun melalui skype.

"Ini memberi peluang kepada pelajar Malaysia dan Jepun untuk berinteraksi dan berkongsi antara satu sama lain mengenai kebudayaan masing-masing," jelasnya.

Melalui aktiviti tersebut, seramai 40 pelajar mengambil bahagian dalam sesi skype, manakala pelajar selebihnya menyaksikannya melalui siaran langsung.

Antara persembahan yang ditunjukkan oleh pelajar Malaysia ialah kompang, wayang kulit, pakaian tradisional tempatan, congkak dan pakaian pelbagai kaum di negara ini.

Kesemua persembahan berkenaan ditonton oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Jepun Marimura, Yokohama.

Selepas persembahan pelajar Malaysia yang diakhiri dengan nyanyian lagu Jepun Kiroro Mirae, dipersembahkan pula pertunjukan budaya oleh pelajar Jepun.

Seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Saujana, Kuala Lumpur, Irdina Haidah Mazlee, 11, berasa seronok apabila menunjukkan permainan congkak di hadapan pelajar jepun.

Seorang lagi peserta, Emmanuel Peter, 11, dari Sekolah Kebangsaan Pekan 2, Labuan, Sabah, menggayakan pakaian tradisional bagi kaum Iban.

"Saya bangga dan seronok kerana dapat berinteraksi dan mempertontonkan baju tradisional ini kepada pelajar Jepun walaupun tidak dapat pergi ke sana," ujarnya.

Menerusi program berkenaan, para pelajar menghasilkan video lima minit berdasarkan tema ekologi dan komunikasi yang akan dipertandingkan.

Dalam proses itu, pelajar akan mempelajari bagaimana pengeluaran video dihasilkan, penyediaan jalan cerita, pembahagian ahli pasukan kepada tugas masing-masing seperti jurukamera, penulis skrip, penyelaras muzik, pengarah pengeluaran, editor, dan sebagainya.

Tempoh untuk para peserta KWN menghantar hasil video mereka adalah pada Julai depan.

Selepas itu, hanya 10 buah sekolah yang terpilih menghasilkan video terbaik akan menerima anugerah pada Majlis Penganugerahan KWN pada bulan September dan pemenang utama akan mewakili Malaysia dalam Pertandingan Serantau KWN.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: