Thursday, June 14, 2012

Ikat perut beli Transformers

RAZLAN turut memiliki pelbagai patung dan barangan watak adiwira lain seperti sarung tangan Ironman yang dipakainya itu.

MASIH kuat di ingatan jejaka berusia 22 tahun ini sewaktu kecil dia sering menghabiskan hari minggu menonton siri kartun kegemaran di peti televisyen dan tabiat itu dibawa hingga besar dengan menontonnya bersama anak-anak saudara.

Tidak cukup dengan pelbagai siri animasi yang dihidangkan stesen televisyen, jejaka ini turut menyambung kegilaannya dengan membaca komik-komik yang terdapat di pasaran.

Imbas pemilik nama Mohd. Zeira Radzlian Abu Bakar, dek kerana kegilaannya terhadap siri kartun terutamanya Transformers, dia sanggup mengikat perut mengumpul duit belanja harian ke sekolah dicampur dengan duit raya bagi memiliki mainan idamannya.

Patung pertama dibeli pada tahun 2005 yang masih disimpannya sehingga sekarang ialah Long Rack, salah satu watak dari drama animasi Transformers Cybertron.

Minat yang mendalam terhadap animasi yang berasal dari Jepun iaitu Transformer membuatkan dia memilih untuk bekerja di sebuah kedai barangan mainan di Putrajaya sebaik saja habis persekolahan.

Di sana, Radzlian yang selesa dipanggil Razlan benar-benar menikmati kerjayanya memandangkan dia bekerja di 'syurga' untuk peminat tegar patung-patung serta barang mainan Transformers.

"Seronok bekerja di sana kerana saya dapat berkenalan dengan ramai orang yang memiliki minat yang sama seperti saya, membuktikan saya tidak berseorangan.

"Selama tiga tahun di sana, saya dapat berkongsi minat serta pengetahuan dengan pelanggan malah ada patung Transformers yang dapat saya miliki terlebih dahulu kerana kami yang akan membuat tempahan dari luar negara," imbasnya yang kini bekerja di sebuah panggung wayang di Brem Mall, Kepong.

Akui Razlan, hobinya ini bukannya murah. Sudah beribu-ribu Ringgit Malaysia telah dihabiskan walaupun tabiat mengumpul patung mainan ini secara agresif baru beberapa tahun saja dimulakan sejak mula memegang duit sendiri.

Setiap bulan, Razlan akan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM300 khas untuk hobinya itu dan tidak lengkap hidupnya andai tidak membawa pulang sekotak dua patung mainan ke rumah sebaik saja gaji masuk.

Paling disayangi dan mahal menjadi hartanya setakat ini ialah patung Ultimate Optimus Prime dari filem Transformer 2, the Fallen pada tahun 2009 yang dibelinya dari Jepun menerusi belian Internet.

"Tidak dinafikan hobi sebegini membazir bagi pandangan umum, tetapi bagi peminat seperti saya, ia adalah kepuasan bila dapat memenuhi tuntutan hati.

"Apa yang penting, duit untuk hidup perlu ada dan selebihnya terpulang kepada kita bagaimana hendak menghabiskannya asalkan tidak mengganggu orang lain," ujarnya yang pernah menjual sekali saja patungnya kerana mahu mendapatkan patung mainan yang lebih baru idamannya.

Selain Transformers, Razlan turut mengumpul pelbagai patung watak animasi lain seperti Superman, Hulk, Iron Man, Thor dan Gundam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: