
CITA rasa moden kontemporari yang diterapkan dalam rekaan dalaman dan dekorasi menjadikan Hotel MH yang terletak di tengah-tengah bandar raya Ipoh sebagai lokasi persinggahan yang tepat bagi mereka yang ingin bercuti di bandar raya bersejarah itu.
Berusia tidak sampai setahun sejak pelancarannya pada akhir tahun lalu, hotel tersebut menawarkan suite istimewa seperti suite kelab kontemporari, bilik tema wanita dan bilik tema rekaan industri.
MH Hotels Sdn. Bhd. sebagai syarikat pengendali, sememangnya berusaha menjadikan hotel berkenaan sebagai hotel butik korporat yang ceria, bersahaja dan fleksibel.
Tetamu boleh memilih bilik yang sesuai dengan kapasiti dan bajet masing-masing.
Bilik asas dalam saiz 37.2 meter persegi hingga 92.9 meter persegi dilengkapi dengan kemudahan televisyen LCD, perkhidmatan WiFi, kemudahan membuat teh dan kopi, dobi dan peti ais.
Bilik keluarga amat sesuai bagi mereka yang ingin berehat bersama keluarga di Hotel MH. Bilik itu mampu menampung dua orang dewasa dan dua kanak-kanak berusia lebih 12 tahun.
Suite eksekutif pula direka dengan rekaan kontemporari dengan pemandangan panorama Ipoh. Ia dilengkapi dengan bufet sarapan yang berakhir pukul 10.30 pagi.

Suite presiden Hotel MH, menawarkan kemewahan dan keselesaan untuk penginapan yang pastinya tidak dapat dilupakan tetamu. Lebih-lebih lagi dengan kemudahan limousin yang disediakan atas permintaan.
Pengunjung pasti menyukai pelbagai rekaan dalaman atau dekorasi bilik yang pelbagai antaranya bingkai gambar bermotif bunga-bungaan atau pinggiran pantai yang menimbulkan mood kedamaian, lantai kayu berkarpet dan penataan warna dinding.
Makanan laut
Untuk menikmati pilihan hiburan yang ada, Hotel MH terletak dalam lingkungan 5 hingga 10 minit perjalanan sahaja untuk ke kelab-kelab atau bar di sekitar hotel.
Bagi mereka yang ingin mengadakan sebarang majlis pula, grand ballroom yang terletak di tingkat lima atau bilik seminar di tingkat enam menyediakan kemudahan terkini termasuk televisyen LED terbina dalam.
Sky Lounge yang terletak di aras tujuh menawarkan pelbagai minuman sejuk di samping menawarkan pemandangan langit yang indah terutamanya ketika matahari terbenam dan kehijauan kawasan pergunungan.

Ia adalah lokasi bersantai yang wajib dikunjungi tetamu hotel terutamanya bagi menghabiskan masa dengan teman-teman.
Hotel MH sedang dalam usaha menambah pelbagai menu di Sky Lounge seperti makanan Jepun bagi memenuhi permintaan tetamu. Sarapan Inggeris penuh disediakan, malah perkhidmatan bankuet turut disajikan untuk acara seminar dan makan malam korporat.
Di Unique Seafood Ipoh yang terletak di aras bawah, pengunjung boleh memilih lebih daripada 100 jenis masakan laut yang akan dimasak oleh master chef mengikut pilihan anda. Di samping itu, anda boleh mencuba pelbagai menu baharu yang mungkin belum pernah dinikmati sebelum ini.
Makanan laut berkenaan diimport dari serata dunia dan dijamin segar antaranya ketam salji dan lobster dari Australia, ikan soh mei dari Sabah, geoduck dari Mexico dan sturgeon dari Rusia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: