Saturday, June 9, 2012

Kembalinya Teluk Mexico


TARIKAN sejarah maritimnya dan keunikan bangunan-bangunannya menjadikan Apalachicola antara destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi oleh pelancong.


SEKIRANYA anda membuka siaran televisyen di Amerika Syarikat (AS) sejak kebelakangan ini, kemungkinan besar anda akan melihat pelbagai iklan mengenai keindahan pantai, keenakan makanan laut dan wajah-wajah ceria yang bercerita mengenai Teluk Mexico.

Namun, sedar atau tidak di sebalik iklan-iklan yang dilihat terselit lambang hijau milik syarikat petroleum terkemuka, BP.

Pembiayaan terhadap kesemua iklan itu membuktikan kesungguhan BP untuk memulihkan semula industri pelancongan di Teluk Mexico selepas kejadian kebocoran minyak yang disifatkan terbesar dalam sejarah AS atau Deepwater Horizon 2010.

Itu cerita dua tahun lalu, kini kisah tumpahan minyak telah pun berakhir, malah aktiviti pelancongan di teluk itu juga semakin rancak.

Tidak dapat dipastikan berapa ramai pelancong yang teruja melihat iklan berkenaan yang dipancarkan di seluruh negara dengan tajuknya, Voices of the Gulf. Namun apa yang pasti, Teluk Mexico kembali menjadi sebutan dan destinasi pelancongan utama di AS pada tahun 2011.

Seperti warga kota New York yang lain, saya pernah melawat beberapa tempat di Florida dan Orlando yang terkenal dengan tarikan taman temanya, Fort Lauderdale, South Beach serta melihat keindahan alam semula jadi di Everglades.

Bagaimanapun, nama Teluk Mexico tidak pernah terlintas di minda saya, apatah lagi menjadikannya sebagai destinasi percutian.

Selepas melihat iklan yang disiarkan juga saya masih ragu-ragu untuk melawat bandar yang terletak di utara Florida itu.

Akhirnya ke Teluk Mexico

Terkenal dengan sejarah, pesisir pantai yang memanjang sehingga ke Alabama, Teluk Mexico merupakan destinasi percutian musim panas dan musim sejuk bagi penduduk di bahagian selatan dan barat.

Bagaimanapun, pengaruh iklan itu menyebabkan warga New York mula mengunjungi Redneck Riviera, yang dianggap syurga bagi peminat-peminat aktiviti pantai di AS.

Saya bersama kakak akhirnya merancang percutian ke Teluk Mexico. Kami menikmati tiram segar, melihat burung, melawat tempat-tempat bersejarah dan berjemur di atas pantainya yang memutih.


PELBAGAI usaha yang dilakukan dilihat telah berjaya menarik kehadiran pelancong ke Teluk Mexico.


Kami melawat St. Petersburg, dan tiba di Sunshine Skyway Bridge, jambatan kabel sepanjang 6.4 kilometer yang merentangi Teluk Tampa.

Di sana kami sempat melawat Dali Museum yang menyimpan pelbagai karya seni dan arca unik milik artis yang terkenal dengan keunikan misalnya, Salvador Dali.

Seterusnya kami ke Tampa Ybor City, sebuah daerah kecil bersejarah yang terkenal dengan perusahaan cerut. Di sana kami menginap di 1895 Don Vicente Inn dengan kadar harga sekitar AS$139 (RM417) semalam.

Dilatari seni bina bangunan lama yang memukau, hotel itu menjanjikan keselesaan dengan tilam yang empuk dan pelbagai kemudahan moden seperti akses jalur lebar internet.

Dalam penjelajahan itu juga kami sempat singgah ke Apalachicola dan berkunjung ke Indian Mounds di Crystal River State Archaeological Siteke. Lokasi di kawasan berbukit yang diliputi rumput hijau itu merupakan tapak yang menyimpan pelbagai sejarah dan mitos masyarakat Indian di AS.

Apalachicola juga tidak kurang menariknya. Di situ pengunjung berpeluang melawat bandar pelabuhan lama yang merupakan pelabuhan ketiga terbesar di Teluk Mexico.

Terkenal dengan sejarah maritimnya dan keunikan bangunan-bangunan bersejarah, Apalachicola antara destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi oleh pelancong.

Berjemur di pantai

Kami menginap di Gibson Inn, sebuah hotel yang dibina pada tahun 1907 di National Register of Historic Places pada kadar AS$115 (RM345) semalam. Sepanjang berada di situ, kami berpeluang menikmati sajian terbaik seperti tiram di Indian Pass Raw Bar serta hidangan makan malam.

Saya dan kakak turut membeli tiram mentah dan berpeluang memasaknya sendiri. Sedozen tiram dengan harga AS$6 atau AS$7 (RM18 hingga RM21) nyata cukup berbaloi dengan keenakan yang ditawarkan.

Keterujaan untuk menerokai keindahan pantai membawa kami ke St. Andrews State Park. Berjemur di bawah cahaya matahari sambil menikmati alunan ombak di pantai yang dilatari pasir yang memutih nyata sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Kami meneruskan pengembaraan ke Pensacola, sebuah bandar pelabuhan kecil di Teluk Pensacola yang bersambung dengan Teluk Mexico.

Selepas menikmati sarapan pagi di salah sebuah rangkaian restoran terkenal, Waffle House lokasi pertama yang dituju ialah Historic Pensacola Village.

Mengandungi 22 bangunan bersejarah dan muzium yang dimiliki dan dikendalikan oleh University of West Florida, kunjungan ke sini membuatkan pengunjung seolah-olah kembali ke zaman silam.


JIKA berkesempatan jangan lupa melawat Dali Museum yang menyimpan pelbagai karya dan arca seni milik artis terkenal, Salvador Dali.


Dibuka bermula dari Selasa hingga Sabtu, pengunjung perlu membayar sebanyak AS$6 (RM18) sebelum berpeluang melawatnya.

Saya diberitahu, Pensacola mempunyai sejarah panjang berusia 450 tahun bermula dari era penjajahan Sepanyol, Perancis, British dan sebelum kewujudan AS.

Cuaca cerah menyambut kami sebaik tiba di Florida. Ia terkenal dengan keindahan pantai yang memukau iaitu Perdido Key State Park.

Di situ, kami sempat meneroka di sekitar Gulf State Park berhampiran pelabuhan untuk melihat sekumpulan pemancing melakukan aktiviti mereka.

Tidak cukup dengan itu, keesokan harinya, pagi-pagi lagi kami telah menyertai sekumpulan peminat burung di Fort Morgan State Historic Site. Ia merupakan lokasi untuk melihat burung-burung yang berhijrah dari Amerika Selatan.

Saya perhatikan, beberapa sukarelawan tekun menangkap burung-burung yang hinggap di atas dahan pokok, menimbang berat, mengukur sebelum melepaskannya semula.

Aktiviti yang sama turut boleh dilihat pada 4 hingga 6 Oktober di bandar Fairhope, Alabama apabila ribuan burung mula berhijrah ke bahagian selatan menjelang musim sejuk nanti.

Kami kemudiannya menaiki feri meninggalkan Fort Morgan merentasi Mobile Bay menuju ke Dauphin Island.

Seterusnya kami menuju ke Dauphin Street, menikmati panorama di sekitar Bienville Square yang terkenal dengan reka bentuk bangunan-bangunan bersejarah dan terus menjadi identiti utama bandar itu.

Jika perut berasa lapar, usah risau terdapat beberapa seleksi restoran makanan Jepun dan Itali yang boleh dikunjungi di sekitar Bicycle Shop, 651 Dauphin.

Pada hari-hari terakhir lawatan, kami sempat melawat ke Bellingrath Gardens. Biarpun musim bunga camellia dan azalea telah pun berakhir, namun terdapat tarikan lain yang boleh diteroka di sekitarnya.

Misalnya lawatan ke rumah agam Bellingrath yang kaya dengan pelbagai khazanah antik serta bersantai sambil menaiki bot.

Kami sempat menikmati hidangan di Sonny’s Real Pit Bar-B-Q yang terletak di 770 Schillinger Road South sebelum meneruskan pengembaraan melihat pelbagai bangunan kerajaan yang bersejarah di Mobile Historic Development Commission.

Kakak saya meneruskan pengembaraannya ke Louisiana, Mississippi dan beberapa negeri lain.

Saya pula mengambil keputusan pulang ke New York. Sesungguhnya, saya berpuas hati dan kagum dengan keindahan pantai, makanan laut dan layanan mesra sepanjang lawatan Teluk Mexico seperti yang dilihat di kaca televisyen sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: