Monday, June 4, 2012

Ekspedisi jejak Gunung Peninjau

PARA peserta di puncak Gunung Peninjau di Chemor, Perak.

ADA awal April lalu, seramai 24 peserta termasuk penulis telah menyertai Ekspedisi Mendaki Gunung Peninjau yang dianjurkan oleh Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL). Gunung ini terletak di Hutan Simpan Kledang Saiong, Ulu Chepor, Chemor, Perak. Ia mempunyai ketinggian 1058 meter (3471 kaki) dari paras laut.

Walaupun tidak setinggi puncak gunung lain di Malaysia, namun cabaran menjejaki puncak Gunung Peninjau tidak kurang hebatnya. Ini kerana pelbagai halangan terpaksa ditempuh peserta. Gunung Peninjau juga pernah dijadikan 'gunung angkat' oleh Kelab Rakan Muda dan Persekutuan Mendaki Malaysia.

Ekspedisi dua hari satu malam ini diketuai oleh pemandu arah, Yassir Ishak, 36, atau dikenali dengan panggilan Pak Sheikh, manakala ketua program pula ialah Abdul Jalil Abdul Hamid, 31. Mereka dibantu beberapa ahli jawatankuasa kelab yang dilantik bagi menjayakan ekspedisi tersebut. Berikut catatan perjalanan kami.

Hari Pertama: Seawal pukul 7 pagi pada 7 April 2012, para peserta mula berkumpul di hadapan Heritage Cafe, Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Setelah mendengar taklimat perjalanan, para peserta mula bergerak secara berkonvoi dengan menaiki kereta menuju ke lokasi permulaan mendaki di kawasan perkelahan Ulu Chepor, Chemor, Perak.

Sebanyak lima buah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) telah digunakan. Konvoi kami menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan hampir dua jam perjalanan, sebelum memasuki Plaza Tol Ipoh Selatan, seterusnya ke pekan Chemor. Setibanya di pekan itu, kami melapor diri di balai polis untuk memaklumkan tentang pendakian, selain 'menapau' makan tengah hari.

Apabila semuanya selesai, kami meneruskan perjalanan menuju ke lokasi permulaan mendaki. Sebelum mendaki, kami menikmati hidangan tengah hari yang dibeli tadi, mendengar taklimat pendakian dan melakukan senaman ringan serta bacaan doa. Pada awal pendakian, kami menempuh denai hutan di tepi sungai. Deruan air terjun yang deras di kawasan jeram sepanjang laluan mengiringi perjalanan.

Kemudian kami memasuki sebuah laluan gua kecil yang terbentuk secara semula jadi oleh gabungan dua bongkah batuan sungai yang agak besar. Sasaran kami pada hari pertama adalah tiba di lokasi tapak perkhemahan untuk bermalam.

BEBERAPA ahli jawatankuasa program sibuk menyiapkan hidangan makan malam.

Pada peringkat kedua pendakian, laluan yang ditempuh adalah di tepi tebing sungai yang telah lama tidak digunakan. Kami juga mula mendaki denai hutan yang agak curam. Memandangkan Gunung Peninjau ini jarang didaki, maka laluan denai hutan dipenuhi dengan semak dan paku resam, selain balak tumbang menghalang perjalanan.

Tanah gambut yang licin membuatkan setiap peserta berhati-hati setiap kali melangkah. Langkah kami terhenti apabila laluan yang mahu ditempuh perlu ditebas. Parang dihayun dan bermulalah tugas membersihkan laluan yang dilakukan oleh pemandu arah dan dibantu oleh beberapa peserta.

Hampir sejam laluan kami terhenti. Tanpa berlengah, kami meneruskan perjalanan sebaik sahaja laluan mulai 'cerah'. Pokok balak yang menghalang perjalanan memaksa kami merangkak dan meniti di atasnya. Selain itu, kami juga diminta berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling agar tidak terpegang tumbuhan berduri yang terdapat di kiri dan kanan laluan.

Setelah hampir empat jam mendaki, akhirnya kami tiba di tapak perkhemahan. Memandangkan hari semakin lewat petang, kami segera mendirikan khemah. Beberapa peserta mula membersihkan diri di sungai berhampiran. Senja berlalu dan setelah selesai solat Maghrib, kami mula memasak untuk makan malam dengan menu yang cukup istimewa.

Cuaca yang kering memudahkan unggun api dinyalakan bagi menerangi kawasan perkhemahan. Bagi mengisi masa terluang, sesi unggun api mula dilakukan oleh beberapa peserta yang berdiri mengelilinginya sambil bercerita mengenai pengalaman pendakian masing-masing.

Sebelum makan malam, semua peserta berkumpul bagi menjayakan program 'taaruf' iaitu sesi perkenalan antara setiap peserta. Tujuan program ini adalah untuk mengenali dan mengeratkan lagi silaturahim antara setiap peserta.

Hari Kedua: Setelah sarapan dan menyediakan hidangan tengah hari, kami mula mengatur langkah untuk menjejaki puncak Gunung Peninjau yang berada kira-kira dua jam pendakian dari kawasan perkhemahan. Peluh mula membasahi tubuh tatkala mendaki di laluan yang agak curam. Ada di antara laluan memaksa kami menggunakan tali keselamatan yang disediakan. Tidak kurang juga, ada peserta terpaksa merangkak dan berpaut pada akar-akar pokok untuk meneruskan perjalanan.

Laluan yang mencanak ini membuatkan seorang peserta mengalami kekejangan otot. Bantuan kecemasan segera diberi. Alat Pertolongan Cemas (First Aid Kit) yang dibawa digunakan untuk melegakan kesakitan yang ditanggung peserta terbabit. Setelah hampir dua jam memerah tenaga dan keringat, akhirnya puncak Gunung Peninjau berjaya dijejaki. Riak gembira dan keceriaan jelas terpancar pada wajah setiap peserta.

SESI unggun api yang meriah dengan pelbagai cerita daripada para peserta program.

Di puncak gunung ini, terdapat sebuah penanda puncak berbentuk segitiga yang diperbuat daripada besi dan zink. Tidak berapa jauh dari puncak ini terdapat kawasan untuk melihat pemandangan sekeliling. Kami dapat melihat pemandangan pekan Chemor, bandar raya Ipoh dan gunung kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia, Gunung Korbu (2,183 meter/7,162 kaki) dari paras laut.

Beberapa peserta tidak melepaskan peluang merakamkan gambar di sini. Kami mengambil beberapa keping foto berkumpulan sebagai kenang-kenangan sebelum turun ke tapak perkhemahan untuk makan tengah hari.

Kemudian kami mula berkemas untuk turun ke kawasan perkelahan Ulu Chepor. Kami singgah di sebuah jeram untuk mandi-manda. Kesegaran air jeram membuatkan para peserta tidak melepaskan peluang untuk berendam di dalam sebuah kolam semula jadi. Aksi 'terjun tiruk' turut dilakukan oleh beberapa peserta. Ada juga yang mencuba nasib menaikkan beberapa ekor ikan air tawar yang menghuni sungai.

Tepat pukul 6 petang, kami meninggalkan kawasan perkelahan Ulu Chepor untuk pulang semula ke Kuala Lumpur.

Untuk ekspedisi mendaki gunung yang akan datang, Kelab OGKL menganjurkan program mendaki Gunung Tiong di Johor pada 16 dan 17 Jun 2012. Untuk maklumat lanjut, bolehlah melayari www.ogkl.com.my atau e-mel crew@ogkl.com.my atau laman sosial ogkl http://groups.to/ogkl/.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: