SEMAKIN lama bergelar anak seni, semakin banyak liku yang harus dilalui. Semakin besar pengorbanan yang dilakukan, hempedu rasa makin perit dengan pelbagai persoalan yang tidak pernah habis untuk dirungkai.
Ada magis dalam diri Fazura sebenarnya. Saat orang lain cuba mencari pelbagai cara untuk lebih menonjol, limpahan cahaya menyinari perjalanannya tanpa perlu dicari. Dia hanya berserah inilah jalan terbaik buatnya.
Biarpun dihimpit dengan seribu satu resah yang tidak berkesudahan, itu bukan penamat buatnya. Sebaliknya pelbagai kata-kata kurang enak yang dilemparkan oleh sesetengah pihak yang iri hati, ditolak ke tepi tanpa meninggalkan kudis.
Bukan sekali dua kes-kes nakal hinggap pada dirinya. Apa sahaja tohmahan yang tidak dilemparkan kepadanya? Berapa banyak lagi perkara yang perlu dijawab? Kalau dulu dia membenarkan dirinya melayan segala cerita negatif, tetapi Fazura hari ini tidak seperti dulu lagi.
“Dulu saya layan apa sahaja cerita negatif yang keluar sampai buat saya rasa geram. Saya menyesal sebab membenarkan perkara itu masuk ke dalam fikiran dan mengganggu hidup saya.
“Tapi sekarang tidak lagi. Apa sahaja yang orang nak cakap biarlah. Saya tak mahu terus melayan cerita yang tak betul. Orang yang menyebarkan cerita mungkin ada agenda tersendiri tapi percayalah, saya sudah ‘kebal’ dengan cakap-cakap orang.
“Orang tidak akan pernah berpuas hati dengan kita. Lagi banyak kita menafikan perkara yang tak betul, lagi ramai yang akan cakap macam-macam seolah-olah mereka tahu segalanya.
“Kalau orang luar lebih tahu banyak perkara daripada diri saya sendiri, biarkan sahaja mereka," kata Fazura ketika ditemui baru-baru ini.
House Of Doll
KALAU ada yang perasan, pelakon yang pernah membintangi filem Pisau Cukur ini sudah jarang muncul di kaca tv sejak akhir-akhir ini. Bukan tidak ada tawaran yang datang sebaliknya dia terpaksa menolak untuk memberi laluan kepada perkara lain yang lebih mustahak yang perlu diberi perhatian.
Selain sibuk menjadi duta kepada produk penjagaan kulit Nutox, dia juga kini sedang sibuk menguruskan butik House Of Doll yang baru sahaja beroperasi seminggu di Bangsar, Kuala Lumpur.
“Memang perancangan hal-hal seperti ini yang membuatkan saya tidak banyak melibatkan diri dalam lakonan. Kalau nak tahu idea untuk membuka butik sendiri sudah bercambah sejak dua tahun yang lalu.
“Cuma enam bulan lalu barulah saya benar-benar sibuk mencari lokasi, memilih pakaian yang hendak dijual dan macam-macam kerja lain. Memang penat tapi saya puas sebab berjaya merealisasikan impian sendiri.
“Sejak dulu lagi saya sudah terfikir nak buka butik sendiri. Sibuk berlakon sampai tak ada masa nak uruskan. Tapi sekarang semuanya dah berjalan dengan baik dan saya harap ia akan berjaya," kata pelakon utama drama bersiri Kitab Cinta ini lagi.
Melihatkan impian itu sudah berjaya direalisasikan, ada beberapa perkara yang membuatnya kurang gembira apabila ada pihak yang mengatakan butik tersebut ditaja.
Tidak mahu terus mengeruhkan keadaan, dia menafikan perkara tersebut dan tak ingin terus melayan cakap-cakap orang yang iri hati dengan kejayaan yang diraih selama ini.
“Semua duit yang keluar adalah hasil titik peluh saya sendiri. Saya bekerja siang malam sebelum ini, menjadi duta kepada beberapa produk dan orang masih lagi mempertikaikannya. Kalau orang lain lebih arif, biarkanlah sahaja mereka," jelasnya lagi.
Kekecewaan
BERCERITA mengenai lakonan pula, akui Fazura yang dia sememangnya lebih memilih saat ini. Tidak mahu terus membawakan watak yang tidak mendatangkan manfaat kepadanya dan masyarakat, itu keputusan yang dibuat.
“Saya bukan lagi muda untuk membawa watak gadis liar, duduk seksi di tepi kolam renang mahupun jadi orang yang tak baik. Saya melihat masa itu telah berlalu dan tidak mungkin akan berulang lagi.
“Memang banyak tawaran yang saya dapat. Tapi bila melihatkan skrip, saya tahu watak dalam drama itu tidak seperti yang saya harapkan. Daripada saya terus berlakon tanpa kerelaan, baik jangan ambil.
“Kebanyakan pengarah menawarkan watak yang memang tak manis dan memerlukan saya beraksi yang kurang sopan. Saya perlu jaga air muka ibu dan keluarga saya.
“Biarlah saya tak ada produk baru asalkan saya tidak memalukan diri dengan filem atau drama yang sebegitu," jelasnya.
Tapi benarkah ada kekecewaan yang bersarang di hati Fazura? Dan benarkan kekecewaan itu yang membuatkan dirinya memilih sampai ke tahap begini?
Menjawab persoalan itu, Fazura mengakui ada drama yang akan memberikan impak negatif kepada masyarakat tetapi tidak diambil peduli oleh sesiapa pun.
Bertitik tolak atas kesedaran itulah yang membuatkan dirinya tidak mahu terus ‘merosakkan’ ahli masyarakat dengan paparan kurang enak yang disogokkan tanpa henti.
“Memang ada sedikit kekecewaan bila mengenangkan perkara itu. Kenapa mesti terus mengadakan watak yang tak masuk akal yang pada akhirnya akan membawa impak negatif.
“Jangan anggap sesebuah karya itu tidak ada pengaruh baik atau buruk. Apa yang saya inginkan sekarang hanyalah produk-produk yang mampu memberikan kebaikan kepada semua.
“Yang paling menghairankan apabila ada segelintir pelakon kita yang langsung tidak memikirkan soal itu dan hanya terima bulat-bulat. Mereka ada alasan sendiri, mungkin juga mereka tiada pilihan dan terpaksa terima.
“Berbalik kepada niat masing-masing sebenarnya. Ada beza antara anak seni dan artis. Yang ramainya sekarang ialah artis yang memang nak popular dan kejar glamor. Bila dah popular boleh himpit mana-mana orang yang mereka suka.
“Melalui pemerhatian saya, pelakon yang baik kurang mendapat publisiti sebaliknya pelakon yang mengejar populariti dia akan keluar dengan pelbagai cerita yang kadang kala menjelikkan. Itu lumrah.
“Bila dah terlalu ramai yang nak jadi artis, mereka ini adalah golongan yang menyesakkan industri sebenarnya," kata Fazura lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: