PERSONALITI ini memilih pusat Yayasan Chow Kit (YCK) sebagai lokasi fotografi. Katanya, dia mahu mendekati kanak-kanak di sana. Sifatnya yang periang dan peramah ternyata berjaya mencuit hati penghuni yayasan tersebut.
Itulah peribadi semula jadi Elyna Datuk Effendi.
Penggemar fesyen klasik dan elegan ini suka tampil dengan perhiasan yang tidak keterlaluan seperti tali pinggang atau rantai.
Penampilan ringkas namun anggun itu membuatkan kehadirannya di yayasan tersebut menjadi tumpuan kanak-kanak YCK.
“Kehadiran saya ke yayasan ini bertujuan menyampaikan sumbangan hasil projek Karnival Bazar Amal yang berlangsung April lalu. Karnival tersebut saya anjurkan untuk membantu kanak-kanak di sini mendapat kehidupan yang lebih baik.
“Syukur, kami berjaya mengumpul RM100,000. Kutipan ini di luar jangkaan saya. YCK menerima RM20,000. Sumbangan turut disalurkan kepada Dahikmah, Kiwanis, Fugee School, Yayasan Nurul Hayati, Primas, Pernim dan sebuah lagi pusat kebajikan yang akan dikenal pasti di Sarawak," katanya penuh semangat.
Bercerita lanjut mengenai karnival tersebut, Elyna memberitahu, ia akan diteruskan dengan menganjurkan Bazar Azya’ di The Strand Encorp, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Karnival tersebut bermula semalam dan berakhir hari ini.
Katanya, penganjuran acara yang melibatkan konsep amal adalah sesuatu yang ingin diberikan perhatian.
“Kepuasan dan kegembiraan tidak dapat digambarkan apabila melihat orang ramai datang memberikan sokongan. Ia menandakan program-program seperti ini mendapat sokongan pelbagai pihak.
“Berbeza dengan karnival sebelumnya, kali ini kami memberi peluang kepada pengusaha fesyen Muslimah untuk berniaga termasuk blogger," katanya.
Selain pesta jualan, Elyna turut menampilkan ceramah Dr. Azizan Osman yang akan bergandingan dengan Fiona Tahir membincangkan topik, Wanita Luar Biasa tanpa mengenakan bayaran.
Ditanya tentang kepuasannya dengan pencapaian sekarang, Elyna bersyukur atas kejayaan perniagaan yang telah diceburinya selama 12 tahun.
“Tidak semua yang saya ceburi dan lakukan itu mencapai kejayaan namun ia adalah perjalanan dan guru terbaik dalam mengajar diri saya untuk terus bertahan dalam dunia perniagaan.
“Saya merasa lebih matang dalam segalanya selepas apa yang telah saya lalui 12 tahun lalu," ujarnya.
Dalam pada itu, syarikat produksi milik Elyna kini menghasilkan program siri TV terbaru untuk RTM berjudul Misi 'E' yang telah menemui penonton April lalu.
Selain kerja-kerja produksi, Elyna turut melebarkan sayap perniagaan baru bersama suami tercinta Casmad atau umum lebih mengenalinya sebagai Memed.
Pasangan bahagia ini mengusahakan sebuah restoran bernama Waroeng Iga. Kata Elyna, dia mahu menumpukan sepenuh perhatiannya kepada dua cabang perniagaan ini terlebih dahulu.
Dia juga tidak mahu menjadi terlalu sibuk kerana apa yang paling penting dapat meluangkan masa bersama dua orang buah hatinya, Putri Elyca Faiza Casmad, 7, dan Mecael Effendi , 5.
Bercuti
Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, Elyna tetap memperuntukkan waktu cuti sekolah bersama Elyca dan Mecael.
"Tahun lepas kami berkesempatan ke Amsterdam. Ia adalah percutian yang indah, kami sekeluarga benar-benar seronok dan bersyukur kerana dapat melalui saat-saat manis bersama," ujarnya.
Dalam mendidik anak-anak, dia berfikiran terbuka dan mahu anak-anaknya meneroka apa sahaja yang mereka ingin tahu.
Walaupun sering terikat dengan komitmen sebagai isteri, ibu dan usahawan, Elyna tetap memperuntukkan masa buat diri sendiri.
Melancong bersama suami, keluarga atau teman-teman adalah terapi terbaik. Selain itu, dia suka menonton filem-filem terbaru dan televisyen.
“Saya juga suka berbual dan ketawa bersama teman-teman. Walaupun saya tidak suka membeli-belah tetapi memberikan hadiah untuk diri sendiri seperti membeli kasut atau beg tangan adalah cara membayar penat-lelah bekerja keras," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: