Monday, June 4, 2012

Jaga replika macam basikal betul

MAHMUD bersama sebahagian daripada koleksi replika basikal miliknya yang disimpan rapi.

WALAUPUN teknologi kenderaan semakin canggih sejajar dengan peredaran zaman, tetapi basikal masih menjadi pilihan ramai.

Sama ada sebagai pengangkutan mahupun untuk berekreasi, basikal sebenarnya tetap relevan selepas melalui pelbagai perubahan dari segi reka bentuk dan teknologi sejak ia diperkenalkan sekitar 1800-an.

Melihat kepada keunikan inilah membuatkan hati Mahmud Karim, 52, terpaut untuk menjadikan replika basikal sebagai koleksinya.

Membukan cerita, Mahmud berkata, dia mula memburu replika basikal kira-kira enam tahun lalu selepas mendapatkan koleksi pertamanya di Genting Highlands yang disimpan hingga kini.

"Ketika berada di sana bersama keluarga, saya membeli dua buah replika basikal untuk simpanan saya dan hadiah buat anak bongsu saya.

"Kemudian, saya sering terserempak dengan kedai yang menjual replika basikal seperti di kedai kraf di kawasan RNR membuatkan saya terpanggil untuk membelinya.

"Replika basikal amat unik kerana ada yang menyerupai basikal sebenar iaitu turut mempunyai sistem brek yang sebenar.

"Apabila koleksi bertambah, rasa seronok pula lalu saya pastikan mencarinya terutama jika berada di luar negara," ujarnya yang memiliki hampir 100 buah replika basikal.

Antara 'tempat kelahiran' replika basikalnya adalah Guilin, Ho Chi Minh, Padang dan Hatyai.

Namun pencariannya agak terbatas memandangkan ia agak sukar didapati berbanding barangan cenderamata yang lain.

Dia yang turut mempunyai tujuh buah basikal sebenar di rumahnya berkata, saudara-mara dan kenalan sudah masak dengan hobi uniknya itu dan turut membantu mendapatkannya sebagai tanda kenangan daripada mereka.

Malah Mahmud turut dihadiahkan dengan replika basikal ketika menghadiri atau merasmikan majlis-majlis keraian di sekolah.

"Sekitar empat tahun lalu, bekas guru saya ketika berada di Tingkatan Empat menghadiahkan saya replika basikal setelah melihat bilik pejabat saya penuh dengan koleksi itu.

"Hadiah dari Tasmania itu antara replika basikal kesayangan saya kerana keunikan rekabentuknya dan diperbuat daripada keluli," ujarnya yang turut gemar melancong.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: