Sunday, June 17, 2012

Ekstrak pokok jana kenderaan


MINYAK pelincir yang mengandungi ekstrak buah jarak didakwa lebih efisien untuk enjin kenderaan serta tidak mencemarkan alam.


BAYANGKAN satu hari nanti harga petrol RON95 naik daripada RM1.90 seliter kepada RM2.80. Pada masa yang sama pengguna dibebani harga barangan yang mahal selain kos sara hidup yang tinggi.

Bagaimanapun, mereka tiada pilihan kerana tenaga merupakan bidang kritikal dalam kehidupan seharian. Ia penting untuk menggerakkan kenderaan, menerangi kediaman serta memutar enjin industri.

Malangnya, penjana utamanya iaitu petroleum, gas asli dan arang batu akan kehabisan suatu hari nanti.

Mujurlah, saintis di seluruh dunia sedang giat membangunkan sumber tenaga alternatif daripada alam seperti air, angin, matahari, laut dan tumbuh-tumbuhan.

Hakikatnya emas hitam (petroleum) menjadi penyumbang terbesar industri tenaga dunia iaitu sebanyak 36 peratus, arang batu (23 peratus), gas asli (21 peratus), biomas (11 peratus), nuklear (7 peratus), hidroelektrik (2 peratus) serta geotermal dan solar (0.5 peratus).

Air jadi minyak

Petroleum juga digunakan secara meluas untuk mengisi minyak kereta manakala industri pula sebanyak 17 peratus.

Pada umumnya Malaysia tidak pernah ketandusan idea untuk menghasilkan sumber alternatif, contohnya biodiesel.

Seorang pakar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) misalnya, berjaya menghasilkan formula minyak bio daripada sisa kumbahan.

Penyelidikan menunjukkan rakyat negara ini menghasilkan 3 juta meter padu sisa kumbahan setahun dan dijangka meningkat kepada 7 juta meter padu menjelang tahun 2020.

Prof. Madya Dr. Rusnah Samsuddin memberitahu, beliau menggunakan sisa kumbahan terawat dari loji rawatan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).

Sampel tersebut diuji untuk menghasilkan minyak bio melalui proses pirolisis.

"Suhu yang tinggi diperlukan untuk proses itu.

"Pirolisis merupakan kaedah yang paling sesuai untuk menyahkan sisa yang tidak diperlukan sebelum menukarnya kepada produk bermanfaat iaitu gas, cecair dan serbuk pepejal," cerita Rusnah.


BIODIESEL akan menjadi sumber utama minyak kenderaan pada masa hadapan kerana negara sedang berusaha untuk menggunakan bahan api yang lebih mesra alam.


Air sememangnya sumber utama kehidupan. Tetapi tiada siapa sangka ia mampu mengerakkan kenderaan. Terima kasih kepada penemuan seorang saintis tempatan, Dr. Halim Ali pada tahun 2006.

Halim telah menghasilkan teknologi hidrosen yang mampu mengurangkan sebanyak 50 peratus petrol dengan penggunaan air.

Secara logik, air tidak praktikal sebagai bahan bakar semula jadi.

"Namun, teknologi hidrosen berjaya mengurangkan penggunaan petrol sebanyak 50 peratus," katanya.

Sayangnya tiada perkembangan terkini teknologi yang dihasilkan oleh saintis itu.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pula pada tahun lepas berjaya menghasilkan biodiesel daripada bahan bukan berasaskan makanan seperti minyak jarak pagar, bintagor laut serta bahan buangan industri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod memberitahu, rancangan jangka pendek di peringkat FRIM ialah menggunakan biodiesel adunan B5 untuk kenderaan berenjin diesel.

"Dianggarkan sebanyak 120,000 liter adunan biodiesel B5 akan digunakan setahun di FRIM.

"Ini akan menyumbang penjimatan hampir 6,000 liter diesel fosil dan pengurangan kadar pembebasan karbon dioksida (CO2) sebanyak 4 peratus atau 16,000 tan CO2 setahun," katanya bangga.

Jangan khuatir kerana campuran biodiesel dan diesel petroleum telah terbukti sesuai digunakan oleh kereta-kereta moden tanpa memerlukan pengubahsuaian enjin.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata baru-baru ini, kerajaan bercadang untuk mewajibkan semua industri menggunakan biodiesel menjelang tahun 2014.

Pokok jarak

Jelas Dompok, langkah itu dapat mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau demi menjamin persekitaran mesra alam.

"Buat masa ini, kandungan biodiesel B5 ialah 5 peratus diesel berasaskan sawit dan 95 peratus diesel petroleum," ujarnya.

Selain pokok kelapa sawit, buah pokok jarak mampu menjana biodiesel.

Pokok jarak atau nama saintifiknya jatropha curcas, sejenis tumbuhan dari Afrika Selatan boleh dimanfaatkan sepenuhnya iaitu daripada batang, buah, daun, ranting dan kulitnya.

Bukan sahaja boleh dijadikan bahan kosmetik, lilin, farmaseutikal, sabun dan makanan haiwan, bijinya boleh digunakan sebagai minyak biodiesel pengangkutan berenjin.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BATC Development Berhad, Zurina Amnan, memberitahu, pokok jarak sudah dimanfaatkan secara meluas ketika Perang Dunia Kedua.

"Tentera Jepun menggunakannya sebagai sumber diesel atau bahan bakar untuk kenderaan pengangkut dan pesawat pejuang.

"Namun, mereka hanya mengarahkan penduduk kampung menanamnya tanpa memberitahu kegunaannya," cerita Zurina.

Walaupun pokok jarak beracun, ia digunakan secara meluas untuk perubatan tradisional seperti merawat kesan luka, melecur dan terbakar dengan meletakkan getah daripada batangnya di tempat yang sakit," cerita Zurina.

Selain itu, tumbuhan ini juga dijadikan pokok hiasan di rumah

Tuturnya, syarikatnya telah meneroka kelebihan pokok jarak sejak tahun 2007 lagi.

"Sebagai contoh, kami menghasilkan minyak biodiesel yang menjimatkan serta tidak mencemarkan alam iaitu B20 biopetrol.

"Kandungnya ialah 60 peratus minyak petrol, dan masing-masing 20 peratus air dan minyak pokok jarak," katanya.

Ujarnya lagi, air yang digunakan boleh diambil daripada pelbagai sumber kecuali air laut kerana kandungan alkalinya tinggi.

Minyak B20 biopetrol dihasilkan menggunakan teknologi nano emulsion polarazation dengan suhu tinggi.

Melihat mimik muka kru Jurnal yang seakan-akan tidak percaya dengan produk syarikatnya, Zurina membuat satu eksperimen.

Beliau mengambil sebuah bekas, tisu dan pemetik api sebelum membakar tisu tadi.


BIJI getah juga boleh digunakan sebagai sumber minyak kenderaan.


Selepas dibakar, ternyata minyak B20 menghasilkan api yang kurang asap. Malah, kadar pembakarannya lebih lama selain bekas yang digunakan bersih daripada kesan asap.

"Kami masih menggunakan minyak petrol sebagai medium utama untuk pembakaran cuma kandungannya dikurangkan.

"Air dan ekstrak buah jarak ibarat pelincir untuk menjadikannya lebih berfungsi," katanya.

Zurina berkata, syarikatnya juga menghasilkan bahan pelincir dan minyak untuk kapal terbang, kapal dan kegunaan industri.

"Setakat ini, kesedaran masyarakat negara ini untuk menggunakan minyak biodiesel buah jarak masih kurang.

"Tetapi di negara Barat terutamanya Amerika Syarikat, Britain dan Perancis mereka mula serius untuk memperkembangkannya," terang beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: