BALLET...sentuhan artistik dalam rutin Colour Guard moden.
PENGALAMAN melambung-lambung dalam kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang tidak bertingkap dan tanpa penghawa dingin meredah pelbagai halangan seperti sungai, bukit, lopak lumpur, laluan berbatu dan membuat jambatan daripada batang kayu pasti memberi keterujaan maksimum.
Ia mungkin menjijikkan bagi sesetengah individu apabila badan dipenuhi lumpur dan bermandikan peluh tetapi bagi peminat aktiviti ini, ia umpama terapi yang mampu melepaskan tekanan dan menaikkan semangat.
Selain mampu mencabar stamina dan kekuatan fizikal, penggemar aktiviti ini berpeluang menikmati keindahan alam sekitar, terutama yang cintakan alam semula jadi serta hutan yang belum diterokai.
Sememangnya, memandu kenderaan 4x4 di laluan ‘off road’ sudah lama bertapak di ibu kota. Namun, penyertaan ketika itu mungkin sekadar memenuhi masa lapang.Sejajar dengan perubahan zaman, sukan memandu lasak 4x4 mula menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, terutama generasi muda yang berusaha menyertainya walaupun sekadar menjadi penonton.
Penyertaan yang semakin meningkat saban tahun selain sambutan hangat setiap kali penganjuran sukan itu mengilhamkan penubuhan sebuah kelab yang didaftarkan atas nama Ranggok pada 2008.
Pengerusinya, Mohd Mazlan Idris berkata, penubuhan kelab terbabit bukan untuk mencabar kelab lain, apatah lagi untuk mendabik dada menunjukkan kemahiran dan kredibiliti mengendalikan jentera 4x4 masing-masing.
“Ia lebih kepada menyatukan individu yang berminat menjalankan aktiviti lasak dan mencabar dengan memandu kenderaan pacuan empat roda sebagai hobi.
“Aktiviti sebegini juga memupuk semangat persefahaman dan setiakawan dengan cara mewujudkan peluang berinteraksi dalam program diadakan,” katanya yang ditemui di Kejohanan Drive Ride (DR) 4x4 Ranggok Antarabangsa di Litar Sukan Lasak Gong Chempedak, Seberang Marang, Terengganu, baru-baru ini.
Menurutnya, persepsi orang ramai yang menganggap sukan seumpama itu memerlukan belanja tinggi untuk menyertai sesuatu kejohanan tidak benar.
“Ada yang berminat untuk turut serta dalam kejohanan ini tetapi membatalkannya apabila menyangka perlu berbelanja tinggi, sedangkan bayaran ditetapkan berpatutan dengan hadiah ditawarkan.
“Bagi mereka yang benar-benar meminati sukan ini, hadiah bukan matlamat utama tetapi pengalaman meredah halangan dan cabaran dalam pertandingan lebih memberikan kepuasan,” katanya.
Menyentuh mengenai kejohanan yang disempurnakan Penaung Kelab 4x4 Ranggok Daerah Marang selaku Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku, Mohd Mazlan berkata, empat kategori iaitu Cup Cross, Motor Endurance, Pacuan Empat Roda (Medium), Pacuan Empat Roda (Hard Core) dan DRX4 dipertandingkan.
Katanya, kejohanan yang julung kali diadakan itu bukan saja disertai peserta tempatan, malah menarik minat peserta dari Australia, Russia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
“Idea mengadakan kejohanan ini tercetus selepas melihat sukan ini mendapat sambutan menggalakkan di kalangan penggemar sukan ekstrem.
“Ia juga platform terbaik untuk peminat sukan lasak mengerat hubungan, sekali gus memperkenalkan sukan ini kepada masyarakat setempat.
“Keadaan geografi lokasi yang mencabar dan hujan lebat yang tidak dijangka selain pacuan empat roda tersangkut di dalam paya antara pengalaman berharga dan menguji kemampuan peserta mengendalikan jentera mereka,” katanya.
Tarmizi Kasa, 35, yang bernaung di bawah Kelab Jitra 4x4, Kedah yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam sukan lasak itu berkata, dia tidak lokek menghabiskan RM20,000 semata-mata untuk memenuhi hobinya.
Menurutnya, usaha itu berbaloi apabila kerap memenangi pelbagai hadiah menerusi pertandingan yang disertai di seluruh negara.
“Saya mula mengenali sukan ini selepas diperkenalkan seorang rakan 10 tahun lalu. Ketika itu, saya sekadar memenuhi masa lapang sehingga menyertai satu kejohanan di Taiping, Perak yang dirasakan paling mencabar.
“Sejak itu, saya mula serius dalam sukan ini, apatah lagi rakan yang sudah lama terbabit dalam aktiviti 4x4 memberikan sokongan untuk saya meneroka aktiviti ini dengan lebih mendalam,” katanya.
Disebabkan minat mendalam dalam sukan ini, bapa kepada dua anak itu turut membuka dua kedai iaitu Extreme Traitor Auto Service dan Extreme Traitor Auto Part di Jitra sejak tujuh tahun lalu.
“Dalam sukan ini banyak perkara perlu dipelajari, terutama ketika kenderaan pacuan empat roda mengharungi sungai atau lumpur yang menyebabkannya tersangkut.
“Dalam situasi sedemikian, pemandu dan pemandu arah perlu bertenang serta mengkaji semua faktor selain mengetahui bentuk geografi di sesuatu litar,” katanya.
Peniaga aksesori yang juga pemenang kategori Hardcore 4x4 itu berkata, sokongan keluarga juga banyak membantunya menceburi sukan lasak dengan lebih serius dan ia turut menjadi aktiviti mengisi masa lapangnya.
“Isteri tidak pernah mengeluh ketika mencuci pakaian dipenuhi lumpur selepas mengadakan aktiviti sukan berkenaan,” katannya.
Pemandu 4x4, Vincent Koh, 25, dari Johor yang memenangi acara Hardcore di Gong Badak, Kuala Terengganu baru-baru ini berkata, dia pernah muncul juara tujuh kali dalam sukan ini termasuk di Thailand, Johor serta Kedah, dan sukan itu memberikannya semangat untuk terus aktif dalam sukan lasak itu.
“Impian menjadi juara tercapai dan sukan ini banyak memberi pengalaman serta dapat mengenali ramai kawan dari dalam dan luar negara,” katanya.
Yodi Suganda, 33, dari kelab Miyogi, Jakarta, Indonesia pula berkata, sukan itu seperti kerjaya utama dalam keluarganya, malah bapanya, Endan Suganda, 60, berpengalaman luas dalam sukan pacuan empat roda.
Menurutnya, sejak kecil lagi dia merantau ke seluruh negara bersama bapanya untuk menyertai kejohanan 4x4 dan hasil tunjuk bapanya itu dia kini antara pemandu mahir dalam bidang terbabit.
“Dalam pertandingan sukan ini, soal menang kalah bukan ukuran, sebaliknya cabaran baru dalam meneroka litar adalah pengalaman berharga untuk saya.
“Ia benar-benar memberi kepuasan selepas saya berjaya meredah hutan serta mampu menghabiskan cabaran dalam pertandingan,” katanya yang mengakui litar di Gong Cempedak memang mencabar.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sambutan menggalakkan daripada 1,250 peserta bakal menjadikan litar seluas 60 hektar itu destinasi pilihan utama sukan lasak khususnya, sekali gus mencetuskan kemungkinan dijadikan acara tahunan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.
Menurutnya, kejohanan julung kali itu mampu menaikkan imej Terengganu sebagai penganjur acara berprestij yang berjaya menarik penyertaan luar negara, termasuk peserta dari rantau Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand selain Australia serta Russia.
“Kita akan memasukkan Kejohanan Drive Ride (DR) 4x4 Ranggok Antarabangsa sebagai acara tahunan kalendar pelancongan kerajaan negeri dan mengambil kira pelbagai aspek, sama ada litar ini perlu dinaiktaraf atau sebaliknya kerana sukan lasak memerlukan trek atau laluan mencabar,” katanya ketika merasmikan dan menyampaikan hadiah sempena kejohanan berkenaan.
PROFIL 1:
NAMA: Mohd Mazlan Idris
UMUR: 55 tahun
KERJAYA: Pengerusi Kelab Ranggok 4x4
CITA-CITA: Menjadikan Kelab Ranggok sebagai badan bukan kerajaan (NGO) disegani
PROFIL 2:
NAMA: Yodi Suganda
UMUR: 33 tahun
KERJAYA: Joki Kelab Miyogi 4x4
CITA-CITA: Menjadi pelumba profesional
PROFIL 3:
NAMA: Tarmizi Kasa
UMUR: 35 tahun
KERJAYA: Peniaga dan wakil Jitra 4x4 Club
CITA-CITA: Mewakili negara dalam sukan lasak 4x4
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: