Sunday, April 8, 2012

Kerenah birokrasi jejas bantuan kewangan

SEKSA...perpisahan ibu bapanya menjadi titik permulaan kehidupan sedihnya membesar tanpa belaian kasih sayang.
SEKSA...perpisahan ibu bapanya menjadi titik permulaan kehidupan sedihnya membesar tanpa belaian kasih sayang.
pix_topright

MENGURUSKAN 25 penghuni iaitu 13 lelaki dan 12 perempuan berusia antara 10 hingga 15 tahun menuntut pengorbanan besar daripada aspek masa, tenaga dan harta.

Beban itu lebih dirasai rumah anak yatim kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar tetapi tidak mendapat geran tahunan daripada pihak berwajib.

Ia berikutan segala kos perbelanjaan menguruskan kebajikan setiap penghuni terpaksa ditanggung sendiri, selain bantuan sumbangan insan prihatin.

Namun bagi Naib Pengerusi merangkap penyelia Pertubuhan Kebajikan Rumah Silaturrahim Nurul Qana’ah, Zainab Ahmad, 59, beliau percaya setiap anak yatim, terutama di kalangan asnaf dan terbiar, mempunyai rezeki masing-masing.Ibu kepada tiga anak ini bersyukur kerana hampir lima tahun terbabit sepenuh masa menyelia dan menguruskan rumah pertubuhan, belum pernah berlaku masalah kewangan serius sehingga kebajikan penghuninya terabai.


“Saya yakin semua rezeki datang daripada Allah SWT. Insya-Allah, jika sesuatu pekerjaan itu dilakukan dengan jujur dan amanah, Allah akan permudahkannya untuk kita dan jika sebaliknya, ia adalah dugaan daripada-Nya.

“Bagi saya, apa dilakukan selama ini adalah pelaburan untuk ‘saham akhirat’.
Cabaran dan rintangan memang ada, begitu juga cara serta jalan mengatasinya.
Selebihnya, terserah kepada-Nya,” katanya.

Mengulas pembabitan awalnya, bekas jururawat yang juga bidan bertauliah ini berkata, segala-galanya bermula tanpa dirancang pada 2007.

Beliau yang sudah lama aktif dalam NGO kebajikan, termasuk Perkim berkata, pembabitannya bermula dengan membantu sepasang suami isteri menguruskan beberapa anak yatim dan miskin di sebuah rumah.

“Bagaimanapun, kemelut kewangan dan masalah dalaman menyebabkan kerja amal dilakukan suami isteri berkenaan hanya separuh jalan.

“Mereka berhenti sebelum berpindah ke tempat lain, meninggalkan beberapa anak yatim dan miskin terkontang-kanting tanpa bimbingan.

“Simpati dengan nasib mereka yang terbiar tanpa pembelaan membuatkan saya nekad mengambil alih tugasan itu. Hasil perbincangan dengan beberapa rakan lama dan sokongan suami, pertubuhan ini diasaskan pada Mei 2007,” katanya.

Zainab berkata, pada awal penubuhan, pihaknya menggajikan dua petugas bagi menguruskan 28 penghuni yang mendiami asrama berasingan di tingkat dua dan tiga asrama pertubuhan.

Bagaimanapun, khidmat dua petugas terbabit tidak lama apabila kedua-duanya mengambil keputusan berhenti dan detik ini membuka lembaran baru dalam kehidupan Zainab.

“Secara jujur, saya tidak pernah terbayang akan memikul tanggungjawab seperti sekarang kerana pada mula hanya berniat membantu di bahagian pentadbiran.

“Siapa sangka, dalam sekelip mata saya dianugerahkan 28 ‘cahaya mata’ baru.
Apapun, saya tidak pernah menyesal atau mengeluh kerana anggap ia satu amanah dan tanggungjawab sebagai seorang mukmin,” katanya.

Namun jauh di sudut hati wanita berhati emas ini, terbit sedikit rasa kesal terhadap kerenah birokrasi pihak tertentu dalam membantu NGO sepertinya yang tidak mempunyai sokongan sumber kewangan kukuh.

Katanya, penolakan permohonan pertubuhannya untuk mendapat bantuan geran tahunan daripada pihak berwajib atas alasan rumah asrama pertubuhannya tidak mempunyai halaman di bahagian depan, menyedihkannya.

“Kalau diikutkan, apa dilakukan pertubuhan NGO seperti kami secara tidak langsung membantu kerajaan dalam mengurangkan masalah kejatuhan moral di kalangan remaja khususnya.

“Selain anak yatim dan miskin, pertubuhan kami menjadi rumah perlindungan buat anak terbiar, termasuk mangsa penganiayaan fizikal dan mental oleh ahli keluarga mereka,” katanya sebak.

Menurut Zainab, selain menjadi tempat berteduh dan menumpang kasih kanak-kanak bernasib malang, mereka menekankan aspek pendidikan, termasuk menghantar ke kelas tambahan, demi memastikan setiap ‘anaknya’ turut mendapat bekalan ilmu dunia terbaik untuk masa depan mereka.

Katanya, sebagai ibu bapa, dia merasakan dirinya dan suami sudah menjalankan tanggungjawab terbaik dalam membesarkan tiga anak mereka apabila semuanya berjaya membina kehidupan masing-masing.

Justeru, selagi hayat dikandung badan dan kudrat mengizinkan, dia akan terus menjadi ibu tumpang buat anak yatim, miskin dan kurang bernasib baik.

“Seperti saya katakan, rezeki daripada Allah. Biarpun tidak mendapat bantuan tahunan dan hidup mewah seperti pertubuhan atau rumah kebajikan lain, Alhamdulillah selepas hampir lima tahun, kami masih mampu berdikari.

“Kepada mana-mana insan yang menghulurkan apa jua bentuk bantuan atau sumbangan selama ini, hanya Allah dapat membalas jasa mereka.

“Orang ramai yang mahu melihat perjalanan hidup penghuni di sini atau memberi sumbangan boleh datang ke No 34A/34B, Jalan 10, Taman Batu, Off Taman Greenwood, 68100, Batu Caves, Selangor,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: