SIBUK...urusan jual beli bunga di pasar bunga, terutama ros.
WARNA-WARNI alam sungguh indah menangkap pandangan mata penulis ketika menyusuri kedai dan jalan di Bangalore bersama suami hinggalah di penghujung laluan terjumpa pasar menjual bunga. Orang ramai sibuk berurusan membeli bunga pelbagai jenis dan warna.
Paling ketara, terlalu banyak bunga ros dengan warna yang pelbagai dan ada antara warnanya tidak ditemui di tanah air. Ros berwarna biru, hijau, jingga, merah jambu, kuning serta putih bercampur aduk dengan ros klasik berwarna merah.
Bunga ros ini diletakkan secara lambak dalam besen besar dan alangkah indahnya kalau berpeluang melihat kebun di mana ros ini ditanam. Sesungguhnya kebun ros pasti lebih cantik berbanding pasar bunga.
Apa yang penulis lihat ini juga antara sebab Bangalore dikenali sebagai bandar taman. Masyarakat antarabangsa mengenalinya sebagai Bangalore tetapi di India dikenali juga dengan nama Bengaluru namun ibu negeri bagi Karnataka ini turut diberi nama jolokan Bandar Taman kerana banyaknya taman yang terdapat di sini.Oleh kerana kunjungan ke Bangalore singkat, penulis hanya sempat ke Cubbon Park yang merangkumi beberapa ratus hektar yang dirancang dan susun atur oleh Sir Richard Sankey pada 1864 yang ketika itu ketua jurutera Mysore.
Cubbon Park bersempena nama Pesuruhjaya Britain paling lama berkhidmat di India iaitu Sir Mark Cubbon berkedudukan di tengah ibu kota. Ia ibarat rimba di kota.
Taman ini masih mengekalkan pokok lama berusia ratusan tahun, hamparan pelbagai bunga, pokok berbunga yang tinggi dan redup, menjadikan tempat ini sesuai bagi mereka yang berminat terhadap aktiviti kecerdasan, berjoging waktu pagi atau sekadar berjalan-jalan di taman penuh tumbuhan rimba.
Taman ini juga tersergam dengan bangunan klasik seperti Attara Kacheri yang menempatkan Mahkamah Tinggi Karnataka. Muzium Industri dan Teknologi Visveswaraya, Muzium Kerajaan, Akuarium, Galeri Seni Venkatappa dan Dewan Peringatan Seshadri Iyer termasuk dalam Cubbon Park. Taman ini dibuka pada orang ramai setiap hari pada bila-bila masa dan ditutup kepada lalu lintas mulai jam 5 pagi hingga 8 pagi.
Bangunan paling terkenal di taman ini ialah Vidhana Soudha yang menempatkan dewan perundangan Karnataka dan pejabat kerajaan. Tahap pemeriksaan keselamatan tinggi, hanya mereka yang menunjukkan bukti urusan dibenarkan masuk ke kawasan Vidhana Soudha.
Keindahan taman bandar dilengkapkan dengan istana lama di tengah jantung ibu kota. Ia dibina Raja Chamaraja Wodeyar yang mendapat ilham daripada Istana Windsor di London. Hiasan seni taman menambah seri bangunan lama yang bersejarah.
Bangalore terbahagi kepada bandar lama dan bandar baru yang pasti dipenuhi bangunan moden serta pusat beli-belah moden dengan pelbagai jenis barang berjenama pada harga lebih murah berbanding Malaysia. Kami berjalan ke kawasan Commercial Street di bandar lama tidak jauh dari tempat penginapan kami.
Sebelum pusat beli-belah moden dan baru muncul, Commercial Street dalam kawasan Shivagi Nagar menjadi satu-satunya tempat tumpuan orang ramai membeli barang berjenama antarabangsa.
Perniagaan di Shivagi Nagar dikuasai orang Islam dan di kawasan perniagaan ini ada lapan masjid yang besar dibina masyarakat peniaga di situ. Penulis sempat bersolat di Masjid Juma tetapi ruang sembahyang wanita tidak di dalam masjid, sebaliknya di deretan kedai berdepan Masjid Juma. Ruang solat wanita bersih dan ada penjaga menguruskan kerja-kerja pembersihan di sini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: