Thursday, April 26, 2012

Studio 3 guna teknologi terkini


PARA penyampai berita RTM kini tidak perlu lagi disolek dengan tebal berikutan penggunaan kamera High Density HD yang mampu memaparkan visual dengan lebih jelas dan jitu.


Pada bulan April 2007, kerajaan telah mengumumkan dunia penyiaran negara akan memasuki era digital sepenuhnya pada tahun 2015 dalam usaha menjadi negara maju menjelang 2020.

Malah, setahun sebelum itu Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menjalankan projek perintis digitalnya pada September 2006 dengan melibatkan 1,000 responden di Lembah Klang yang menggunakan standard digital video broadcasting terestrial (DVB-T) yang diguna pakai di kebanyakan negara Eropah.

Selain itu, peruntukan RM100 juta digunakan bagi keperluan projek perintis selama enam bulan itu termasuk kos pembangunan infrastruktur seperti pemancar dan kandungan siaran digitalnya.

Kemudian pada tahun 2009, RTM telah melakukan penstrukturan TV1 dijadikan saluran berita beroperasi selama 24 jam sehari, dimuatkan dengan program berita, dokumentari, bual bicara dan majalah.

Saluran TV2 pula sebagai hiburan saluran hiburan yang mengeluarkan program berbentuk hiburan atau muzikal drama.

Menurut Ketua Penyampai Berita TV RTM, Fathil Hidayat Ghazali, memandangkan era digital yang disasarkan akan berlangsung tiga tahun lagi, bersempena dengan ulang tahun RTM ke-66 yang disambut pada 1 April lalu, beberapa perubahan telah dilakukan di bilik berita RTM.

“Salah satu perubahan yang telah dilakukan ialah pengubahsuaian yang dilakukan bilik berita Wisma TV, Angkasapuri atau lebih dikenali sebagai Studio 3 kepada reka bentuk baharu yang dikenali sebagai Virtual Studio.

“Boleh dikatakan kebanyakan bilik berita di stesen televisyen lain masih meletakkan prop seperti televisyen. Namun, Virtual Studio cuma menggunakan latar berwarna hijau dan sebarang gambar boleh dipaparkan menerusi konsep Croma Key sewaktu siaran berita ke udara,” ujarnya.

Teknik robotik

Pada masa yang sama, Fathil memberitahu pada tahun ini, juga RTM mencatat satu lagi kemajuan dalam bidang penyiaran dengan penggunaan kamera berteknologi terkini iaitu High Density HD yang boleh digerakkan secara robotik.

Ujarnya, antara kelebihan yang terdapat dengan penggunaan kamera berkenaan apabila ia tidak lagi dikawal secara manual. Sebaliknya, segala kawalan akan dilakukan telah menggunakan teknik robotik.


SEGALA pergerakan kamera akan dikawal oleh jurukamera secara robotik di bilik unit kawalan kamera yang terletak di bahagian atas studio.


“Selalunya akan ada jurukamera yang akan mengawal kamera di dalam studio. Namun, kini yang ada cuma pembaca berita akan berada di dalam studio kerana pergerakan kamera akan dikawal di bilik unit kawalan kamera yang terletak di atas studio.

“Selain itu, pembaca berita juga tidak perlu lagi membuat solekan yang tebal kerana visualnya sudah nampak cukup terang dan jelas. Kalau solekan terlalu tebal, pasti wajah pembaca berita kelihatan kurang menarik di kaca televisyen,” jelasnya.

Mengenai pembaharuan yang dilakukan, pembaca berita berkenaan mengakui pada awalnya tidak ramai yang sedar tentang pembaharuan yang telah dilakukan oleh bilik berita RTM.

Bagaimanapun, penonton setia program berita di RTM semakin menyedarinya dan maklum balas yang diterima juga sangat positif. Misalnya, ada yang menggemari visualnya yang kini kelihatan lebih ceria, terang dan jelas.

“Itu merupakan antara penambahbaikan yang telah dilakukan oleh RTM bagi memberikan kepuasan kepada penonton. Selama tiga bulan tempoh yang diambil untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dalam usaha ke arah era digital sepenuhnya yang bermula pada tahun 2015,” ujarnya.

Segmen baharu

Selain melakukan pembaharuan dari sudut teknikal, terdapat beberapa segmen baharu yang diperkenalkan menerusi Berita Nasional bagi memantapkan lagi kandungan berita yang dipaparkan.

Ujar Fathil, buat masa ini cuma ada tiga segmen baharu iaitu Singkap (setiap Ahad), Inovasi (setiap Rabu) dan Destinasi (setiap Jumaat). Ketiga-tiga segmen berkenaan sudah pun dimulakan sejak awal bulan ini.

“Dalam segmen Singkap, isu-isu sosial masyarakat akan diutarakan dengan pendekatan sensasi seperti pendedahan tentang kes buang anak, kes culik dan jenayah semasa yang kurang didedahkan secara terperinci kepada khalayak.

“Untuk segmen Inovasi pula akan memberi pendedahan tentang aplikasi teknologi dan penemuan sains terbaharu, manakala segmen Destinasi pula memaparkan pelbagai lokasi pelancongan menarik yang terdapat di Malaysia,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: