Monday, April 9, 2012

Inspirasi klasik Cacac


SERLAHKAN gaya anggun ke majlis minum petang dengan menyarungkan gaun pendek nuansa hitam yang menampilkan teknik ropol di bahagian dada.


MENGAMBIL ilham sebuah novel dan filem klasik berjudul The Secret Garden, aktres dan penyanyi antarabangsa kelahiran Malaysia, Lee Sinje memperkenalkan koleksi terbaharu Cacac.

Butik yang dikendali Sinje bersama sahabatnya itu telah mula beroperasi sejak Mei 2010 lagi. Kini, ia tampil dengan deretan rekaan berunsurkan alam semula jadi.

"Tema The Secret Garden ini menggunakan warna-warna cerah dan bertenaga bagi memaparkan kemampuan golongan wanita moden menguruskan kehidupan seharian mereka yang sibuk dengan kerjaya serta tugasan di rumah.

"Palet warna seperti ungu, merah fuksia dan hijau senduduk diserlahkan dengan cetakan flora rona kuning mustard, ungu lembayung (violet) serta biru langit," kata Sinje yang juga merupakan pereka, pemilik dan pengurus jenama tersebut.

Fabrik yang digunakan juga pelbagai seperti kapas, sutera tiruan (rayon), sutera, sutera organza dan sifon. Paduan material-material itu membentuk busana yang romantik dan elegan.

Dres sifon kembang dan lurus menjadikan si pemakai tampak berseri, ditambah pula dengan gabungan warna lembut dan terang.

Elemen alam terutama bunga menjadi penata utama corak yang menghiasi rekaan koleksi tersebut.

Keistimewaan rekaan Cacac terletak pada penghasilannya yang 100 peratus buatan tangan termasuk kasut, beg dan aksesori lain.

"Koleksi musim bunga/panas kali ini menyediakan barisan dres koktel dan kasual. Ia sesuai digayakan wanita berusia 25 hingga 40 tahun," ujar Sinje lagi.

Koleksi baharu Cacac boleh didapati di Parkson Pavilion, Kuala Lumpur, Parkson Gurney Drive, Pulau Pinang dan Sunway Giza, Selangor bermula April ini sehingga Julai depan.

Kesemua rekaan tersebut dijual pada harga RM50 sehingga RM500. Orang ramai yang menginginkan maklumat lanjut bolehlah melayari laman web Cacac di www.mycacac.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: