Monday, April 9, 2012

Rejim tradisional rahsia kulit mulus



SEBELUM ini penyanyi British Adele atau nama sebenarnya, Adele Laurie Blue Adkins, tidak pernah mengendahkan sebarang kritikan dan ejekan tentang bentuk fizikalnya. Jelas penyanyi berusia 23 tahun itu dia menyanyi untuk memuaskan halwa telinga peminat bukan untuk pandangan mata.

Dia turut mengakui bahawa dia tidak suka bersenam dan menikmati apa jua makanan kegemaran tanpa sebarang sekatan. Namun, kini segala-galanya berubah.

Selepas ditegur oleh Ketua Pereka Fesyen dan Pengarah Kreatif Chanel, Karl Lagerfeld, Adele mula mengamalkan cara hidup sihat. Selain menggunakan khidmat jurulatih untuk senaman dua kali seminggu, Adele turut memutuskan untuk berhenti merokok.

Itulah penangan kritikan pedas Karl, 78, menerusi kolum akhbar Metro Paris. Pereka kelahiran Jerman itu telah mengkritik tubuh badan Adele, yang gempal, namun memuji kehebatan vokal penyanyi berkenaan.

Terbaharu, nama Karl kembali menjadi sebutan dalam kalangan wanita Barat gara-gara memuji kecantikan wajah dan fizikal wanita Jepun ketika dia berkunjung ke negara itu pada pertengahan bulan Mac lalu.

"Jepun antara negara Asia yang mempunyai kelompok wanita yang berkulit halus, cerah dan tampak muda. Mereka bijak menjaga kecantikan kulit dengan menggabungkan rawatan moden dan tradisional. Saya turut melihat wanita di sana memiliki tubuh badan yang langsing dan sentiasa berpenampilan menawan.

"Namun bentuk badan sesetengah wanita Jepun hari ini sedikit berbeza jika dibanding pada sedekad lalu. Mereka semakin berisi, tetapi masih berusaha mengekalkan bentuk badan ideal. Rupa-rupanya selera pemakanan mereka berubah apabila mula menyukai manisan Barat seperti aiskrim, kek dan pastri," jelas Karl yang berkunjung ke Jepun sempena pelancaran buku fotografi dan koleksi fesyen Little Black Jacket jenama Chanel.

Prinsip Devon Aoki

Dalam pada itu pelakon dan model ternama, Devon Aoki, 30, berkongsi rejim kecantikan yang lazimnya diamalkan oleh kebanyakan wanita Jepun. Memiliki separuh darah Amerika sebelah ibunya Pamela Hilburger, ia bukan alasan bagi Devon untuk melupakan amalan kecantikan masyarakat Jepun di sebelah bapanya, Hiroaki Aoki.

Dibesarkan dan mencipta populariti di Eropah dan New York, Amerika Syarikat (AS), bagaikan tidak mempengaruhi Devon untuk meniru diet wanita Barat.

Model setinggi 165 sentimeter itu menyifatkan kebanyakan makanan di sana berkalori tinggi dan berlemak.

Atas faktor itu Devon yang pernah membintangi filem 2 Fast 2 Furious, mengamalkan sayur-sayuran dan sajian kurang garam dan rendah lemak. Setiap hari wanita yang memiliki sepasang mata warna coklat itu mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran. Ini termasuklah makanan berserat untuk melancarkan sistem pencernaan.

Wanita Jepun percaya vitamin C yang terkandung dalam buah-buahan membantu mencerahkan kulit wajah.


YURI EBIHARA salah seorang model terkenal Jepun yang bijak menjaga kecantikan diri.


"Buah dan sayur-sayuran membuatkan perut saya sentiasa kenyang serta meningkatkan stamina badan. Diet ini bukan saja membolehkan kita mendapatkan bentuk badan ideal malah terasa segar sepanjang masa.

"Hakikatnya setiap individu bebas menikmati apa jua makanan tanpa dipengaruhi sesiapa. Asalkan bijak mengawal jumlah kalori supaya tidak memudaratkan badan kelak," terang Devon yang turut menyatakan sistem pemakanan wanita perlu bergantung pada usia dan tahap aktiviti harian.

Obses bertubuh langsing

Dalam pada itu, menurut pengarang buku Japanese Women Don't Get Old or Fat: Secrets of My Mother's Tokyo Kitchen, Naomi Moriyama secara purata pengambilan kalori sehari wanita Jepun biasanya 25 peratus lebih rendah daripada wanita negara lain.

Situasi ini dikatakan antara penyumbang utama yang membuatkan masyarakat Jepun hidup lebih lama, sihat dan ceria.

"Biasanya pengambilan kalori wanita Jepun sekitar 2,700 sehari, manakala masyarakat AS sehingga 3,700 sehari. Wanita Jepun sentiasa berpendapat daripada menikmati burger daging lebih baik mereka mengisi perut dengan sup yang dimasak bersama dashi.

"Dashi ialah sejenis perasa bebas kalori yang sering diletakkan dalam masakan. Ini bermakna individu dapat mengurangkan penggunaan gula dan garam. Selain itu, wanita Jepun menggemari sup miso yang diperbuat daripada kacang soya. Ia baik untuk sistem pencernaan kerana kaya dengan probiotik," jelas Morami yang turut menyatakan kacang hijau dan rumpai laut seperti kombu, nori dan wakame adalah sebahagian daripada diet masyarakat Jepun.

Bukan itu saja, majoriti wanita Jepun tidak menggemari kopi sebaliknya memilih teh hijau. Mereka menyifatkan teh tersebut baik untuk kesihatan badan dan kecantikan wajah. Ia bukan sekadar membantu mengurangkan paras kolesterol, malah mengatasi masalah jantung, pereputan gigi dan melawan radikal bebas supaya kulit wajah kekal muda dan berseri.

Rejim penjagaan wajah

Sementara itu penulis majalah Marie Claire, Ning Chao, dalam laporan khasnya mengenai kecantikan ekstrem wanita Jepun menyatakan wanita di sana sememangnya obses pada kecantikan.

Biar sibuk dengan pelbagai tugasan dan aktiviti harian sekali pun mereka akan memastikan sebelum tidur wajah perlu dicuci dengan sempurna. Langkah tersebut bertujuan menanggalkan minyak dan kotoran yang boleh menyebabkan pori-pori tersumbat dan masalah jerawat.


DEVON AOKI menolak diet Barat kerana menyifatkan ia terlalu berlemak.


Setiap tiga kali seminggu, wanita Jepun turut melakukan proses pengelupasan kulit wajah bagi menghilangkan sel-sel kulit mati. Tidak ketinggalan mengamalkan teknik memakai topeng yang membantu menyerlahkan kulit wajah agar tampak berseri dan tidak kusam.

"Selain itu, mereka juga menggunakan wakame iaitu sejenis alga laut di perairan Jepun untuk merawat kulit bermasalah. Alga ini bagus untuk melindungi kulit daripada sinaran cahaya matahari yang menyebabkan masalah pigmentasi dan kulit kering.

"Ekstrak wakame yang dikenali phytessence wakame, selalu digunakan untuk menghasilkan produk kecantikan. Ia kaya dengan mineral seperti sodium, iron, potassium dan kalsium.

"Malah, kandungan kalsium dalam wakame adalah 15 kali ganda lebih tinggi daripada susu," kata Ning yang mendedahkan salah satu rahsia kecantikan kulit wajah wanita Jepun yang mulus dan gebu.

Sementara itu, sekiranya tidak berkesempatan melakukan teknik rawatan secara tradisional golongan wanita Jepun akan menggunakan produk jenama tempatan seperti Shu Uemura, Shiseido, Kanebo ataupun SK-II.

Menariknya, rangkaian produk Jepun turut dihasilkan dengan menggunakan ramuan semula jadi seperti beras dan rumpai laut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: