SESI tunggang uji motosikal kali ini diadakan di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) di Air Keroh, Melaka. Litar sepanjang 1.7 kilometer (km) menjadi lokasi sekumpulan pengamal media menguji jentera terbaharu keluaran Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas).
Diberi nama Ace 115, jentera empat kelajuan dengan enjin bersesaran 120cc itu mempunyai keunikan tersendiri. Ia memiliki rupa paras seperti sebuah skuter. Kegunaan utamanya adalah untuk tunggangan harian dalam bandar dengan jarak di antara 30km hingga 100km.
Sejurus tiba di litar MIMC sekitar pukul 9.30 pagi, taklimat ringkas berhubung soal keselamatan diberikan. Kami kemudian menyarung baju pelindung, sarung tangan dan pad pelindung lutut sebelum duduk di atas pelana Ace 115.
Motor itu terasa sedikit tinggi kerana dilengkapi rim aloi berukuran 16 inci. Kami diberi peluang terlebih dahulu untuk melayan litar sebelum ujian sebenar diadakan. Tunggangan pertama membabitkan tiga pusingan. Pusingan pertama sudah membuktikan kemampuan kuasa tork Ace 115.
Daya pikapnya cukup responsif ketika melepasi beberapa selekoh tajam di litar. Penukaran gear dua hingga empat juga lancar walaupun dilakukan secara spontan pada kelajuan lebih 80km sejam (km/j).
Kesan gegaran enjin pada tapak kaki tidak ketara sewaktu jarum meter laju mencecah paras 100km/j. Enjin Ace 115 sama seperti yang dipasang pada model Kriss 120. Pendek kata, ia masih buatan Kawasaki.
Berbekalkan berat kering sebanyak 100 kilogram, underbone dengan kerangka segi empat itu masih mudah dikemudi ke kiri atau kanan. Hendal Ace 115 lebih pendek dan ringan kalau dibandingkan dengan model Kriss 120.
Keseronokan tunggangan banyak berkait dengan aplikasi sistem suspensi jenis tunggal belakang (monoshock). Suspensi dengan kecondongan kira-kira 30 darjah itu memberi kestabilan yang bagus dan tidak membuai. Bagi memastikan cengkaman lebih baik, Modenas menggunakan tayar jenis IRC NR pada kedua-dua roda Ace 115.
Material polipropilena
Motosikal Modenas itu dilengkapi tangki berkapasiti 5.3 liter, paling besar dalam kelasnya. Setiap tangki penuh dikatakan mampu mencepai jarak perjalanan sehingga 250km pada kelajuan purata tunggangan 80km/j. Lebih spesifik, setiap liter menawarkan jarak sejauh 46.1km.
Sepanjang 15 pusingan di litar, kelajuan maksimum yang berjaya diperah hampir adalah 100km/j. Mengikut data kelajuan maksimum menerusi ujian kejuruteraan Modenas, angka sebenar ialah 86.9km/j. Mungkin meter Ace 115 jenis ringan.
Ace 115 dibangunkan untuk kegunaan dalam bandar. Sasaran pelanggannya adalah golongan muda berusia 16 hingga 24 tahun. Motosikal itu untuk keseronokan tunggangan dan bukannya jentera berprestasi. Jadi, kelajuan maksimum yang diberikan sebenarnya sudah cukup.
Material yang menyalut kerangkanya banyak diperbuat daripada polipropilena. Kelebihannya, ia sukar pecah jika anda terjatuh atau terlibat dalam kemalangan. Sementara baki komponen pada Ace 115 diperbuat daripada bahan ABS.
Tunggangan di litar berbeza dengan realiti dalam bandar. Untuk berlaku adil, saya meminjam semula Ace 115 untuk mengetahui karakter sebenarnya dalam persekitaran bandar.
Ia nyata lebih mudah untuk mengharung kesesakan lalu lintas. Ini kerana hendalnya lebih pendek, manakala sistem penyerap hentak tunggal belakang itu tetap stabil ketika melanggar lubang-lubang di jalan raya.
Pencahayaan menerusi lampu hadapan pada bahagian tengah jentera disifatkan sebagai memuaskan. Kelipan lampu isyarat membelok juga ternyata mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain.
Kekurangan pada Ace 115 yang dikenal pasti ialah cermin sisinya. Ia agak kecil untuk melihat keadaan trafik dibelakang sewaktu menunggang. Namun, masalah itu boleh diatasi dengan menukar saiz cermin sisi yang berpatutan.
Modenas membuktikan komitmen untuk kembali bangkit dan memberi saingan menerusi Ace 115. Mereka mahu berdiri sama tinggi dengan kapcai jenama Jepun dalam pasaran tempatan. Tidak keterlaluan jika saya sifatkan Ace 115 sebagai ejen pengubah persepsi jenama Modenas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: