Saturday, April 7, 2012

Tiga varian 3 Series dilancar


BRISCOE bersama model BMW 335i di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.


BMW 3 Series mula diperkenalkan ke pasaran dunia pada tahun 1975. Sejak pengenalannya sehingga kini, ia merekodkan jualan global melebihi 12 juta unit.

Di Malaysia, statistik jualan rangkaian BMW 3 Series sudah mencecah paras 10,743 unit sejak 2006. Angka itu merangkumi 48 peratus jualan BMW Group Malaysia (BMW Malaysia).

Baru-baru ini, BMW Malaysia memperkenalkan tiga model generasi keenam 3 Series iaitu varian 320d, 328i dan 335i. Ketiga-tiga model berkenaan diberi sentuhan inovasi terkini demi satu tujuan iaitu menetapkan penanda aras baharu dalam segmen tersendiri.

Pengarah Urusan BMW Malaysia, Geoffrey Briscoe berkata, model-model baharu itu akan membuatkan pelanggan lebih menghargai dan menilai kelebihan ciri-ciri BMW EfficientDynamics serta BMW ConnectedDrive Strategies. Gabungan kedua-dua ciri tersebut seiring dengan cabaran mobiliti masa hadapan BMW.

BMW 3 Series generasi keenam diberi pembaharuan pada reka bentuk bahagian hadapannya. Ia terserlah pada bahagian lampu hadapan bulat berkembar yang lebih lebar sehingga menghampiri bahagian gril berbentuk ginjal.

Jika dibandingkan dengan model-model sebelumnya, generasi keenam lebih panjang iaitu 93 milimeter (mm). Begitu juga jarak rodanya yang ditambah sebanyak 50mm. Kelebaran trek meningkat sebanyak 37mm pada bahagian hadapan dan 47mm (bahagian belakang). Ini menjadikan model 3 Series baharu kelihatan lebih sporty dan dinamik, sekali gus meningkatkan keupayaannya ketika mengambil selekoh.

Sentuhan kosmetik pada ruang kabin memudahkan pemandu mengubah, mengawal dan mengendalikan butang fungsi penting tanpa sebarang masalah. Misalnya, paparan kawalan skrin datar besar diberi pengenaan. Selain itu, terdapat dua tempat meletak cawan di bahagian hadapan tuil pemilih. Malah ruang di bahagian pintu boleh menempatkan botol air biasa bersaiz satu liter.

Keselesaan ruang kaki ditingkatkan jaraknya sebanyak 18mm untuk pemandu dan 15mm untuk penumpang hadapan. But BMW 3 Series generasi keenam diluaskan hingga 480 liter, iaitu penambahan 20 liter berbanding model sebelumnya.

Dua pembaharuan teknologi dilakukan kepada semua varian generasi keenam. Pertama, penggunaan teknologi BMW TwinPower Turbo. Kedua, aplikasi sistem transmisi automatik lapan kelajuan.

BMW 320d dilengkapi enjin diesel cas turbo berkapasiti 2.0 liter dengan variable turbine geometry (VTG). Ia berupaya meledakkan kuasa dan tork sehingga 184hp dan 380Nm. Masa diperlukan untuk pecutan 0-100 kilometer (km) cuma 7.6 saat.

Varian 328i pula dipasang enjin petrol empat silinder bersesaran 2.0 liter dengan sistem pancitan terus, Valvetronic dan pengecas turbo. Ia mampu menjana tenaga sebanyak 245hp dan bacaan tork setinggi 350Nm untuk membolehkan kereta memecut 0-100km dalam masa 6.1 saat.

Varian teratas segmen sedan kompak mewah itu ialah BMW 335i. Ia dilengkapi enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter. Enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa kuda maksimum 306hp dan tork 400Nm. Catatan pecutan 0-100km hanya 5.5 saat.

Harga runcit atas jalan tanpa insurans bagi model BMW 320d dan BMW 328i masing-masing RM268,800 dan RM309,800 sebuah. Bagi model BMW 335i pula, ia ditawarkan pada harga RM488,800 seunit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: