LEBIH kurang 13 tahun lalu, Proton hadir dengan sebuah model yang sempurna iaitu Satria GTi. Model itu hadir dengan pakej lengkap seperti beg udara pemandu, kit badan, kerusi Recaro, enjin 1.8 DOHC serta pemanduan dan pengendalian Lotus.
Satria GTi ialah kereta yang malar segar. Tidak cukup dengan GTi, Proton melahirkan varian yang lebih ekstrem iaitu Satria R3 dengan 150 unit terhad. Ia lebih kukuh, mengaum, mencengkam dan berprestasi berbanding GTi.
Jualan model hatch tidaklah hebat. Segmen itu berada dalam saiz pasaran yang kecil, namun mempunyai impak besar. Satria GTi direbiu oleh media antarabangsa dan pujian yang diterima tidak sedikit. Bahkan sehingga kini masih ada pelanggan negara luar yang ternanti-nanti model gantian GTi.
Menghasilkan pengganti untuk model agung bukan senang. Jika hasilnya tidak setara, bersedialah untuk menerima berbakul kritikan. Contoh ringkas ialah bagaimana Nissan Skyline disanjung daripada satu generasi ke satu generasi lain.
Divisyen pemotoran Proton, R3 sewaktu prapelancaran Proton R3 Satria Neo tidak segan silu menyatakan bahawa mereka membina model itu untuk mengimbas kembali kegemilangan silam GTi.
R3 sebelum ini telah menghasilkan dua versi istimewa iaitu Proton Satria Neo R3 (NR3) dan Proton Satria Neo R3 Lotus Racing (NR3 LR). Walaupun model Neo itu sama, tetapi ia memiliki karakter berbeza. NR3 kelihatan lebih garang dengan roda 17 inci.
Sementara NR3 LR pula adalah edisi pengumpul kenderaan. Harganya juga mahal hasil daripada peralatan lima bintang yang digunakan seperti set brek AP Racing dan suspensi Ohlins.
Selang beberapa masa selepas prapelancaran, saya diberi peluang untuk memandu uji Proton R3 Satria Neo.
Selepas diberi penerangan ringkas mengenai Neo yang pada mulanya diberi nama RS, tibalah masanya untuk saya menjamah sekali lagi kereta itu dengan lebih intim berbanding sesi terdahulu yang sangat singkat di litar ujian Proton.
Neo R3 mempunyai butang menghidupkan enjin. Cara untuk memulakan pembakaran di dalam silinder ialah dengan menekan brek dan kemudian menekan butang push start, lagak kereta mewah.
Selepas dihidupkan, bunyi bass kedengaran dan agak bising seperti mengarahkan pemandunya supaya segera membawanya pergi. Saya memandu keluar dengan berhati-hati. Neo R3 tidak murah, harganya beberapa ratus sahaja kurang RM80,000.
Kuasa berterusan
Tetapi hati-hati dan cermat saya tidak kekal lama. Pedal minyak ditekan rapat ke lantai dan meter rpm serta-merta berpusing ligat patuh kepada input pemandu. Kereta menerkam dan gear dianjak lebih tinggi. Bukaan CPS dan aci yang diprofail semula adalah pakej yang sepadan untuk meningkatkan kuasa.
Saya sukakan outputnya. Bekalan kuasa yang diberikan tidak putus-putus. Sentiasa ada bila diperlukan dan membuatkan saya ketagih untuk terus menekan pedal.
Saya fikir output seperti inilah yang wajib ada pada semua kereta, kuasa yang tidak putus dari rpm rendah hingga tinggi yang membuatkan pemilik rasa pembeliannya berbaloi.
Bukannya kereta yang dibeli dengan harga puluhan ribu ringgit tetapi kuasanya lemah, bergerak malas dan kemudian seberapa ketika tidak sabar hendak menjualnya.
Sewaktu memecut, ngauman enjin dengan setiap tukaran gear begitu mengasyikkan. Bunyinya tidak nyaring dan memekakkan. Sebaliknya, bunyi bass dan kasar menjadi nota muzik di dalam kereta.
Mungkin Neo R3 itu tidak memerlukan set audio yang canggih kerana profail pemandu kereta sporty seperti ini tiada masa untuk mendengar siaran radio yang kadangkala merapu-rapu. Cukup dengan pemain cakera padat tunggal.
|
|
Saya ada isu dengan tukaran gear yang cermat. Neo R3 dan kereta moden lain menggunakan sistem drive by wire (dbw). Namun untuk mendapatkan tukaran gear yang kemas agak sukar. Kebanyakan masa gear ditukar, enjin mengaum.
Selain menguji di lebuh raya, saya turut melalui Bangsar. Sengaja bagi mendapatkan pengalaman memandu di dalam kesesakan trafik.
Apa yang penting ialah berapa berat atau ringan klac. Kalau beratnya macam seguni beras, maknanya kereta itu hanya layak disimpan di rumah sahaja dan dipandu sekali-sekala.
Klac Neo R3 sederhana. Masih sesuai untuk dipandu hari-hari dalam trafik sesak. Saya kemudian memandu kereta ini ke lokasi yang ada selekoh, dakian dan menuruni curam.
Di sana, sekali lagi pedal minyak diperas untuk mendaki curam tinggi. Neo R3 terus melontar pergi. Bunyi bass dan mentah dari ekzos kedengaran, kereta ini memang mengasyikkan, gear ditukar dari rendah ke atas, stereng dipulas bagi menghayati selekoh berliku, badan kereta hanya tunduk patuh mengikut arah stereng.
Apa yang anda peroleh daripada Neo R3 adalah pakej kereta yang hampir sempurna iaitu kelajuan, pemanduan dan pengendalian terbaik. Boleh dikatakan bahawa Neo R3 boleh duduk sebaris dengan lagenda model sporty Proton lain seperti Saga Aerokit, Wira 1.8 DOHC dan Satria GTi.
Dalam pasaran automotif yang sangat kompetitif, agak sukar untuk melabur setengah bilion ringgit dengan jualan yang tidak seberapa bagi membangunkan sebuah model niche. Jadi, Neo mungkin model terakhir kereta dua pintu buatan Proton.
Jika ada pun pada masa akan datang, ia mungkin berkongsi platform dengan pengeluar lain untuk menjimatkan kos.
Harus tahu bahawa Cusco, penala kereta terkenal berminat menjual Satria Neo di pasaran domestik Jepun kerana wujud vakum untuk kereta sporty yang ringkas di sana.
Varian berprestasi buatan Jepun seperti Honda Civic, Mazda Familia Interplay atau Nissan Pulsar GTI-R sudah pupus. Era kegemilangan model-model berprestasi itu kini sudah tinggal kenangan.
Apa pun, kepada yang berminat, Neo R3 hanya dijual dalam kuantiti terhad. 150 unit sahaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: