KARIER seninya yang bermula pada usia mentah - 15 tahun bersama kumpulan Baby V.O.X membuatkan Yoon Eun Hye kurang menyerlah kerana sering dibayangi empat anggota lain. Eun Hye juga acap menjadi mangsa ketidakpuasan hati kumpulan peminat yang cemburu dengan kejayaan Baby V.O.X yang memuncak populariti menerusi album ketiga mereka, Come Come Come pada 1999.
Terkilan dengan situasi terpaksa dilaluinya, Eun Hye hampir menolak tawaran itu namun dipujuk bekas ketua kumpulan Baby V.O.X, Shim Eun Jin supaya tidak tunduk kepada tekanan daripada mereka yang membencinya.
Selepas membuktikan bakatnya menerusi drama itu, Eun Hye mula disayangi dan mereka yang dulu membenci datang memohon maaf serta menyatakan kekaguman dengan kekentalan jiwanya.
“Mungkin kerana masih muda, 16 tahun ketika itu menyebabkan saya keliru bagaimana berurusan dengan orang ramai. Saya sering tertekan bimbang dimarahi kepada perkara yang saya sendiri tidak tahu di mana salah dan silapnya. Keadaan bertambah sulit apabila saya semakin dibebani tanggungjawab mengubah saya menjadi seorang yang teliti.
“Ramai bertanya apakah saya seorang yang mementingkan kesempurnaan? Ia mungkin kerana saya belajar daripada pengalaman lalu.
Keyakinan itu hanya datang apabila saya mampu mengawal semua kerja saya,” kata Eun Hye yang menjadi sebutan di Asia selepas melakonkan watak utama dalam Princess Hours pada 2006.
Sering disalah erti dengan imej keanak-anakan yang membentuk dirinya di mata peminat, Eun Hye menjelaskan, kecenderungannya terhadap seni banyak dipengaruhi kedua-dua orang tuanya.
Bintang termuda raih gelaran
MERENDAH diri, Eun Hye mengakui tidak pernah menyedari dia memiliki bakat lakonan kerana berasakan kehadirannya dalam bidang itu sekadar tuah.
“Saya bukan yang terbaik tetapi saya sentiasa mencuba untuk memperbaiki kekurangan diri,” katanya yang pernah berdepan cabaran getir ketika mula bertapak sebagai pelakon.
Enggan tunduk kepada tekanan umum, Eun Hye mengambil cabaran untuk membuktikan kemampuannya apabila menerima tawaran watak utama dalam drama ketiganya, The 1st Shop of Prince Coffee. Menemui penonton di layar kaca pada Julai 2007, drama itu menerima sambutan hangat penonton sekali gus melonjakkan Eun Hye sebagai aktres yang menerima bayaran tertinggi.
Penerimaan hebat penonton meletakkan Eun Hye dalam senarai pelakon kelas A di Korea Selatan menyertai nama besar lain seperti Bae Yong-joon, Kwon Sang Woo, Ko Hyun Jung dan Song Il Kook. Eun Hye juga melakar sejarah sebagai bintang termuda merangkul gelaran Aktres Terbaik pada Anugerah Seni PaekSang Ke-44, mengenepikan aktres senior iaitu Kim Hee Ae dan Park Jin Hee.
Susulan kejayaan itu turut menyaksikan kegemilangan karier lakonan Eun Hye yang diiktiraf sebagai pelakon wanita termuda memenangi Aktres Terbaik di Grime Awards 2006 dan Aktres Cemerlang di MBC Drama Award 2007.
Sering menangis
LEBIH 12 tahun mengabdikan dirinya dalam bidang seni, mengakui malu kerana tidak berdepan siri latihan yang ketat dan panjang ketika memulakan langkahnya sebagai penyanyi dulu.
“Saya tidak malu kerana pernah bergelar penyanyi tetapi malu disebabkan kekurangan diri sendiri. Saya tidak cantik, malah gagal menyanyi dan menari dengan baik tetapi masih mahu muncul di pentas. Menonton semua video permulaan karier saya membuatkan saya kecewa. Lebih mendukacitakan apabila saya menjadi penyanyi tetapi tidak boleh menyanyi,” katanya.
Barangkali disebabkan itu, label penyanyi yang beralih menjadi pelakon sentiasa mengekori langkah Eun Hye membuatkan dia sering tertanya-tanya mengenai kemampuan sebenarnya.
“Saya berdepan kesukaran terutama ketika berdepan dengan isu sebutan yang terus menghantui. Saya sering menangis kerana mengalami tekanan berat hanya disebabkan kekurangan itu.
“Saya gagal menyempurnakan walaupun satu ayat ketika berkomunikasi dengan teman rapat. Ia membingungkan saya, apakah saya mampu meneruskan karier lakonan jika masalah ini berterusan,” katanya.
Rindu berlakon filem
SEMANGAT kental yang dimilikinya membuatkan Eun Hye percaya tiada yang mustahil di dunia ini. Sebagai mana dia yakin untuk memulakan karier lakonan, Eun Hye menukar kelemahan itu menjadi kekuatan yang membentuk keistimewaannya. Biarpun mempunyai keghairahan yang tinggi dalam bidang lakonan, namun tidak banyak produksi yang dibintanginya.
Dalam tempoh lima tahun, Eun Hye membintangi tidak sampai 10 produksi televisyen iaitu The Vineyard Man dan Goong (2006), The 1st Shop of Coffee Prince (2007), My Fair Lady (2009) Personal Preference (2010) dan Lie To Me (2011).
Enggan terus berdepan dengan kritikan yang memberikannya cabaran besar membuatkan Eun Hye mengambil masa lima tahun sebelum kembali ke layar perak menerusi My Black Mini Dress, tahun lalu.
“Tiada siapa yang tahu saya sebenarnya terlalu rindu untuk berlakon filem. Namun saya takut. Bagaimana jika filem itu gagal, apakah saya hanya akan berlakon drama selepas itu?
“Saya mahu menjadi yang terbaik, namun disebabkan kemampuan terbatas memaksa saya menahan keinginan untuk berlakon filem,” katanya.
PROFIL
Nama: Yoon Eun Hye
Profesion: Aktres, penyanyi dan model
Tarikh Lahir: 13 Oktober 1984
Tempat Lahir: Seoul, Korea Selatan
Tinggi: 168sm
Berat: 48kg
Zodiak: Libra
Drama: Lie to Me (2011); Personal Preference (2010);
Take Care of the Young Lady (2009); The 1st Shop of Coffee Prince (2007); The Vineyard Man dan Goong (2006)
Filem: My Black Mini Dress (2011) dan The Legend of Seven Cutter / Escaping From Charisma (2006).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: