Friday, January 20, 2012

Wilma Kembali Berlakon Bukan Sebab Terdesak

Wilma Muhammad

PETALING JAYA: Pelakon Wilma Muhammad berkata keputusan untuk kembali berlakon selepas 11 tahun menyepi bukan kerana desakan hidup selepas kematian suaminya Mahir Effendi kira-kira setahun yang lalu.

Sebaliknya, aktres berusia 39 tahun ini berkata dia menerima tawaran untuk membintangi filem 1945 arahan Imran Ismail kerana skrip yang menarik dan syarat-syarat yang dipersetujui bersama dengan syarikat produksi, AAR Intelligent Sdn Bhd itu.

“Sebenarnya tiada istilah terdesak pun. Saya akui, tawaran berlakon dalam filem itu dapat menambahkan lagi pendapatan selain kerjaya saya sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta.

“Saya bersetuju untuk berlakon dalam filem itu kerana penerbitnya AAR Intelligent memenuhi syarat-syarat yang saya tetapkan termasuklah untuk saya kekal bertudung dalam filem itu.

“Saya sendiri tertarik dengan watak dan plot filem itu yang berbeza, selain mengenali pengarahnya Imran Ismail sejak dulu lagi,” katanya yang dihubungi mStar Online, Khamis.

Penampilan Wilma yang menjadi penghias majalah Jelita keluaran terbaharu.

Dalam filem bergenre epik peperangan pada era Komunis di Malaya itu, Wilma memegang watak utama iaitu seorang srikandi bernama Tengku Suraya. Ia turut dibintangi Faizal Hussien dan Yang Kassim.

Wilma berkata sekalipun dia mempunyai pekerjaan tetap, bayaran daripada lakonan dapat menjana pendapatan yang lebih besar untuk ekonomi keluarganya.

“Kalau diikutkan, saya sudah menerima beberapa tawaran lakonan apabila saya mula keluar bekerja dan kerap berjumpa dengan ramai orang. Namun saya tolak kerana ingin menumpukan perhatian pada keluarga.

“Kini, apabila saya bergelar ibu tunggal, tidak dinafikan tanggungjawab menjadi semakin berat. Apabila datang tawaran ini, mengapa tidak saya menerimanya kerana pihak produksi bersetuju dengan syarat-syarat yang saya tetapkan.

“Malah, saya juga mendapat restu daripada anak-anak dan keluarga mertua. Syarikat saya bekerja juga fleksibel dan tiada halangan untuk melepaskan saya berlakon,” katanya yang akan mengambil cuti selama dua bulan bermula Februari depan untuk penggambaran filem itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: