KEPESATAN dalam industri fesyen busana Muslimah turut merancakkan lagi kehadiran peragawati bertudung yang tentunya memberi impak kepada bidang peragaan yang rata-rata dikuasai model kelas atasan atau model ‘mat salih’.
Malah model antarabangsa ini turut mengambil alih tempat peragaan pakaian Muslimah walaupun sebenarnya mereka tidak bertudung.
Daripada satu segi, alasan diberikan penganjur kerana mereka bijak bergaya serta sesuai mengenakan apa saja busana disebabkan memiliki ketinggian selain cantik dan langsing. Daripada segi yang lain, tidakkah ini menutup peluang model Muslimah yang rata-rata memiliki kelebihan tersendiri selain cantik dan berbakat?
Bertemu tiga model bertudung yang kerap menghiasi ruangan fesyen majalah dan akhbar tempatan serta pentas peragaan, Dina Kasmarani Aprianty Kasmaruddin, 34, Jasrina Jasni, 26, dan Siti Mastura Mohd Saleh, 25, sememangnya mereka mempunyai alasan tersendiri menceburi bidang peragaan walaupun sebenarnya kerjaya ini tidak menjanjikan keindahan seperti yang disangka.
Bagi Dina Kasmarani yang mesra disapa Dina, walaupun kerjaya peragaan disertai agak lewat iaitu selepas melahirkan anak pertama ketika berusia 29 tahun, dia bersyukur kerana rezeki tidak pernah putus sehingga mampu bertahan selama lima tahun.
“Kerjaya saya bermula selepas menyertai pertandingan pencarian kulit hadapan sebuah majalah Muslimah tempatan dan berjaya memenangi tempat kedua. Daripada situ, baru saya percaya yang saya berbakat dalam bidang peragaan dan mula menerima tawaran memperagakan fesyen majalah serta pentas peragaan. Antaranya pertunjukan fesyen Minggu Fesyen Islam (IFF) dan fesyen pengantin,” katanya.
Memiliki ketinggian 168 sentimeter dan berat 49 kilogram, nyata Dina mempunyai bakat semula jadi apabila tidak kekok beraksi di hadapan kamera malah wajah fotogeniknya senang berubah apabila disalut solekan.
Dina mengakui, model tidak bertudung beruntung kerana menyertai agensi peragaan yang boleh membantu mengasah bakat selain mencarikan peluang memperkenalkan diri kepada media. Ini berbeza dengan model Muslimah kerana semuanya terletak pada bakat selain usaha memajukan diri supaya setanding dengan model terkenal yang lain.
“Apa yang saya lakukan adalah bergaul dengan semua orang. Misalnya saya bersahabat baik dengan peragawati Tini jadi saya gunakan peluang untuk mendapatkan pandangannya serta menghadiri pertunjukan fesyen yang disertainya.
Daripada segi penggayaan walaupun berbeza, cara mereka beraksi dapat saya gunakan apabila memperagakan pakaian dengan cara lebih sopan dan tertib bersesuaian dengan pakaian yang saya bawakan,” jelasnya.
Selain itu supaya sentiasa dihormati, peragawati perlu mempunyai disiplin serta bersungguh-sungguh melakukannya. Jangan hanya menjadikan kerjaya ini sebagai batu loncatan untuk glamor semata-mata kerana ia tidak akan kekal lama, sebaliknya berusaha memberikan yang terbaik, sentiasa merendah diri dan belajar daripada kesilapan.
Berbicara mengenai fesyen Muslimah di Malaysia, Dina menyifatkan wanita bertudung kini berpeluang tampil ranggi dan moden dengan tercetusnya gelombang fesyen Muslimah yang dilihat semakin positif.
“Sebelum ini saya melihat pasaran fesyen tempatan bagaikan berat sebelah.
Kebanyakan konsep pakaian yang trendy, urban dan chic hanya buat wanita yang tidak bertudung. Tetapi kini wanita bertudung boleh tampil lebih moden dengan pelbagai fesyen menarik tanpa melupakan ciri wanita Muslimah. Ini tentunya membuka lebih banyak peluang kepada model Muslimah untuk memperagakan pakaian,” katanya yang mempunyai seorang anak, Adam Darwisy Iskandar Adi Azrai, 5, yang dijaga sejak tiga tahun lalu selepas berpisah dengan suaminya.
Dina yang turut bekerja sebagai Eksekutif Kewangan Perumahan di Bank Al Rajhi mengakui setakat ini dia belum berhasrat menjadikan peragaan sebagai kerjaya utama. Ini kerana dia mempunyai anak yang perlu disara dan memerlukannya mempunyai pendapatan tetap setiap bulan.
“Saya bersyukur kerana majikan sangat memahami dan memberikan peluang kepada saya bergerak dalam bidang ini, pada masa sama menguruskan kerja di pejabat.
Dengan pendapatan sampingan sebagai model saya gunakan sebaiknya untuk memenuhi keperluan anak,” katanya.
Walaupun ada masyarakat memandang serong dengan kerjaya ini ditambah pula dengan status ibu tunggal, sebagai manusia Dina tidak mampu menutup mulut mereka. Apa yang boleh dilakukannya adalah bersabar kerana dia mencari rezeki yang halal. Dina juga mengakui tidak lama di dalam bidang ini dan memberi tempoh masa tiga tahun lagi sebelum bersara.
“Ini kerana model datang silih berganti dan sudah pasti peluang lebih terbuka kepada model lebih muda dan cantik,” katanya.
Namun sebelum bersara Dina ingin menubuhkan agensi peragaan Muslimah yang memberikan latihan khusus kepada model baru selain menyediakan peluang untuk mereka memperagakan pakaian sama ada menerusi media cetak atau di pentas peragaan. Besar harapan Dina supaya dengan tertubuhnya agensi ini, model Muslimah berbakat dapat dibentuk seterusnya menyediakan flatform kepada mereka bagi mengetengahkan bakat dalam bidang peragaan.
“Secara tidak langsung ini dapat meningkatkan lagi profesionalisme model Muslimah di mata orang ramai sekali gus menjadikan kerjaya ini lebih sistematik, berkualiti serta diterima ramai,” katanya.
Si gadis manis bermata galak dan cantik, Jasrina Jasni mula dikenali selepas mendapat tempat kedua dalam pertandingan pencarian kulit hadapan sebuah majalah tempatan pada 2007/2008. Sejak itu rezekinya murah dalam bidang peragaan dan sering menghiasi ruangan fesyen busana Muslimah.
Menurut Jasrina, hari ini lambakan fesyen Muslimah semakin berkembang dan secara tidak langsung ia mengajak wanita bertudung supaya berani bereksperimen dengan penampilan peribadi.
“Bagi model bertudung pula selain membuka peluang peragaan, kami menjadi individu pertama yang memperkenalkan pakaian Muslimah kepada wanita sekali gus menjadi ikon fesyen mereka. Tidak dinafikan, segelintir wanita bertudung masih ragu-ragu untuk bergaya dengan koleksi fesyen moden kerana bimbang ia bertentangan dengan fesyen Muslimah.
“Di sinilah peranan model mengambil tempat. Golongan model mampu membantu menggayakan dan ‘menjual’ pakaian yang diperagakan sebaik mungkin. Secara tidak langsung, ia memberi idea fesyen kepada pembaca agar mereka melangkah dengan penuh yakin,” katanya yang berharap wanita hari ini tidak menjadi hamba fesyen serta mengekalkan asas utama iaitu menutup aurat.
“Empat tahun bergelar model sepenuh masa, Jasrina bijak mencari peluang bagi mengukuhkan namanya dalam industri. Dia percaya model datang dan pergi serta tidak selamanya mampu bertahan, justeru dia mempersiapkan diri dengan ilmu agar dapat disampaikan kepada model baru akan datang.
“Sejak empat tahun lalu saya menjadikan bidang ini sebagai kerjaya sepenuh masa. Siapa kata kerjaya ini tidak boleh ‘cari makan’? Apa yang penting model perlu bijak menggunakan peluang yang ada. Pada masa lapang saya mengadakan bengkel latihan dengan menyediakan asas kepada model baru yang ingin berkecimpung dalam bidang ini.
“Apa yang penting selain ketinggian dan rupa paras yang dianggap satu bonus, model harus berbakat dan mempunyai kebolehan semula jadi memperagakan pakaian dan inilah yang membezakan seorang model dengan model yang lain,” katanya.
Gadis kelahiran Sabah ini berharap pada masa depan dia mampu mengumpulkan model Muslimah berbakat di bawah satu bumbung bagi memberikan ilmu serta latihan kepada mereka mengenai cara menjadi model berjaya.
Penuntut jurusan Seni Rekaan Fesyen daripada Universiti Lim Kok Wing, Siti Mastura Mohd Salleh, mengakui pendedahan dalam bidang peragaan berlaku secara tidak sengaja apabila dia diminta menjadi model ‘segera’ bagi menggantikan model yang tidak dapat hadir ketika pertunjukan fesyen.
“Ketika itu gementar rasanya kerana sebelum ini saya tidak pernah beraksi di hadapan kamera. Namun peluang kali pertama menyebabkan saya mempunyai keyakinan diri untuk mencuba beberapa pertandingan selepas itu tambahan pula saya mendapat galakan keluarga serta rakan,” ujar gadis kelahiran Pahang ini.
Bakat semula jadi serta kecantikan asli yang dimilikinya tidak sia-sia apabila Mastura menjuarai pertandingan kulit hadapan salah sebuah majalah tempatan serta menjadi peserta akhir Pertandingan Gadis Melayu 3 terbitan TV9 pada 2010.
Sejak itu rezekinya murah dan menerima tawaran memperagakan pakaian Muslimah di media cetak dan juga pentas peragaan.
Bagi Mastura niatnya bukanlah untuk menjadikan kerjaya ini sebagai sumber pendapatan utama sebaliknya sebagai mengisi masa lapang.
“Sebagai pereka fesyen saya harus tahu apa yang cantik pada tubuh wanita, jadi dengan berpeluang memperagakan pakaian saya tahu apa yang akan membuatkan seseorang wanita itu nampak cantik. Adakah pada potongan, perincian manik atau penggayaan seseorang? Ini kerana fesyen dan model saling berkait rapat dan saling memerlukan,” nyatanya.
Anak keempat daripada lima beradik ini mengakui untuk menjadi model berjaya serta mempunyai kredibiliti mereka bukan saja harus cantik dan memiliki ketinggian tetapi perlu bijak berfesyen. Dalam apa juga keadaan kesederhanaan itu sangat penting. Ini kerana model bertudung harus menjaga keperibadian mereka dan tidak boleh terlalu taksub memperagakan pakaian sehingga hilang nilai kesopanan.
“Ada sesetengah model menerima apa saja pakaian tanpa menimbangkan sama ada pakaian itu memenuhi tuntutan dalam Islam. Sebaliknya mereka boleh bersuara sekiranya kurang selesa misalnya terlalu ketat, jarang atau pendek sehingga menampakkan susuk tubuh. Inilah yang dikatakan model harus bijak dan tidak dipergunakan supaya mereka tidak ditipu.
“Paling penting sebelum memulakan sesi fotografi model perlu bersedia membawa semua kelengkapan seperti alas baju, legging, kasut dan pin tudung supaya tidak menyusahkan penganjur selain menampakkan nilai profesional dalam kerjaya,” katanya.
Menjadikan Wardina Safiyyah serta Farah Adeeba Mohd Ashraf sebagai idola, Mastura yang mempunyai ketinggian 165 sentimeter dan berat 48 kilogram mengagumi penampilan serta keperibadian kedua-dua personaliti ini yang tampil sopan dan anggun dalam apa juga keadaan.
“Selain itu mereka bukan saja cantik malah bijak serta anggun bergaya. Sebagai pelajar jurusan fesyen saya berbangga kerana Farah mampu mempunyai label pakaian Muslimah sendiri dan sedikit sebanyak ini memberikan semangat kepada saya untuk menjadi seperti Farah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: