MUDAH DIGAYAKAN...rekaan ini disertakan kerongsang pasang siap pada tudung.
MASIH lagi mengekalkan penggunaan kain sifon sebagai bahan utama dalam pembuatan tudungnya, kini jenama tudung Fareeda mengetengahkan gabungan kain bercorak seperti bunga-bungaan, bintik polka serta corak kulit harimau kumbang.
Antara rekaan menarik adalah corak V Rozanna tiga lapis, Sara Marissa, Selendang Suraiya dan Selendang Mawar ropol.
Pemiliknya, Faridah Zakaria berkata, gabungan sifon polos dan kain bercorak menambahkan lagi gaya yang cuba diketengahkan selain memberikan kelainan dalam pemilihan rekaan tudung kepada pengguna.
Menurutnya, konsep gabungan ini bertujuan memberikan lebih keselesaan kepada wanita bertudung memandangkan jika menggunakan satu lapisan sifon saja, ia akan nampak lebih terdedah kerana kain berkenaan amat nipis.“Rekaan berlapis pula bertujuan memberikan kelainan kerana ia boleh menampakkan alunan kain supaya fesyen tudung yang dikenakan kelihatan lebih menarik dan ‘hidup’.
“Golongan muda sememangnya meminati rekaan sebegini kerana ia lebih bergaya dan mampu memberikan kelainan berbanding rekaan lain yang ada di pasaran,” katanya.
Selain itu, setiap rekaan yang ada di kedainya sentiasa diperbaharui supaya pelanggan lebih berpuas hati kerana boleh tampil bergaya dengan bentuk berbeza. Pada masa sama, ia memberikan jaminan keselesaan secara menyeluruh. Malah, setiap koleksi tudung Fareeda sesuai untuk semua lapisan usia.
“Sesiapa saja boleh bergaya dengan tudung jenama ini kerana ia ringkas serta memudahkan dan cara penjagaannya juga tidak rumit. Bahkan gabungan warna ceria pada tudung membuatkan pemakainya kelihatan lebih bergaya,” katanya.
Untuk keluaran tudung akan datang, ia bakal mengembalikan semula rekaan tudung polos dan dwiwarna berserta corak bunga Inggeris.
Tip penjagaan tudung
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: