WASHINGTON - Laman jaringan sosial Twitter memohon maaf selepas mengesahkan akaun Twitter dengan nama Wendi Deng Murdoch, isteri pemilik firma media terbesar dunia, Rupert Murdoch didapati sebenarnya adalah palsu.
Dalam satu e-mel kepada agensi berita AFP, seorang jurucakap Twitter berkata: "Kami tidak membuat komen berhubung proses pengesahan kami tetapi boleh mengesahkan bahawa akaun @wendi_deng (isteri Murdoch) tersilap disahkan untuk tempoh yang singkat.
"Kami memohon maaf disebabkan kekeliruan itu."
Sementara itu, menurut jurucakap firma rangkaian akhbar milik Murdoch, News International di London, akaun palsu tersebut dibuat pada tahun baru sehari selepas taikun media itu membuat kemunculan pertamanya di Twitter.
Twitter pada Selasa lalu turut mengesahkan akaun milik Murdoch.
Ketika menggunakan Twitter tersebut, Murdoch itu tidak menyebut mengenai penyamar isterinya tetapi hanya menyentuh isu politik, filem, percutiannya dan cuaca.
Namun, pemilik misteri akaun palsu isteri Murdoch akhirnya membuat pengakuan bahawa akaun tersebut memang palsu pada Selasa lalu.
"Helo Twitter. Oleh kerana News International telah menyedarinya, sudah tiba masa untuk mengesahkan bahawa ya, ini adalah akaun palsu. Saya bukan Wendi," kata penyamar yang tidak dikenali menerusi Twitter kelmarin.
"Kepada sesiapa yang terus mengatakan akaun palsu itu walaupun setelah disahkan, baik untuk anda kerana mencurigainya," tambah pemilik misteri akaun @Wendi_deng menerusi mesej yang mempunyai 10,000 pengikut.
"Ini merupakan satu keseronokan kecil. Jika anda tidak mempercayainya, kemudian lebih baik anda meminta Twitter untuk mengeluarkan setiap akaun palsu juga," kata pemilik akaun palsu tersebut.
Murdoch, 83, ialah bilionair kelahiran Australia manakala Wendi, 43, berketurunan Cina berkahwin pada Murdoch, tahun 1999 iaitu dua tahun selepas pasangan itu bertemu pada satu parti di Hong Kong.
Pada Julai tahun lalu, Wendi menjadi perhatian apabila bangun dari kerusi untuk menyerang balas seorang lelaki yang membaling suaminya dengan menggunakan sepinggan pai ketika mereka hadir di hadapan satu jawatankuasa Parlimen Britain berhubung kes pengintipan perakam suara telefon bimbit melibatkan wartawan di akhbar News of the World yang dimiliki Murdoch.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: