Sunday, January 22, 2012

Timbul tenggelam Fezrul Khan

FEZRUL KHAN muncul dengan filem perdananya, Sumpahan Kum Kum yang mula ditayangkan pada 26 Januari ini.


AKTOR ini memulakan mukadimah dengan satu pernyataan benar tentang dirinya. Fezrul Khan ketawa kecil tapi memberi gambar besar tentang penampilannya sebagai seorang pelakon.

"Saya bukan pelakon method," itu ayat ringkas yang menjelaskan pendirian Fezrul Khan.

Secara harfiahnya, Fezrul banyak bergerak dengan faktor teknikal. Dia bernaung bawah syarikat yang menawarkan khidmat sewa peralatan seperti lampu dan barang-barang untuk produksi. Hari-harinya banyak bergulir dengan suasana teknikal setelah mendirikan MRG Entertainment Sdn. Bhd. sejak dua tahun lalu.

Penubuhan syarikat atas dasar kecintaan kepada bidang kerja yang digemarinya ini menjadi antara faktor mengapa pelakon berusia 29 tahun ini semakin bergerak pantas. Banyak menumpukan perhatian kepada syarikat, namun Fezrul mengaku semakin serius meletakkan dirinya sebagai aktor.

Faktor teknikal

Menggalas topik teknikal yang dibawakan Fezrul, dia memulakan cerita tentang faktor penting yang membantu perjalanan karier seninya namun agak dipandang sepi oleh sesetengah pelakon.

"Saya memulakan bidang seni dengan kerja-kerja belakang tabir. Itu permulaan saya. Boleh saya katakan bahawa faktor teknikal membantu 50 peratus dalam lakonan saya. Saya melihat juga tidak ramai pelakon tahu tentang teknikal. Majoritinya hanya banyak tertumpu kepada penyampaian dan jalan cerita.

"Kalau kita sedar bahawa faktor lampu, pergerakan kamera dan peralatan akan dapat banyak membantu perjalanan lakonan. Itu yang saya katakan bahawa saya ini lebih kepada pelakon teknikal dan bukan method," senyumnya yang mengaku seorang yang pemalu.

Namun pada kadar kelajuan sederhana sekarang yang tidak perlu dipacu deras, Fezrul yang kadangkala seakan tenggelam dan timbul bersyukur dengan tawaran lakonan yang semakin banyak menghampiri.

"Alhamdulillah ada tawaran dan saya memilih daripada sudut jalan cerita. Berdasarkan pemerhatian saya, enam daripada 10 buah filem tempatan mempunyai jalan cerita yang baik," tambahnya.

"Saya rasa tidak laju dalam kadar pencapaian berlakon. Saya sebenarnya juga tidak mahu lambakan lakonan saya dalam produk takut orang muak tengok saya. Banyak lagi yang saya pelajari. Bagi saya adalah penting untuk mengambil masa untuk mengkaji dan membentuk sesebuah karakter," ujar teman baik Shaheizy Sam yang selalu memancing bersama.

Pengalaman kena tipu

Fezrul mula bersifat selektif dalam pemilihan watak kerana pengalaman lalu banyak meninggalkan kesan terhadapnya.

Dakwa pelakon yang berasal dari Johor, pengalaman ditipu bayaran merupakan pengalaman pahit buatnya. Sakit hati sudah pasti tapi pengajaran positif yang kemudian diambil adalah dengan menyertai sebuah pengurusan artis yang mampu menjaga kebajikannya.

"Ya, saya pernah ditipu dengan tidak dibayar. Lalu dengan nasihat Sam, saya menyertai pengurusan Metrowealth (MIG) yang akan menjaga saya sebagai pelakon. Perancangan jangka panjang, inilah yang saya nampak baik untuk saya," ujar Fezrul yang pernah terkena sihir beberapa tahun lalu.

Melalui MIG, Fezrul pada tahun ini muncul sebagai pelakon utama dalam filem Sumpahan Kum Kum. Respons yang diterima usai tayangan, filem tersebut adalah sebuah tanda aras positif untuk Fezrul. Ramai yang memuji lakonannya manakala filem arahan Ismail Bob Hashim itu dianggap antara yang paling seram. Filem yang bakal ditayangkan pada 26 Januari ini adalah hasil gandingan Fezrul bersama Shima Anuar, Wawa Zainal, Razak Ahmad dan Kaza.

"Ini filem pertama saya. Sebelum ini pernah berlakon filem tetapi ditipu. Saya membawakan watak Adi yang membalas dendam terhadap kematian adiknya. Dia seorang lelaki yang selalu cemas dan panik. Juga berkebolehan mengubatkan orang kerana ada keistimewaan mistik," terang Fezrul yang sebenarnya turut mempunyai perasaan cepat panik selepas terkena sihir satu ketika dulu.

"Saya target untuk tahun 2012 untuk keluar dengan produk filem. Alhamdulillah, saya akan muncul dengan filem Minyak Dagu arahan Azhari Zain dan Hanya Aku Cinta Kau Seorang arahan Ollyn untuk tahun ini," katanya.

Di kaca televisyen juga, drama Santau Merasuk juga sudah mula ditayangkan. Penampilan Fezrul bersama Yana Samsudin sekali lagi menyaksikan dirinya dalam atmosfera genre seram.

"Saya tahu saya banyak berlakon produk seram. Tetapi saya perlu berhenti daripada melakonkan genre seram kerana mahu fokus kepada genre lain. Mungkin wajah saya ini sesuai dengan produk hantu," ketawanya yang mengagumi Kevin Spacey dan John Leguizamo ini.

Untuk Fezrul, 2012 tampaknya sebagai sebuah permulaan dengan langkah kanan. Muncul dengan sebuah perdana memungkinkan nama yang dilihat tenggelam timbul itu ada pada permukaan yang lebih jelas.

"Saya memang suka berlakon kerana suka berfikir," tambahnya yang jelas gemar berfikir kerana menbalas setiap soalan dengan pemberhentian masa beberapa detik sebelum deras menjawab.

1 comment:

  1. huh . saya nak tengok Sumpahan Kum Kum tp parents tak izinkan coz dorang kata saya kena bljr sbb tahun ni PMR . haih . . Tgk di sebalik tabir nya mcm best je . .

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: