Monday, January 2, 2012

Terkesan ayat power

ENTAH mengapa, hati saya tersentuh apabila membaca kisah isteri kedua, berbanding cerita-cerita lain yang sering saya ikuti di ruangan ini. Lantas jiwa saya melonjak untuk menjawab cerita Norsalimah minggu lalu,'' ujar Noraminah dalam e-melnya.

Menurutnya, dia cukup terkesan membaca ayat power; ''Percayalah soal jodoh, rezeki dan maut itu ketentuan Allah jua. Tak percayakah, ada gadis baik dijodohkan dengan lelaki pembunuh, pengedar atau penagih dadah, kaki minum, kaki judi, pencuri dan sebagainya. Adakah wanita itu memintanya?''

"Ayat sebegini memang biasa saya dengar," tambah Noraminah.

Baginya, kalangan masyarakat memang ada yang suka menyalahkan orang lain atas kelemahan diri sendiri. Kalau tidak mengaitkan dengan takdir Allah, mereka akan salahkan sesama manusia.

''Sudah jodoh, nak buat macam mana?' Maknanya 100 peratus tindakan yang mereka buat itu adalah atas kehendak dan ketentuan Allah. Mereka langsung tidak ada pilihan!

"Amboi! senangnya menyalahkan orang untuk melepaskan diri sendiri!

''Sedangkan soal mencari jodoh ini Allah telah pun memberi kita panduan antaranya; ''Carilah pasangan yang beriman dan sekufu.'' Maknanya Allah bukan tentukan takdir kita 100peratus. Allah ada beri kita hak untuk membuat pilihan atau memilih. Jadi, siapa suruh awak kahwin dengan lelaki pembunuh, penagih dadah, kaki judi, penganggur, pembuli, peliwat, pemalas, termasuk suami orang? " soalnya.

Noraminah turut mengingatkan ungkapan; "Yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk daripada kita sendiri?''

''Memang Allah menghalalkan poligami bagi lelaki, tetapi Allah sertakan juga syarat-syarat untuk berpoligami. Sebab itu Nabi Muhammad SAW sendiri tidak sanggup memadukan Saidatina Khadijah semasa hayatnya.

"Hanya selepas wafat isterinya itu barulah baginda berpoligami, itu pun atas beberapa sebab. Sebagai manusia, isteri-isteri baginda juga tidak dapat lari daripada sifat-sifat fitrah manusia walaupun baginda telah berlaku adil. Mereka tetap saling mencemburui, inikan pula wanita biasa.

''Dengan yang demikian Norsalimah, janganlah anda suka menyalahkan isteri pertama yang enggan dipoligamikan walaupun suami berkemampuan zahir batin apatah lagi jika si suami tidak berkemampuan.

''Kita tidak boleh nafikan sudah menjadi lumrah dan fitrah manusia mempunyai sifat tamak lebih-lebih lagi dalam bab kasih sayang. Bayangkan anak-anak kecil pun marah jika permainan kesayangannya diambil orang,'' katanya membela isteri pertama.

Sutinah dalam e-melnya pula memberitahu banyak kisah yang dipaparkan dalam ruangan ini menjadi teladan dan inspirasi dalam memperbaiki kekurangan dan kelemahan dirinya.

''Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa sebaliknya mengambil iktibar terhadap apa juga yang berlaku di sekeliling kehidupan.

''Pada pandangan saya, tak kira isteri nombor berapa sekali pun, setiap makhluk Allah sudah pasti mempunyai segala macam perasaan dan emosi. Ada yang reda, ada yang suka salahkan orang kerana terasa tergugat dan demi menjaga maruah sendiri.

''Sepatutnya sebagai makhluk Allah, kita buka mata dan tanya diri kita sendiri, adakah kita reda menerima ujian Allah, tabah dan berusaha untuk memperbaiki diri atas kekurangan kita. Kalau kita asyik salahkan orang, sampai bila pun kita tak akan temui ketenangan.

''Memang adatlah kalau hati kita terguris apabila hak milik kita selama ini diambil atau terpaksa dikongsi dengan orang lain.

''Namun kita perlu tenang. Sebenarnya tidak ada gunanya isteri-isteri bergaduh, bertempik, menjerit atau menyerang sesama sendiri kerana berebut suami.

''Andai sudah tidak ada persefahaman lagi, kita carilah jalan terbaik. Jika bercerai itu jadi jalan terbaik untuk anda, maka bercerailah. Jadi ibu tunggal pun ada hikmahnya. Allah SWT maha mengetahui segala-galanya.

''Memang Allah sudah takdirkan apa yang terjadi kepada kita namun, Allah beri kita akal untuk fikirkan yang mana baik dan yang mana buruk.

"Setiap doa orang yang teraniaya, Allah akan makbulkan. Janganlah kita membalas perbuatan jahat orang terhadap kita. Serahkan kepada Allah untuk membalasnya.

"Belajarlah untuk reda dengan apa yang berlaku,'' ujar Sutinah menutup e-melnya untuk kita renungkan bersama secara mendalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: