PERIKSA...anggota polis memeriksa mesin judi di premis terbabit.
KLANG: Serbuan polis ke atas sebuah premis di Bandar Baru Klang, di sini, kelmarin membongkar kegiatan perjudian yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga.
Lebih mengejutkan sebuah tandas wanita diubah suai pemilik terbabit untuk dijadikan laluan rahsia bagi memudahkan kaki judi ke bilik menempatkan mesin judi. Kegiatan perjudian itu tumpas dalam serbuan polis dilakukan Unit Risikan Operasi NKRA Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang melakukan intipan.
Operasi diketuai Asisten Superintendan Aimy Shah Fadhil itu turut menumpukan beberapa lagi premis di kawasan berkenaan yang menjalankan operasi mesin judi.
Aimy ketika ditemui di lokasi selepas serbuan itu, berkata tandas wanita berkenaan diubah suai sebagai laluan rahsia ke bilik berasingan yang menempatkan 14 mesin judi.
“Operasi pada jam 8 malam bersama sepasukan lapan anggota dilakukan selepas seminggu melakukan intipan. Seramai 10 pelanggan lelaki termasuk dua warga Indonesia berusia 22 hingga 55 tahun ditahan ketika bermain judi mesin komputer dan mesin slot judi.
“Enam pelanggan ditahan di luar bilik itu, manakala di dalam bilik yang menggunakan tandas sebagai laluan, polis menahan empat lagi pelanggan.“Sebelum itu, empat penjaga premis termasuk dua warga Myanmar berusia 30 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. Menurutnya, selepas pemeriksaan, seorang daripada penjaga premis itu yang berusia 60 tahun yang juga warga tempatan didapati menyembunyikan wang RM750 di dalam seluar dalamnya.
Katanya, pemeriksaan terhadap penjaga premis warga Myanmar itu pula mendapati mereka tidak memiliki dokumen yang sah.
Selain itu, Aimy berkata, 22 mesin judi komputer dan 14 mesin judi slot dirampas dalam serbuan berkenaan.
“Semua mesin judi yang dirampas itu dianggarkan bernilai lebih RM100,000. Empat penjaga premis ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dua daripadanya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Selangor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: