Sunday, January 29, 2012

Sudah tahu pemenang AJL


PROJEK PISTOL adalah salah satu calon kegemaran untuk AJL 26. Mereka mempertaruhkan lagu Wanita Seluruh Dunia hasil nukilan vokalisnya, Boy.


WALAUPUN pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) cuma akan berlangsung pukul 9 malam ini di Stadium Putra, Bukit Jalil, sebanyak 80 peratus markah sudah pun dinilai sebelum pertandingan kemuncak itu diadakan.

Mengikut sistem pemarkahan AJL, hanya 20 peratus markah akan diadili oleh 10 orang juri untuk kategori persembahan dan vokal malam ini.

Ini bermakna, pemenang AJL boleh dikatakan telah diketahui lebih awal dan persembahan malam ini sekadar menghangatkan lagi teka-teki khalayak mengenai siapakah penyanyi kegemaran yang akan muncul sebagai juara.

Sebenarnya kaedah pemarkahan seperti ini pernah dilakukan dalam acara AJL yang terdahulu cuma tidaklah sebanyak 80 peratus dan ia pula dinilai oleh 20 orang juri yang berlainan.

Selepas malam ini, pasti ada situasi rumah siap pahat berbunyi. Itu biasa. Apa pun Diva menganggap pencalonan AJL setiap tahun sememangnya benar-benar mempertandingkan lagu-lagu kesukaan ramai dan ada antaranya bertaraf malar segar.

Cuma Diva harap sistem penjurian itu telus dan mengangkat kehebatan sebenar sesebuah lagu dan bukan hanya kerana dorongan rating.

Ramai yang meneka Yuna, Projek Pistol dan Hafiz adalah calon kegemaran juara pada malam ini. Diva sendiri tidak boleh buat pilihan kerana semuanya bagus-bagus.

Dari segi kualiti, Diva tertarik dengan nukilan Loque dalam penulisan lagu Kekanda Adinda. Juga tidak boleh dilupakan keunikan tiga suara dalam lagu Kalau Berpacaran dalam mesej yang bersahaja.

Siapa pemenangnya sudah diketahui. Cuma sekarang menanti momen debaran untuk nama pemenang dilaungkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: