Thursday, January 19, 2012

Sudah melupakan Syarif



ENTAH di mana silapnya, nama Amanda Imani tidak begitu menyerlah walaupun penyanyi berusia 21 tahun itu sudah bertapak dalam industri muzik sejak tiga tahun lalu.

Tiada apa yang kurang dengan pelantun lagu Selamilah Cinta ini. Selain pernah melakar kejayaan dalam 20th International Pop Music Festival Discovery 2011 di Bulgaria, Mei lalu apabila memenangi trofi Lagu Asal Terbaik menerusi lagu tersebut di samping trofi Penyanyi Baharu Terbaik, Amanda juga mempunyai bakat dalam mencipta dan menulis lirik lagu.

Namun biarpun kejayaan demi kejayaan yang dikecapinya di peringkat antarabangsa tetapi semua itu dipandang sepi tanpa sebarang penghargaan di negara sendiri malah stesen-stesen radio juga menolak untuk memutarkan lagu-lagunya.

“Apa yang saya lihat perkara ini terjadi kerana saya tiada sistem sokongan yang betul bagi mempromosikan diri saya dan lagu sebelum ini. Saya akui sebelum ini kurang dikenali, lagu-lagu tidak banyak diputarkan dan kurang undangan nyanyian.

“Saya akui mungkin tak ada rezeki dengan mana-mana stesen radio dan disebabkan itu lagu-lagu saya kurang menyerlah. Saya juga lebih banyak menerima jemputan menyanyi di luar negara berbanding di negara sendiri.

“Walau bagaimanapun, saya berpuas hati dengan album sebelum ini. Bukan tidak ada sambutan langsung di Malaysia, cuma kurang,” tuturnya jujur mengenai kemunculannya menerusi album penuh pertama berjudul Amanda Imani dan album Inggeris, Yeah, pada tahun 2009.

Mengetahui faktor kekurangan aura dan pesona diri menjadi punca dia tidak begitu menyerlah, Amanda kini bertindak jauh lebih berani apabila muncul dengan penampilan serba baharu terbaharu menerusi single terbaharunya, Cemburu berkolaborasi bersama penyanyi hip hop terkenal, Malique.

Amanda mengejutkan para petugas media pada majlis pelancaran Cemburu di Zeta Bar, Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini apabila tidak lagi mengenakan gaun panjang seperti kebiasaan penampilannya sebaliknya mengenakan legging dan baju kebaya ketat jarang! Malah, dia juga tampil berani tanpa gitarnya seperti selalunya tetapi dia sebaliknya menari lincah bersama dua penari ketika mengalunkan lagu Cemburu.

“Sebelum ini ke mana-mana sahaja saya lebih selesa pakai gaun panjang. Kini, saya akan berpenampilan seperti ini (merujuk kepada pakaiannya) sesuai dengan peningkatan usia Amanda sekarang. Sekarang nak tunjuk diri Amanda yang lebih agresif, Rasanya perkara ini terjadi pada semua orang dalam hidup,” katanya mengenai perubahan dirinya dan berharap peminat dapat menerimanya.

Cemburu juga memperlihatkan sisi berbeza Amanda yang tidak lagi berpaksikan jazz mahupun R&B tetapi turut menyelitkan muzik berunsur hip hop, rap dan turntable.

Tidak menuding semata-mata kepada faktor aura dan pesona diri, Amanda juga akui dirinya tidak begitu menyerlah disebabkan beberapa faktor lain termasuk aspek promosi dan publisiti yang lemah.

“Sebelum ini saya bergerak sendiri dan tidak bergantung dengan syarikat rakaman atau label yang besar untuk bertapak dalam industri ini. Sekarang saya yakin boleh pergi jauh selepas ini kerana sudah bersama Warner Music Sdn. Bhd. untuk mempromosikan Cemburu dan seterusnya mengatur jadual saya untuk melangkah lebih jauh,” ungkapnya optimis yang baru sahaja mengikat kontrak bersama syarikat rakaman Warner Music Sdn. Bhd. sejak sebulan yang lalu.

Cemburu

Bercerita mengenai Cemburu dan kenapa memilih Malique untuk menghasilkan lagu dan kolaborasi bersama, kata Amanda, sejak Malique bersama Too Phat lagi dia sudah meminati dan mengagumi bakat yang ada pada anak muda itu.

“Saya memang sudah lama teringin bekerja dengan Malique. Lagipun saya adalah antara peminat besar Too Phat. Saya membesar dengan lagu-lagu mereka. Lantas, saya ambil keputusan untuk mendekati Malique awal tahun lepas dan meminta lagu daripadanya.

“Malique datang kepada saya dengan tiga buah lagu. Salah satunya lagu Cemburu. Saya terus tertarik kepada lagu itu kerana rentak, tempo dan jalan ceritanya yang menarik,” katanya yang terharu apabila Malique terlebih dahulu membuat kajian mengenai dirinya, bentuk vokalnya dan bagaimana muzik yang dibawanya sebelum menghasilkan lagu buat Amanda.

Ditanya adakah kolaborasi dengan Malique dalam lagu berkenaan sebagai strategi untuk menumpang populariti komposer itu, nafi Amanda, perkara itu tidak timbul kerana Malique sendiri merupakan seorang artis yang tidak gemarkan publisiti.

“Tidak wujud istilah saya bergandingan dengan Malique dalam lagu ini untuk tumpang popularitinya. Malique pun tidak gemar pada publisiti yang keterlaluan dan selesa untuk berada di belakang berbanding menonjol di khalayak.

“Lagipun kolaborasi ini adalah percubaan saya untuk menimba pengalaman daripada komposer yang berlainan selepas pernah bekerjasama dengan Ajai dan Omar K sebelum ini,” ujarnya mengenai kolaborasi bersama Malique itu.

Amanda membuktikan dia mampu tampil dengan muzik yang lebih mengujakan, berani dan bertenaga tetapi pada waktu yang sama masih menyelitkan ciri-ciri femininnya.


MAHU meneruskan kehidupan seterusnya, Amanda kini memulakan langkah baharunya.


“Saya berharap peminat dan pendengar akan dapat menerima kelainan ini dan tidak terkejut dengan perubahan yang saya lakukan. Sebagai penyanyi dan pemuzik saya harus melakukan perubahan dan pada waktu sama mengembangkan genre muzik yang saya bawakan,” ujarnya.

Menurut Amanda lagi, penghasilan lagu Cemburu juga bukan mudah. Ini kerana, dia terpaksa memasukkan 10 lapisan suara berbanding kebiasaannya satu lapisan suara sahaja untuk memberikan impak dan kualiti yang berbeza ke atas Cemburu.

Gagal bercinta

Usai lagu dan penampilan baharu dikongsi oleh Amanda kepada media, Amanda juga mengaku melalui fasa baharu selepas hubungan cintanya bersama ahli kumpulan Sleek, Syarifullah Ahmad atau Syarif, 22, putus dan berakhir.

Malah, bekas kekasihnya yang popular dengan lagu Sesaat Kau Datang bersama penyanyi Ramlah Ram itu kini sudah selamat menjadi tunangan orang.

Walaupun memberi tamparan hebat kepadanya, Amanda akui kegagalan hubungannya bersama Syarif memberi pengajaran dan kematangan buat dirinya.

Amanda juga berharap selepas ini tidak akan ada sesiapa yang mengaitkan dirinya lagi dengan Syarif kerana hubungan yang terjalin antara mereka sudah pun tamat.

“Hubungan antara kami sudah tamat. Dia pun sudah selamat bertunang dan saya tak mahu masuk campur apa jua urusan berkaitan dengan dirinya lagi selepas ini.

“Terus terang selepas apa yang terjadi, kami pun sudah tidak lagi berhubung antara satu sama lain. Saya pun tidak mahu melanjutkan lagi perkara ini kerana apa yang penting sekarang adalah kerjaya saya,” jelasnya.

Sebelum ini, Amanda pernah tampil menerusi media mendakwa Syarif tidak jujur dalam mengaku hubungan cinta mereka sebelum ini. Malah, dia menganggap Syarif sengaja memainkan perasaannya, sedangkan Syarif ketika itu sudah mempunyai kekasih hati.

Namun tindakan Amanda dianggap seperti sengaja meraih publisiti murahan daripada umum.

“Saya minta semua pihak faham dengan tindakan saya mendedahkan hubungan kami sebelum ini. Bukan sebab mahu meraih publisiti murahan tetapi mahu memperjelaskan segalanya sekali gus membersihkan nama saya.

“Semua sudahpun berakhir dan saya ambil apa yang berlaku sebagai pengajaran dalam hidup saya,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: