Thursday, January 5, 2012

Sudah ada pengganti?

pix_gal0
Katy Perry didakwa sambut tahun baru bersama lelaki mirip Russell Brand

BEBERAPA hari selepas peminat didedahkan dengan cerita mengejutkan mengenai perpisahan yang berlaku ke atas pasangan selebriti, Katy Perry dan Russell Brand, penyanyi wanita terbabit dikatakan tidak mempunyai masa untuk bersedih. Sebaliknya tanpa membuang waktu, dia berparti sakan ketika meraikan kedatangan tahun baru bersama seorang lelaki yang didakwa mirip bekas suami.
Penyanyi berusia 27 tahun yang kini popular dengan lagu E.T itu didakwa meraikan kemunculan 2012 di Soho House, Hollywood, bersama lelaki terbabit, sedangkan Russell pula menyambut tahun baru seorang diri di sebuah hotel di London.
Menurut New York Post, penyanyi itu juga dikatakan bergembira di samping teman misterinya itu.

Difahamkan, lelaki berambut panjang itu bersembang bersama Katy pada majlis keraian itu. Tentunya mereka yang menyaksikan kejadian terbabit tidak menyangka, Russell baru saja memfailkan perceraian, apabila melihat kemesraan dua insan terbabit. Sekurang-kurangnya itulah yang diluahkan beberapa pengunjung majlis berkenaan.

Seorang tetamu lain memberitahu akhbar itu, selepas tengah malam, Katy dan temannya berdansa sambil berpegangan tangan di lantai tari.

Ketika Katy berpesta di Los Angeles, Russell pula menghabiskan malam tahun baru keseorangan di Hotel Savoy, London.
Kata sumber kepada The Mirror, lelaki itu tidak ada keinginan untuk berpesta, malah dia memesan makanan dari kamarnya saja. Keesokannya dia sudah pun berada di gimnasium pada jam 11 pagi dan menghabiskan dua jam bersenam di situ.

Russell difahamkan bakal mendapat habuan berjumlah kira-kira RM99 juta daripada perceraian itu berikutan kedua-duanya tidak menandatangani sebarang perjanjian berhubung tuntutan harta sebelum berkahwin. Mengikut undang-undang California, Russel berhak menerima separuh daripada pendapatan besar bekas isterinya.

Saat ini, masih tidak diketahui sebab sebenar mengapa pasangan ini memutuskan untuk berpisah.
Namun, beberapa sumber dalaman mendakwa, ia mungkin berpunca daripada keengganan Katy untuk berehat seketika daripada karier muziknya bagi membolehkan mereka mendapatkan anak.

Dalam perkembangan berkaitan, artis wanita tersohor ini dilaporkan meminta agar pelakon komedi British itu yang memfailkan perceraian kerana dia tidak mahu mengecewakan orang tuanya.

Ibu bapa penyanyi itu ialah penganut kuat Kristian dan laman gosip TMZ menyatakan, beberapa sumber berkaitan dengan pasangan itu memberitahu, Katy enggan dilihat sebagai pihak yang menamatkan perkahwinan mereka secara rasmi.

"Dengan dukacita, Katy dan saya akan menamatkan perkahwinan kami. Saya akan sentiasa memuja dirinya dan saya tahu kami akan terus bersahabat baik," kata Russell dalam kenyataannya kepada The Associated Press, Jumaat lalu.

Pelakon berusia 36 tahun itu bagaimanapun tidak mendedahkan dengan lebih terperinci mengenai punca perpisahan mereka ketika memfailkan perceraian di Mahkamah Agung Los Angeles, minggu lalu. Dia hanya menyatakan, antara mereka tiada lagi persefahaman.

Pasangan ini berkahwin pada Oktober 2010 di sebuah pusat peranginan di India, dan kasih-sayang yang terserlah antara mereka memang menjadi bualan peminat serta pemerhati dunia hiburan antarabangsa.

‘Berperang’ dengan Lady Gaga

PADA saat Katy berdepan dengan drama perceraiannya bersama aktor komedi terbabit, dia juga dikatakan ‘berperang’ hebat bersama seorang lagi selebriti.

Paling tidak, itulah yang didedahkan beberapa sumber ketika ini.

Khabarnya, Katy bukanlah peminat utama Lady Gaga dan kedua-duanya dikatakan meminta penganjur meletakkan kerusi masing-masing sejauh mungkin pada majlis Anugerah Grammy tidak lama lagi.

"Wakil masing-masing meminta supaya mereka diletakkan di tempat yang berasingan sama sekali bagi mengelakkan kejadian kurang menyenangkan nanti," kata sumber kepada Now Magazine, menurut laporan Music Rooms.

Dua wanita ini ‘bermusuh’ kerana sikap Gaga yang tidak menghormati agama dalam videonya. Dalam twitternya Katy dikatakan menyindir Gaga dengan mengatakan, penggunaan elemen menghina agama sebagai hiburan ialah sesuatu tindakan yang cukup memualkan, seperti seorang pelawak berjenaka mengenai kentut.

Katy juga mendakwa Gaga lebih suka mencetuskan kontroversi berbanding menghasilkan muzik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: