Monday, January 2, 2012

Seperti dalam kapal angkasa


SUSUN atur ruang bufet yang ringkas dan futuristik.


SEBAIK saja keluar dari lif yang membawa tetamu ke restoran yang berada pada ketinggian 282 meter itu, kilauan bintang di siling menyambut kami seolah-olah menara itu tidak berbumbung.

Melangkah masuk ke dalam Restoran Atmosphere 360 yang gah berada di puncak Menara Kuala Lumpur itu melalui laluan yang direka sama seperti rekaan dalaman kapal angkasa yang sering dilihat di dalam filem fiksyen, terasa bagai berada dalam dimensi dunia yang amat berbeza.

Penuh dengan hiasan lampu-lampu kecil berselerakan di siling dan dinding dengan kemasan jubin lantai yang gelap berkelip-kelip, pengunjung pasti berasa seperti di ruang angkasa.

Juraian candelier bertukar-tukar warna membuat perasaan bagai terawang manakala panorama Kuala Lumpur waktu malam melengkapkan pemandangan langit yang indah.

Semuanya membuatkan pengunjung merasa puas kerana bukan sahaja dapat menjamu mata bahkan merasai pengalaman menarik menikmati hidangan di restoran antara tertinggi di dunia.

Bersantap di awangan

Pengarah Urusan Atmosphere 360, Datuk Mohd. Sabri Mohd Nadzir berkata, restoran itu baru diubah suai khas untuk memberikan pengalaman istimewa kepada pelanggan menikmati hidangan seolah-olah berada di angkasa.

"Semasa proses mereka bentuk pelbagai idea yang dikeluarkan saya serta empat orang pemegang saham yang lain dan kami akhirnya sepakat untuk menggunakan konsep seperti berada di dalam kapal angkasa kerana faktor kedudukan restoran itu yang tinggi.

"Kami menggabungkan keistimewaan Menara Kuala Lumpur itu sendiri iaitu pemandangan Kuala Lumpur dari kedudukan tertinggi dengan hiasan dalaman yang mengetengahkan konsep kapal angkasa.

"Sebaik saja pelanggan melangkah keluar dari lif, mereka sudah disambut dengan suasana seperti di galaksi dengan 'gugusan bintang' berada di siling dan laluan masuk seperti kapal angkasa.

"Cahaya lampu optik gentian digunakan di siling berlatarkan cahaya biru gelap bagi memberi ilusi bintang yang bergemerlapan umpama restoran itu tidak berbumbung.

"Kami turut banyak menggunakan warna seperti biru gelap dan ungu untuk cahaya lampu kontra dengan cahaya putih bagi menampakkan suasana seperti orbit.

"Menariknya lagi, dinding Atmosphere 360 turut turut dihiasi dengan imej-imej galaksi yang dibeli khas dari NASA dengan bantuan seorang profesor dalam bidang astronomi.

"Pelanggan yang datang bukan saja dapat menikmati hidangan yang lazat serta melihat suasana yang indah, mereka juga dapat memperolehi informasi tentang cakerawala," katanya yang juga merupakan seorang arkitek.

Katanya, restoran itu menghabiskan putaran 360 darjah dalam tempoh sejam dan ia juga pencetus kepada nama restoran tersebut, Atmosphere 360.

Konsep minimal

Menurut Mohd. Sabri, restoran yang mula beroperasi sejak Oktober lalu diambil alih oleh Asian Kitchen Sdn. Bhd. dan pasukannya mengambil masa enam minggu saja untuk mereka bentuk kembali, meruntuhkan rekaan lama dan membina hampir keseluruhan restoran tertinggi di Asia Tenggara itu.

Hampir 100 peratus restoran itu diubah-suai daripada restoran asal daripada karpet, dinding, lantai hingga ke perabot dalam tempoh yang singkat.

Pemilihan kerusi, meja dan sofa yang moden dan ringkas pula dibuat untuk disesuaikan dengan konsep fine dining serta memberi keselesaan kepada pelanggan.

Gaya minimum itu juga dibuat atas dasar konsep kapal angkasa yang bersifat futuristik.

Dilihat di satu sudut yang dijadikan ruangan menunggu, pemilik restoran yang baru mula beroperasi tiga bulan meletakkan sebuah teleskop dan sebuah piano putih yang eksklusif di sudut yang lain.

Restoran tersebut turut banyak bermain dengan cahaya dan gelas lutsinar.

Karpet yang membaluti lantai restoran itu turut dipilih dengan teliti. Berlatar warna jingga dengan motif bulatan umpama planet, menambahkan nilai eksklusif restoran tersebut serta sesuai dengan konsepnya.

Tidak cukup dengan itu, tandas turut diberikan sentuhan futuristik seperti penggunaan sinki yang ringkas dan menggunakan sistem penderiaan.

Restoran berputar Atmosphere 360 ini dibuka setiap hari dari pukul 11.30 pagi hingga 11 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: