|
|
SATU persatu gosip panas menghimpit pelakon cantik yang seorang ini. Daripada isu bulu mata palsu, isu bersara sehinggalah isu lelaki muda sering kali melingkari perjalanan kerjaya seni Rozita Che Wan sehingga saat ini.
Semuanya ditelan bulat-bulat. Tidak ada apa yang mampu menghalang langkah kaki Rozita untuk terus aktif dalam kerjaya seni. Paling tidak dia tahu masih ramai yang ambil berat perihal dirinya biarpun apa yang diperkatakan itu mengguris hati kecilnya.
Berpeluang bertemu ibu tunggal kepada dua orang anak baru-baru ini, Rozita menjelaskan segala-galanya. Ramai yang mengenali Rozita kerana bulu mata palsunya. Ke mana sahaja dia pergi pasti bulu mata palsu akan dikenakan sebagai perhiasan wajah manisnya.
Tidak cukup dengan itu, Rozita juga pernah dituduh sebagai ratu propa. Bercerita hal bersara tak habis-habis tetapi masih ada di dalam industri. Ramai yang menghentam Rozita sampaikan dia sendiri hilang punca untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan.
Terbaru pelakon drama bersiri Anissa ini dikatakan lebih berminat dengan lelaki muda. Nama Shahir terpalit apabila dikatakan sebagai lelaki yang pernah hadir dalam hidup Rozita lantaran keakraban mereka itu.
Tak cukup dengan itu, kini nama Zain Saidin pula naik apabila dikaitkan dengan Rozita. Ramai yang menganggap Zain menagih cinta Rozita lantaran lelaki itu dilihat lebih banyak berusaha untuk mendampingi wanita tersebut.
“Saya tak kisah langsung dengan apa orang nak cakap pasal saya. Yang paling penting saya tahu apa yang saya buat itu betul dan cakap-cakap orang tu saya biarkan sahaja.
“Dulu heboh orang kutuk saya pakai bulu mata palsu. Nak ke mana-mana pun kata saya kena ada bulu mata palsu sampai jadi isu besar.
“Untuk pengetahuan semua, saya memang pakai bulu mata palsu sebelum bergelar artis lagi. Bila dah jadi artis bulu mata palsu tu dah jadi perkara biasa pada saya.
“Sampaikan tok saya pernah tegur kenapa nak pakai bulu mata palsu 13 tingkat walaupun nak ke kedai. Saya tak kisah pun orang nak cakap apa,” kata Rozita sambil ketawa.
Dua tahun lalu Rozita pernah menggembar-gemburkan yang dia mahu bersara lebih awal dalam dunia lakonan. Namun hasrat yang lahir daripada mulutnya itu tidak menjadi kerana menerima tawaran berlakon yang tidak henti-henti.
Apa yang berlaku di luar kawalannya apatah lagi tawaran yang diterima langsung tidak dapat ditolak atas pelbagai faktor. Lantas ramai yang mula sangsi kepada wanita yang dikatakan menerima bayaran setengah juta ringgit sebagai duta Safi Rania ini.
“Memang saya pernah pasang niat nak bersara lebih awal. Bila hajat nak bersara tu tersebar, ramai pula yang memberikan tawaran berlakon pada saya. Orang pujuk untuk saya batalkan hasrat bersara.
“Ada sebab kenapa perkara tu tak menjadi. Tapi orang tetap kata saya macam-macam. Ratu propa, ratu kontroversi dan macam-macam gelaran yang saya dengar.
“Saya tak kisah pun apa yang orang nak cakap. Apa yang penting, saya tahu apa yang saya lakukan. Kalau nak dengar cakap orang sampai bila-bila pun tak habis.
“Lagi satu, saya tak pernah baca pun apa yang orang tulis di dalam Internet. Kalau baca buat sakit hati buat apa? Saya pun tak ada Facebook atau Twitter.
“Kalau keluar surat khabar tu memang ada saya baca. Memang ada kalanya apa yang ditulis tu pedih tapi saya terima kritikan mereka,” ulas Rozita panjang lebar.
Mengulas mengenai isu lelaki pula, Rozita sememangnya cukup hebat dalam soal ini. Dia bukan sahaja menjadi buruan lelaki-lelaki kaya hidung belang malah menjadi kegilaan lelaki muda.
Bergelar janda dalam tempoh masa sembilan tahun cukup membuatkan dirinya semakin diburu. Bercinta dan putus cinta bagaikan sudah sinonim dengan Rozita sampaikan dia sendiri cukup berharap dipertemukan dengan lelaki budiman sedikit masa lagi.
Semua orang tahu tentang dua lelaki ini. Benarkah dakwaan yang mengatakan Rozita gemarkan lelaki muda agar mudah ‘diuruskan’?
Lantas saat diajukan pertanyaan itu, Rozita dengan tenang menjawab segala-galanya. Pancaindera sempat bertanya antara Shahir dan Zain Saidin yang mana satu pernah bertakhta di hatinya.
“Salah seorang daripada mereka pernah hadir dalam hidup saya. Cuma saya tak akan mendedahkan yang mana satu dan kalau boleh biar saya simpan sahaja untuk diri sendiri.
“Memang saya suka berkawan dengan lelaki muda. Golongan ni lebih mudah mendengar kata dan lebih senang untuk didekati. Kalau dengan lelaki berusia dah tentu saya yang kena ikut kehendak mereka.
“Apa yang paling penting saya tak rampas hak orang. Lelaki muda, bujang dan bukan milik sesiapa. Kalau yang berusia selalunya suami orang.
“Jadi tak payah nak risau pasal saya nak rampas hak sesiapa. Sebab tu saya lebih suka lelaki bujang kerana dia bukan milik sesiapa,” kata Rozita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: