Wednesday, January 4, 2012

Restoran JB makin sepi


RESTORAN ini yang terletak berdekatan tempat seorang lelaki ditembak mati di Skudai kelmarin kosong tanpa pelanggan petang semalam.


JOHOR BAHRU – Kejadian tiga pelanggan restoran di sini mati ditembak dan di tetak dalam tempoh dua bulan lalu mula memberi kesan terhadap perniagaan makanan khususnya di sekitar Skudai apabila banyak premis kelihatan lengang walaupun pada waktu puncak.

Senario itu turut membimbangkan para pemilik restoran yang terpaksa beroperasi tanpa keuntungan sementara menunggu keadaan kembali normal.

Kes serangan terbaru dilaporkan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai membabitkan pekerja kedai keranda, Ong Chin Loo, 48, yang mati terkena enam das tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki memakai topi keledar ketika mangsa bersarapan di sebuah restoran pada pukul 7.13 pagi.

Seorang pengusaha restoran di kawasan itu yang enggan identitinya disiarkan mengakui ada tanda-tanda orang ramai mula menjauhi tempat itu dan menjamu selera di kawasan lain yang lebih selamat.

“Perniagaan saya terjejas terutama pada hari kejadian, dan hari ini (semalam) pun bilangan pelanggan berkurangan sampai 50 peratus.

“Ini kes yang terpencil, saya harap orang ramai tidak takut. Semoga keadaan kembali menjadi seperti biasa dalam masa beberapa hari akan datang,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi peniaga di kawasan tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 46, mendakwa dia kehilangan sebahagian besar pelanggan kelmarin apabila orang ramai takut untuk datang ke kawasan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: