SHAH ALAM 19 Jan. - Peserta pasar tani digesa menjadi peneraju dalam aktiviti pengeluaran hasil pertanian menerusi pelaksanaan ladang kontrak bagi menampung permintaan pasaran bahan makanan di negara ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, penyertaan tersebut harus diberikan tumpuan oleh para pengusaha pasar tani memandangkan pengeluaran hasil pertanian tidak cukup untuk memenuhi permintaan pasaran semasa, selain berhadapan dengan masalah kenaikan harga bagi hasil tersebut.
Beliau berkata, perkara itu merupakan satu masalah yang harus ditangani segera memandangkan kerajaan sendiri sebelum ini telah banyak menyalurkan bantuan untuk membangun serta meningkatkan hasil keluaran pertanian termasuklah menyediakan geran sebanyak RM14 juta untuk program ladang kontrak.
"Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan serta kemudahan membangunkan pasar tani di seluruh negara seperti pasar tani mega, pasar tani pelancongan, pasar tani karavan, pasar tani borong dan juga pasar raya khas untuk jualan hasil pertanian.
"Namun, ia dilihat masih belum cukup kerana pengeluaran hasil pertanian dilihat tidak seimbang dengan permintaan pasaran selain kenaikan harga yang berpunca daripada aktiviti orang tengah, selain kegiatan mengimport hasil pertanian di negara jiran.
"Keadaan ini menyebabkan kesan dari segi harga yang mana tujuan asal pasar tani ialah untuk membangunkan keluaran hasil pertanian negara dengan harga yang lebih murah terus daripada pengeluar kepada pembeli," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perjumpaan dan makan malam bersama Ahli Jawatankuasa Pasar Tani Kebangsaan, di sini malam tadi.
Ekoran keadaan itu, katanya, beliau menegaskan agar semua pengusaha pasar tani mengambil peluang daripada kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dengan mewujudkan program ladang kontrak yang akan memberikan manfaat kepada pertambahan bekalan hasil pertanian dalam negara, selain mengawal harga agar lebih rendah kepada pengguna.
Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, untuk menangani masalah tersebut, pihaknya akan melaksanakan dasar tidak membenarkan pengusaha pasar tani mengambil barangan hasil pertanian import dari negara luar untuk dijual di pasar tersebut mulai 2015.
"Kita tidak benarkan lagi pengusaha pasar tani ambil barangan import untuk dijual di pasar tani, sebaliknya hanya menjual hasil keluaran tempatan.
"Tidak ada makna kerajaan keluarkan bantuan, belanja yang besar untuk membantu sektor pertanian tempatan tetapi yang dapat untung ialah orang luar," ujarnya.
Setakat ini, sebanyak 468 buah pasar tani diwujudkan di seluruh negara, manakala seramai 21,453 peserta terlibat dengan nilai jualan pada tahun lalu sebanyak RM631 juta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: