|
|
CARACAS, Venezuela - Kira-kira 100 orang wanita berkeras memfailkan saman ke atas pengeluar implan payudara dari Perancis dan para pengedarnya di Venezuela untuk menuntut pampasan.
Pengeluar terbabit, Poly Implant Prothese (PIP) dilaporkan telah menjual ratusan ribu implan yang diperbuat daripada silikon berkualiti rendah di seluruh dunia.
Pihak berkuasa Perancis menasihatkan 30,000 orang wanita yang memiliki implan PIP agar mengeluarkannya. Ini kerana mereka berdepan risiko implan tersebut bocor dan silikon tersebut masuk ke dalam tubuh.
Dalam saman yang bakal diserahkan pada pertengahan Januari depan, wanita-wanita terbabit menuntut defendan menanggung kos implan itu dikeluarkan dan diganti dengan implan lain.
"Kami tahu bahawa kerajaan Perancis telah menuntut sokongan teknikal dan kewangan bagi pihak wanita yang terjejas dengan implan itu. Jadi kami mahu langkah sama turut melibatkan wanita Venezuela, bukan sekadar untuk wanita Perancis sahaja," kata peguam, Gilberto Andrea.
Perkhidmatan Kesihatan Awam Venezuela Selasa lalu menyatakan pihaknya akan membantu mengeluarkan implan itu secara percuma.
Dianggarkan seramai 300,000 hingga 400,000 orang wanita di 65 buah negara di Eropah dan Amerika Latin telah menggunakan implan buatan PIP yang kini diisytihar bankrap.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: