ELEGAN...menarik perhatian pada majlis makan malam.
MUSIM panas dan keindahan pantai Britain yang dipenuhi aktiviti menunggang keldai serta menikmati aiskrim di bawah sinaran matahari memberi ilham kepada jenama fesyen terkemuka, Mulberry untuk tampil berani pada koleksi kali ini.
Menampilkan baju kalis air dan berlapis seperti pakaian yang digunakan untuk ke pantai, ia memberikan gaya santai dan berani kepada wanita yang menggemarinya.
Gayakan saja dengan fesyen ceria menggunakan fabrik kain kapas digabungkan bersama denim untuk kekal tampil menarik walaupun hanya untuk bersantai.
Rekaan yang mementingkan gaya santai dan menitikberatkan bahagian pinggang ini kelihatan praktikal untuk digayakan ke mana saja.Bagi yang ingin tampil lebih feminin, cuba gayakan gaun atau skirt panjang bersama jaket kalis air agar tampak anggun dan ceria.
Selain itu, anda juga boleh padankan gaya biasa dengan pemakaian baju-T bersama seluar pendek untuk penampilan lebih bersahaja dan aktif.
Berbeza bagi penggemar gaya kasual, Mulberry turut memberi pilihan kepada pencinta fesyen ini dengan mengetengahkan pakaian tanpa jaket dan tampil sporty untuk tampak lebih ringkas.
Semua koleksinya kali ini lebih menitikberatkan penggunaan warna palet berdasarkan suasana tepian pantai dengan mengetengahkan rona semula jadi bermula daripada lembut sehingga terang.
Ia bertepatan dengan elemen bertenaga, ceria dan semangat yang cuba disampaikan buat pencinta fesyen yang sentiasa ternanti-nanti koleksi daripada jenama ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: