
JERANTUT 10 Jan. - Badan Kesenian dan Kebudayaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bandar Jengka, Pahang komited mengembangkan kesenian bangsa bagi memastikan ia tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan.
Terbaru, ahli kumpulan yang terdiri daripada seramai enam orang penari itu memaparkan variasi seni persembahan tarian sempena Kempen Kembali Ke Sekolah dan pelancaran Kedai Harga Patut di Pasar Raya TF Bandar Baru Inderapura, Jerantut baru-baru ini.
Gerak langkah dan lenggok tarian yang sopan sambil diiringi irama lagu asli nyata memukau masyarakat berbilang kaum yang menghadiri majlis itu.
Ketua Kumpulan Tarian, Mohd. Habi Jefri, 22, berkata, persembahan itu adalah untuk memenuhi undangan Pasar Raya TF Value-Mart, sekali gus dapat mengetengahkan kegiatan penuntut UiTM dalam bidang kesenian.
''Kita persembahkan lima tarian antaranya joget, zapin dan kontemporari berasaskan konsep 1Malaysia yang mudah diterima orang ramai," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee dan Pengurus Besar TF Value-Mart Pahang Barat, Datuk Low Long Yang.
Penuntut Semester 5, Fakulti Perladangan UITM itu berkata, pengalaman menjadi penari Badan Kesenian Warisan Johor memudahkannya bertindak membimbing rakan-rakan penari lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: